Jumaat, 18 Oktober 2019 | 10:30am
Akhbar bahasa Melayu tetap mendapat sambutan. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Perkasakan akhbar bahasa Melayu

Baru-baru ini saya singgah di sebuah stesen minyak berhampiranrumah untuk membeli akhbar. Ternyata hati saya terdetik. Rasa sayu. Sebagai wartawan yang pernah berkhidmat di akhbar Utusan Malaysia selama hampir 30 tahun, saya berasakan sesuatu kehilangan.

Akhbar Utusan sudah tiada di rak. Begitu juga dengan adiknya Kosmo!. Jika pada hari minggu lalu, akhbar Mingguan Malaysia juga sudah tiada lagi. Walaupun penutupan operasi bersifat sementara, ia adalah sejarah bagi akhbar keramat berusia 80 tahun itu.

Ia diasaskan di Singapura pada 1938 oleh Yusuf Ishak, yang kemudian menjadi Presiden pertama republik itu. Ada yang melompat riang apabila pengumuman akhbar itu ditutup. Padan muka akhbar Melayu yang rasis. Dakwa mereka.

Ada yang tiada apa-apa perasaan. Ada yang hanya mengomel; namun ada yang menitiskan air mata. Baru-baru ini juga, Tan Sri Khalid Yunus, bekas Timbalan Menteri Penerangan sebak ketika memberi sidang akhbar selaku pengerusi kelab veteran Utusan Melayu.

“Saya cukup sedih dengan apa yang berlaku kepada akhbar itu dan nasib 800 pekerjanya yang diberhentikan tiba-tiba,” katanya.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pemberita Utusan pada 1962. Begitu juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein AlHabshee sebak ketika berucap pada majlis penyerahan zakat kepada kakitangan Utusan yang diberhentikan.

“Saya mula membaca Utusan sejak saya kecil,” katanya sambil beberapa kali menahan sebak. Itulah reaksinya. Namun, lebih sedih apabila melihat di news stand sekarang hanya tersusun tiga akhbar Melayu — Berita Harian, Harian Metro dan Sinar. Banyak yang lain adalah akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil.

Malu sebagai orang Melayu. Penghuni majoriti 60 peratus lebih negara ini, hanya ada tiga akhbar berbahasa Melayu di Semenanjung. Kira-kira 80 tahun lalu, Utusan Melayu diwujudkan oleh Yusuf kerana orang Melayu tiada wadah untuk disuarakan.

Akhbar Melayu ketika itu bukan dimiliki orang Melayu, tetapi oleh saudagar Arab di Singapura. Akhbar Utusan Melayu itu pun diterbit hasil keringat orang Melayu yang mengumpulkan dana berupa intan permata, emas suasa yang mereka pakai.

Utusan diterbitkan bagi membolehkan suara orang Melayu didengari. Adakah itu rasis? Kini selepas 80 tahun, kita masih sengkek. Akhbar yang ada dalam tangan jatuh bankrap. Pembacanya melarikan diri akibat kecelaruan politik. Ironinya, akhbar Utusan kini diambil alih oleh seorang taikun.

Apapun syabas diucapkan kepada ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Secara atas kertas beliau kini menjadi konglomorat industri media Malaysia — dengan menguasai Media Prima yang menaungi rangkaian stesen penyiaran TV3; akhbar New Straits Times, BH, Harian Metro, selain akhbar The Malaysian Reserve (TMR).

Harapan kami mahu melihat beliau memperkasakan industri persuratkhabaran Melayu di negara ini. Lihatlah akhbar dan industri media bahasa Melayu di Indonesia misalnya, ia berkembang dengan begitu pesat sekali.

Sehingga akhbar perniagaan, Bisnis Indonesia dan lain-lain cukup hebat dan diedarkan di hotel mewah republik itu.

Tiada yang mustahil bolehdilakukan dengan mengembalikan kegemilangan akhbar Melayu. Kekuatannya terletak kepada modal insan terlatih yang sudah ada roh dalam akhbar masing-masing. Untuk menjadi seorang wartawan bukan mudah. Roh akhbar itu harus ditiup ke dalam darah daging petugasnya mulai dari hari pertama mereka bekerja.

Akhbar tidak akan menjadi akhbar jika tiada semangat dan rohnya, memetik kata profesor kewartawanan negara, Datuk Dr Murad Merican. Kami yakin, dengan meletakkan pengurusan korporat dan pengarang bilik berita yang mantap, akhbar itu akan bangkit kembali.

Tidak mustahil Utusan yang pernah mencatat 370,000 naskhah dan Mingguan Malaysia 600,000 naskhah sehari akan maju semula — dalam edisi cetak dan digital. Amat malang jika ada antara 18 juta rakyat Melayu mahu menjatuhkan akhbar mereka sekali lagi!

Ikutlah resam orang Cina, walaupun ada yang tidak tahu membaca akhbar Mandarin, mereka tetap membeli kerana mahu menyokong. Mulai sekarang mari kita mulakan Satu Keluarga Melayu, Satu Akhbar Melayu.

Apalah sangat RM1.50 dengan maruah surat khabar kita. Bersatu teguh, bercerai roboh. Tepuk dada, tanya selera.

Selamatkan Utusan, selamatkan modal insannya; selamatkan akhbar Melayu dan kewartawanan Melayu negara ini. Ia wajib diperkasakan.

Penulis adalah Bekas Penolong Ketua Pengarang Utusan

Berita Harian X