Jumaat, 18 Oktober 2019 | 10:30am
Hijrah penduduk luar bandar ke bandar bukan masalah baharu dan sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tingkatkan ekonomi desa elak hijrah

Hijrah penduduk luar bandar ke bandar bukan masalah baharu dan sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu. Pertama kerana tiada pekerjaan sesuai di luar bandar dengan kemahiran yang ada pada diri dan kedua kerana ingin hidup di kota serta sanggup bekerja apa sahaja walaupun akhirnya terperangkap dalam kemiskinan bandar.

Kita setuju hijrah tanpa kemahiran akan menimbulkan masalah seperti faktor kedua itu, sekali gus menyebabkan kumpulan ini terus miskin dan menambah jumlah kemiskinan bandar. Jika ditingkat nilai ekonomi desa tidaklah pula penduduk meninggalkan kampung.

Soalnya bagaimanakah hendak tingkat nilai aktiviti ekonomi desa? Pada pendapat kita, ekonomi desa perlu suntikan teknologi untuk tambah nilai. Pada masa ini cara kita kendalikan aktiviti desa seperti bercucuk tanam dan menternak tidak banyak beza dengan cara datuk nenek kita dulu.

Bagaimanakah kita boleh tingkatkan pendapatan jika kaedah digunakan masih ditakuk lama? Di sinilah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi penyelidikannya harus gigih mencari penyelesaian. Terokai sesuatu teknologi agar siswazah di kampung ada kerja yang sesuai dengan kemahiran mereka.

Tingkat tahap keselamatan dalam talian

Kita mengalukan langkah untuk lima urusan utama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dibuat dalam talian kerana ia akan menjimatkan masa dan duit rakyat. Lagi pun kebanyakan urusan sekarang dibuat secara dalam talian.

Langkah ini perlu disusuli dengan beberapa urusan lain di JPN yang masih perlu kehadiran di kaunter. Diharapkan banyak lagi jabatan akan turut berbuat demikian, terutama jabatan yang banyak berurusan dengan orang ramai.

Ini selaras kemajuan teknologi, maka sudah tiba masanya untuk semua jabatan kerajaan bergerak ke hadapan dengan menambah baik sistem penyampaian di kaunter yang pasti dapat mengurangkan tempoh menunggu.

Namun, kita berharap segala perubahan itu tidak mengorbankan kepentingan negara dan harus mempunyai tahap keselamatan agar prosesnya tidak disalah guna apabila sistem dalam talian diguna pakai.

Berita Harian X