Khamis, 17 Oktober 2019 | 11:00am

Intai sama nasib M40 tersepit

Setiap kali belanjawan negara dibentang, kelompok berpendapatan pertengahan atau M40 kerap tersisih, sedangkan mereka antara yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Agak menyedihkan M40 sering terlepas kelebihan dan manfaat seperti yang banyak dinikmati B40, namun pada masa sama menanggung tempias beban kelompok atasan atau T20.

Namun, pengumuman terbaru kerajaan bahawa 5 juta kelompok itu akan turut menerima faedah melalui Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar, diharap sedikit mengubat duka M40. Benar rata-rata M40 bekerja dalam pengurusan tengah dan tinggi serta profesional, namun mereka ini bukan kelompok yang menghimpun banyak harta.

M40 perlu terus bekerja makan gaji untuk menyara diri dan keluarga. Jika kegawatan ekonomi melanda, merekalah paling teruk terkesan. Ini kerana beban hutang mereka agak tinggi. Lihat sahaja rumah, mereka terpaksa membeli sekurang-kurangnya yang berstatus sederhana mewah, disebabkan tidak layak membeli rumah murah.

Bayangkan jika kelompok ini hilang punca pendapatan, pastinya kesan ditanggung mereka berat sekali. Justeru kerajaan perlu melihat dan perjuangkan sama nasib kelompok pembayar cukai ini, yang status mereka tidaklah kaya dan tidak juga miskin.

Nak untung jangan sampai tamak

Ramai menunggu untuk melihat kesudahan kisah rancangan pembangunan di Kampung Baru. Di pihak pemilik dan pewaris tanah, mereka masih inginkan harga setimpal dengan nilai semasa, namun ia bukan mudah untuk ditunaikan. Bagi kerajaan pula, soalnya bukan hanya pada harga, sebaliknya impak rantaian ke atas nilai hartanah yang akan dibangunkan nanti serta nasib Melayu Kampung Baru di kemudian hari.

Kita percaya selagi jalan tengah kepada konflik nilai semasa dan impak rantaian ini tidak dicari, selagi itulah kemelut isu tanah Kampung Baru tak akan selesai. Satu saja nasihat kita, pemilik tanah jangan terlalu tamak untuk kaut untung.

Perlu diingat, tanah di Kampung Baru sebenarnya tanah anugerah yang mereka warisi daripada orang tua masing-masing dan kerajaan sebenarnya boleh memaksa mereka untuk menjual tanah terbabit menerusi Akta Pengambilan Tanah 1960. Namun, kerajaan masih mahu berlaku adil dengan menawarkan untuk membelinya pada harga tawaran berpatutan.

Rasanya cukuplah bermain drama ‘tarik tali’ dan terima sahaja tawaran agar tidak terus menjadi penghalang kepada usaha memajukan Kampung Baru. Kita akui lokasi itu cukup penting untuk komuniti Melayu, namun kita mahu juga lihat Kampung Baru dibangunkan agar tidak terus menjadi cemuhan bangsa lain.

Berita Harian X