Ahad, 13 Oktober 2019 | 11:00am
MEKANISME kutipan cukai yang mampan boleh diperkenalkan seperti dicadangkan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia dengan mengenakan cukai digital terus kepada sumber mengikut transaksi. - Foto hiasan

Ekonomi digital pemacu masa depan negara

Tahun 2020 sebagai pecutan terakhir Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) membuka 1,001 cabaran baharu kepada kerajaan untuk melangkah ke era ekonomi millennial.

Pengukuhan kewangan awam adalah satu daripadanya dan ia memerlukan kerajaan merencanakan formula tepat untuk mengoptimumkan perbelanjaan negara.

Paling utama adalah keperluan untuk Malaysia meneroka sumber hasil baharu yang mampan bagi menjamin keberkesanan inisiatif fiskal.

Justeru, dalam usaha memperluaskan sumber hasil negara, ada satu petunjuk yang paling ketara, iaitu kecenderungan kerajaan meneroka sumber hasil baharu berlandaskan ekonomi digital.

Pendekatan kepada ekonomi digital melalui Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semalam sememangnya sudah dijangkakan, memandangkan skala ekonomi digital yang sangat besar dan menjanjikan prospek pulangan yang lumayan untuk masa depan negara.

Kerana itu, kita lihat mana-mana negara yang merencanakan pertumbuhan ekonomi masa depannya pasti menggerakkan aset dan keupayaan infrastruktur masing-masing ke arah pendigitalan ekonomi.

Malaysia tidak terkecuali, apabila kerajaan mengutarakan rancangan meneroka sumber hasil negara baharu, maka ia dipetik dalam konteks Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) baru-baru ini.

Pendekatan baharu dalam strategi pengukuhan fiskal negara itu bakal memperlihatkan Malaysia meneroka bidang teknologi disruptif seperti Internet of Things (IoT), kepintaran buatan (AI) dan e-dagang untuk melahirkan lebih ramai usahawan digital tempatan dan menggembleng ekosistem perniagaan millennial.

Dalam perspektif mudah, infrastruktur yang dimajukan menerusi NFCP itu nanti akan menjadi gelanggang utama menggalakkan penyertaan usahawan digital dan rakyat, supaya terbabit secara langsung kepada ekosistem ekonomi dalam talian.

Kini infrastruktur sudah tersedia, yang tinggal hanya langkah kerajaan untuk memanfaatkan infrastruktur digital ekonomi itu dengan mewujudkan lebih ramai usahawan digital.

Ini dapat dilakukan menerusi pemberian insentif serta menambah baik sistem kutipan cukai untuk platform digital.

Mekanisme kutipan cukai yang mampan boleh diperkenalkan seperti yang dicadangkan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) dengan mengenakan cukai digital terus kepada sumber mengikut transaksi.

Bermakna bagi setiap transaksi jual beli dalam talian, kerajaan akan ‘siap-siap’ mengutip cukai pada kadar yang tidak terlalu tinggi.

Maka kelak, apabila penjual digital mengisytiharkan cukai pendapatan, mereka boleh menolak cukai yang sudah dibayar sebelum transaksi dan membuat tuntutan mendapatkan lebihan bayaran cukai jika perlu.

Sistem percukaian pintar yang lebih efektif ini hanya boleh dilaksanakan menerusi kemajuan teknologi AI yang kini diguna pakai sistem perbankan secara menyeluruh.

Kadar cukai dikenakan juga tidak perlulah terlalu tinggi dan membebankan, hanya sekadar mencukupi untuk menggalakkan usahawan dalam talian didaftarkan dalam pusat data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perlu diingatkan, nilai jurang cukai dalam negara kini dianggarkan lebih kurang RM25 bilion hingga RM30 bilion. Ini adalah nilai cukai yang sepatutnya dikutip, tetapi tidak dipungut.

Atau dalam bahasa mudah angka itu, termasuk cukai individu atau entiti yang lari cukai, peniaga dalam talian yang enggan mendaftar dengan LHDN, perniagaan dalam aktiviti ekonomi gelap dan ekonomi samar bayangan.

Kerana itu apabila kita berbicara soal meneroka hasil baharu untuk negara, maka antara alternatifnya adalah dengan memperbaiki sistem cukai sedia ada, memperluaskannya kepada ekonomi digital dan menggalakkan rakyat membayar cukai sejajar prinsip percukaian negara.

Berita Harian X