Sabtu, 12 Oktober 2019 | 12:20pm
BANGUNAN Utusan Melayu Berhad di Jalan Chan Sow Lin. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Mengimbas 80 tahun Utusan Malaysia

PADA 9 Oktober 2019, syarikat Utusan Melayu Bhd akhirnya mengumumkan bahawa akhbar berusia 80 tahun itu akan berhenti operasi. Sejak penghujung Ogos lalu, sudah kedengaran khabar angin mengenai kegawatan dihadapi Utusan Malaysia, malah dikatakan akan ditutup ketika itu juga.

Ini sedikit catatan saya mengimbas kembali sejarah surat khabar yang cukup sentimental buat masyarakat kita. Semoga ia memberi pedoman dan lebih penting lagi, inspirasi, kepada generasi hari ini untuk menghayati perjuangan dunia persuratkhabaran di negara kita.

Utusan diasaskan oleh ‘rakyat untuk rakyat’. Utusan Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Utusan Melayu adalah akhbar bahasa Melayu tertua di negara ini, sekali gus di dunia. Mengimbas sejarahnya yang panjang sejak naskhah pertama Utusan Melayu diterbitkan pada 29 Mei 1939, akhbar ini bukan sahaja menjadi saksi dan perakam tawarikh negara ini, malah ia begitu terikat dengan roda pedati nasib bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Mulanya bermodalkan wang sumbangan orang ramai melalui penjualan saham di kampung-kampung, dan mukadimahnya berpaut pada Ikrar 1939 yang berbunyi, “Dengan sendi yang tiga itulah (alif ba ta - yang mewakili Agama, Bangsa, Tanah Air) akhbar Utusan Melayu itu berdiri dan atas itulah jua akhbar Utusan Melayu hidupnya dan menyabung nyawa”.

Utusan pada awalnya wadah Melayu progresif Utusan Melayu ketika itu bertujuan mengangkat umat Melayu ke dunia ilmu yang progresif melalui pembacaan berita dan rencana. Tokoh awal Utusan Melayu seperti Pak Sako (Ishak Haji Mohamad) dan A Samad Ismail adalah pejuang kemerdekaan tanah air jauh sebelum UMNO ditubuhkan.

Mereka bergiat melalui gerakan politik Melayu progresif seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Gerakan Angkatan Muda (Geram) dan Pusat Tenaga Ra’ayat (PUTERA).

Pada 1947, Utusan Melayu menyiarkan secara meluas kempen menentang Perlembagaan Persekutuan tajaan British yang dipersetujui UMNO dan sebagai gantinya, tokoh-tokoh akhbar itu bersama pemimpin pelbagai kaum yang lain mengemukakan Perlembagaan Rakyat ‘yang disusun oleh rakyat jelata negeri ini’.

Malah, pada 4 Mei 1956, seorang pejuang pendidikan vernakular, Cikgu Lim Lian Geok, dijemput oleh Utusan Melayu sendiri untuk menulis perutusan dalam edisi khas Hari Raya akhbar berkenaan.

Utusan jatuh ke tangan UMNO

Walaupun pemimpin UMNO pada awalnya menghormati Utusan Melayu sebagai lidah Melayu yang bebas malah mengiktiraf akhbar itu sebagai pemangkin kepada penubuhan UMNO itu sendiri, selepas tahun 1957 pendirian UMNO terhadap Utusan Melayu berubah.

Malah bekas Menteri Kabinet, Aziz Ishak dalam memoir beliau mengeluh bahawa selepas Merdeka, kerajaan UMNO mengekang kebebasan media dan tidak lagi sanggup mendengar kritikan Utusan Melayu.

Menyedari peri pentingnya Utusan Melayu sebagai wadah penyebaran maklumat dan idea yang mampu mempengaruhi pemikiran massa Melayu, UMNO membuat keputusan untuk mengambil alih pemilikan akhbar itu.

Akhirnya pada 1961, penguasaan UMNO terhadap Utusan Melayu menjadi lengkap. Pada April 1961, Ketua Penerangan UMNO yang juga lantikan parti itu dalam pengurusan akhbar Utusan Melayu, Ibrahim Fikri, mengarahkan Said Zahari, Pengarang Utusan Melayu ketika itu, untuk menerima memo kerajaan yang mengandungi Dasar Empat Perkara iaitu;

Menyokong penuh parti pemerintah, mengehadkan liputan kepada parti-parti lain, memperbanyakkan liputan untuk menteri-menteri kerajaan dan menyokong tindakan kerajaan serta jika ada keputusan yang buruk, maka perlu mengkritik secara membina.

Pak Said memanggil empat perkara itu sebagai ‘syarat-syarat penyerahan diri’ yang mematikan akhbar kebangsaan Melayu, lantas yang hidup hanyalah ‘Utusan Melayu celup’. Di sini bermulalah mogok 90 hari oleh warga Utusan Melayu yang diketuai Pak Said untuk mempertahankan kebebasan surat khabar Melayu itu daripada dikongkong pemerintah.

Amat malang, kerajaan UMNO ketika itu akhirnya berjaya mematahkan muafakat waja staf Utusan Melayu lalu Pak Said direhatkan daripada jawatan. Tokoh Wartawan Negara, dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Johan Jaafar menggambarkan 1961 itu sebagai ‘titik tolak penting dunia kewartawanan tempatan (kerana) dengan pengambilalihan Utusan Melayu oleh UMNO, berakhirlah secara rasmi kebebasan media sebenar di negara ini.’

Daripada lidah rakyat menjadi lidah parti

Benarlah amaran tokoh-tokoh berkenaan apabila di bawah kawalan UMNO, Utusan bukan sahaja menjadi lidah propaganda parti itu malah terlalu taksub membela parti sehingga sanggup menyiarkan berita palsu dan fitnah.

Ini sekali gus menjadikan akhbar itu tidak menarik dan tidak diyakini pembaca. Sudah berkali-kali Utusan diheret ke mahkamah kerana menyiarkan fitnah terhadap pemimpin parti lawan UMNO. Pemimpin DAP kerap menjadi mangsa fitnah akhbar itu.

Pada Disember 2011, Utusan Malaysia diarah oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng atas artikel yang berunsur fitnah ke atas beliau. Pada Mac 2015, Mahkamah Tinggi sekali lagi mengarahkan Utusan Malaysia untuk membayar RM200,000 kepada Lim Guan Eng atas fitnah dalam artikel yang berbeza.

Pada November 2018, Utusan diarahkan buat kali ketiga untuk membayar RM50,000 termasuk kos kepada Guan Eng sebagai ganti rugi saman fitnah. Saya sendiri pernah menjadi mangsa fitnah Utusan Malaysia. Pada Julai 2018, Utusan Malaysia memutarbelit kenyataan saya dan sekali gus cuba melagakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dan saya sebagai timbalan beliau ketika belum cukup sebulan kami menjawat jawatan terbabit.

Maka tidak hairanlah barah yang tumbuh pada 1961 kini meragut nyawa akhbar bersejarah ini. Edaran harian saban tahun semakin merudum, syarikat Utusan Malaysia mengalami kerugian beratus juta ringgit.

Era subur buat kebebasan media

Tragisnya pada 9 Oktober 2019, di hari kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan Akta Berita Tidak Benar 2018 yang digubal oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu, Utusan Melayu menghentikan operasinya.

Sebenarnya, Malaysia kini berada di era yang subur buat kegiatan media dan kewartawanan. Dahulu dikenali sebagai negara yang mengongkong kebebasan akhbar, kini kita juara kebebasan media di rantau ini berdasarkan Indeks Kebebasan Media 2019 terbitan Reporters Without Borders.

Di kala berita mengenai penghentian operasi Utusan Malaysia, ada juga desas-desus yang membawa harapan ‘bahawa keadaan ini hanya buat sementara dan tidak lama lagi, akhbar berkenaan akan beroperasi semula’.

Tidak kiralah sama ada Utusan Malaysia yang bakal hidup semula, ataupun media pelbagai wadah yang lain, saya berharap ruang demokrasi baru ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mengembalikan kewibawaan yang terserlah di kalangan tokoh-tokoh awal kewartawanan negara, seperti pengasas Utusan Melayu 80 tahun dahulu.

Media perlu menjadi estet keempat Malaysia Baharu, sebagai cabang yang membina minda dan hati nurani masyarakat bagi membangunkan bangsa Malaysia yang lebih hebat dan berjaya.

Selamat tinggal (buat sementara?), Utusan Malaysia.

Biar catatan Tongkat Warrant di bawah mengenang kehebatan Utusan Melayu dan menginspirasikan kemunculan semula pewaris obor Ikrar 1939, kali ini untuk membawa gagasan Malaysia yang merdeka, majmuk dan makmur:

UTUSAN MELAYU

Ketika tanah air menjadi bisu

Engkaulah penyambung lidah

bangsamu

Orang yang takutkan

kata merdeka

Engkau jeritkannya selantang

suara

Bila bangsa ini ternoda

Engkaulah si berani bersuara

Rakyat mendengar suaramu

membela

Kerana engkau sentiasa

bersama mereka

Para petani nelayan dan

pekerja

Utusan Melayu

Wajah dan lenggangmu

boleh berubah

Suara dan nadamu berkocak

gundah

Namun jiwamu tetap tidak

mungkir

Untuk bangsa agama dan

tanah air

- Usman Awang, 1989

Penulis ada Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Berita Harian X