Sabtu, 5 Oktober 2019 | 11:00am

Ubah pendekatan perangi isu keselamatan

Dalam mendepani teknologi Revolusi Perindustrian 4.0, pendekatan tradisional untuk memerangi pelbagai ancaman terutama kepada keselamatan negara, sudah tidak sesuai apatah lagi penggunaan melalui media sosial bagi menyebarkan ideologi serta merekrut anggota.

Sebab itulah Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan kelmarin penting dengan matlamat menjadikan Malaysia kekal sebagai negara berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia.

Ia merangkumi semua aspek daripada pemeliharaan kelangsungan perlembagaan dan institusi agama, bangsa dan tanah air; pengukuhan keselamatan sempadan; menjamin keselamatan dan ketenteraman awam; memerangi ancaman dadah serta melindungi aset dan sasaran penting negara.

Pengenalan dasar itu tepat pada masanya ketika dunia kini berdepan pelbagai cabaran keselamatan kompleks - dari dalam mahupun dari luar termasuk jenayah rentas sempadan serta ancaman ideologi dan fahaman bertentangan dengan agama.

Jika baik untuk negara, apa salahnya

Pelbagai pandangan dilontar pelbagai pihak terutama di media sosial berkaitan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) setelah Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan yang kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaannya jika itu kehendak rakyat.

Bagi kita, apa sahaja yang memberi kebaikan demi kemajuan negara, tidak salah untuk menggunakannya. Kita harus lupakan soal kepentingan politik demi negara dalam apa juga isu yang dibangkit asalkan ia boleh mensejahterakan negara.

Isu GST andai dikembalikan sekali pun, tidak harus dipolitikkan. Kita terima apa yang baik dan selagi kita tidak melaksanakannya - GST atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kita tidak tahu bagaimana impaknya meskipun banyak teori kebaikan dan keburukan kita dengar selama ini.

Mungkin cukai enam peratus yang dikenakan ketika pelaksanaan GST boleh dilihat semula untuk dikurangkan kepada hanya tiga peratus bagi memberi keadilan kepada semua. Apapun, terpulang kepada kerajaan sama ada untuk mengekalkan SST atau sebaliknya.

Berita Harian X