Jumaat, 4 Oktober 2019 | 11:00am

Kaji, kupas cadangan lebih mendalam

Cadangan sistem undian perwakilan berkadar berbanding first past the post seperti yang ada sekarang, perlu kajian serta kupasan mendalam bagi mengetahui sama ada ia baik untuk negara kita yang masih membangun berbanding negara maju yang sudah mengguna pakai sistem itu.

Contohnya, perwakilan berkadar akan menonjolkan dasar parti. Individu yang ditonjol oleh parti sebagai calon Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan akan menjadi lebih penting untuk kemenangan sesebuah parti.

Sistem majoriti mudah yang kita gunakan selama ini, juga memberi ruang kepada rakyat khususnya pengundi untuk menilai wakil rakyat, sama ada mampu berkhidmat dengan baik atau sebaliknya. Sistem perwakilan berkadar dikatakan hanya memberi kelebihan kepada pengundi dan masyarakat di bandar dan sebab itu ia popular di negara maju, yang rata-rata penduduknya tinggal di bandar.

Di negara kita, kaum bukan Melayu lebih ramai mendiami kawasan bandar berbanding Melayu dan Bumiputera. Ada pro dan kontra. Cadangan ini harus dibincang pada semua peringkat sebelum dibawa ke Parlimen. Adakah ini baik untuk pembangunan negara.


Gambar fail/hiasan - Antara pengundi warga emas yang berkerusi roda tidak melepaskan tanggungjawab membuang undi. - Foto Danial Saad

Guna e-dompet sekat warga asing

Akhirnya selepas 10 tahun tanpa sebarang tindakan, kebun haram yang diusahakan warga asing di tanah kerajaan di Bukit Beruntung dimusnahkan. Syabas kepada pihak berkuasa kerana bertindak, susulan laporan eksklusif akhbar ini pada 8 September lalu.

Harap pemantauan rapi dibuat supaya isu sebegini tidak berulang lagi. Kita juga percaya, perkara sama mungkin berlaku di negeri lain yang memerlukan pemantauan pihak berkuasa dan jangan hanya bertindak semata-mata apabila isu itu dilaporkan media.

Negara juga perlu cepat galakkan sistem masyarakat tanpa tunai di semua peringkat agar warga asing yang tidak mempunyai permit berniaga tidak dapat berniaga lagi. Ini salah satu cara untuk menyekat warga asing menjalankan kerja tanpa permit.

Bayangkan kalau beli sayur di pasar perlu guna e-dompet, pendatang haram tanpa izin ini tidaklah dapat berniaga di pasar kerana sudah tentu ramai mereka tidak mempunyai akaun e-dompet dan jika ada pun boleh dipantau akaun itu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dapat dicukai.

Berita Harian X