Khamis, 3 Oktober 2019 | 11:00am

Galak sumbangan tetap Tabung Pahlawan

Kempen Tabung Pahlawan 2019 seperti dinyatakan Menteri Pertahanan, menyasarkan kutipan RM6 juta. Sekali pandang jumlahnya agak besar, namun masih belum memadai. Tidak hairanlah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM merayu lebih banyak syarikat korporat tampil memberi sumbangan.

Kita setuju impak sumbangan syarikat korporat lebih besar berbanding individu. Namun kita tidak boleh bergantung kepada mereka semat-mata, sebaliknya semua rakyat harus ada kesedaran untuk menyumbang. Dalam hal ini, kita percaya stigma pemikiran umum terhadap Tabung Pahlawan harus diubah. Masyarakat harus sedar ia sebenarnya ‘peluang’ untuk mereka membalas dan berkongsi nikmat keamanan dikecapi.

Benar wang ringgit itu bukan tukaran keamanan. Namun, ia melambangkan kita menghargai anggota tentera yang banyak berkorban dan berjasa. Dengan menyumbang walaupun RM1 kita sebenarnya memberi pengiktirafan kepada jasa mereka.

Dalam menggalakkan rakyat menyumbang, JHEV patut tampil dengan kaedah terkini. Di Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh ada terma monthly giver atau penyumbang bulanan untuk tabung veteran mereka. Kaedah ini banyak diaplikasi untuk tabung seupamanya. Mungkin Tabung Pahlawan kita boleh contohi untuk mudahkan orang ramai menyumbang secara tetap, bukan sekadar menunggu tabung diedar di sekolah atau lokasi awam semata-mata.


Gambar fail, Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali melancarkan kempen Tabung Hari Pahlawan anjuran Kementerian Pertahanan, di Dewan Perkasa, kuala Lumpur pada 19 September lalu. Turut kelihatan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Datuk Dzulkarnain Ahmad (kanan). - Foto Hafiz Sohaimi

Elak remehkan demokrasi

Satu lagi titik baharu dalam arena politik Malaysia apabila calon berusia 18 tahun dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor. Selepas hebat diperjuang, kini laluan untuk itu sudah terbuka. Namun, persoalan yang harus dilihat semua ialah sejauh manakah kita sudah bersedia untuk itu?

Dari segi Perlembagaan memang kehadiran calon berusia 18 tahun dibenarkan kali ini. Namun, jangan pula ada yang sampai tergopoh-gapah mencari individu berusia 18 tahun semata-mata untuk menjadi ‘juara’ dalam hal ini. Kita tidak mahu sikap terburu-buru, akhirnya menjurus ke arah tindakan meremehkan proses demokrasi.

Perlu diingat, proses pilihan raya baik PRK atau pilihan raya umum (PRU) bukanlah pentas untuk mencari publisiti murahan. Motif utama pilihan raya adalah untuk mencari pemimpin demi rakyat. Lantas sebarang idea mana-mana pihak tidak kiralah kerajaan atau pembangkang untuk bereksperimen dengan nasib dan masa depan rakyat, haruslah dielak.

Namun jika benar ada calon yang betul-betul layak dan dapat memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai calon seterusnya bergelar pemimpin, tidak salah jika PRK Tanjung Piai ini dijadikan titik mula.

Berita Harian X