Ahad, 22 September 2019 | 11:00am
SEMAKIN lama jerebu dibiarkan, semakin teruk kesannya kepada masyarakat dan negara. - Foto hiasan

Jerebu jejas produktiviti, kualiti hidup

JEREBU adalah keadaan partikel kecil yang tidak boleh dilihat mata kasar dan ia terapung-apung di udara. Ini berlaku disebabkan kesan aktiviti manusia seperti pembakaran terbuka, asap dari kilang dan kenderaan.

Disebabkan kewujudan partikel yang banyak di udara dan berkelompok, maka ia boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi sehingga mengurangkan jarak pandangan mata kasar. Jerebu juga mengandungi gas pencemaran lain seperti karbon monoksida, nitrogen dioksida, sulfur dioksida, ozon dan pelbagai lagi gas berbahaya mengikut jenis punca jerebu.

Jerebu yang melanda Malaysia selama beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh pembakaran secara terbuka di Indonesia dan beberapa tempat di Malaysia yang tidak terkawal sehingga menyebabkan pembakaran hutan yang meluas.

Indeks pencemaran udara (IPU) digunakan untuk mengukur kepadatan gas pencemaran dan partikel dalam udara ini sehingga ke saiz 2.5 micron atau lebih kecil daripada rambut yang dibelah tiga. Partikel yang terawang-awang di udara terdiri daripada pelbagai saiz.

Partikel ini dikenali sebagai particulate matter (PM) mempunyai saiz antara 2.5 m (PM2.5) hingga 10 m (PM10). IPU dilabel sebagai selamat 0-50, sederhana 51-100, tidak sihat 101-200, sangat tidak sihat 201-300 dan berbahaya untuk lebih 300. Darurat boleh diisytiharkan jika bacaan IPU melebihi 500.

Bagi PM, saiz sekecil ini mampu memasuki paru-paru, malah boleh menembusi kapilari darah sekiranya ia lebih kecil daripada 1 micron, sekali gus mengakibatkan masalah kesihatan. Ia boleh menyebabkan keradangan kepada paru-paru secara akut mahupun secara kronik jika terdedah pada suatu tempoh masa yang lama.

Menurut Brook et al, reaksi tubuh terhadap inhalasi partikel ternafas berlaku melalui dua cara. Cara pertama adalah melalui tindak balas langsung dan tidak langsung partikel ternafas ke atas kardiovaskular, tekanan darah, kerintangan insulin dan tisu adipos. Cara kedua adalah tindak balas tubuh secara akut, sub-akut dan kronik.

Kajian epidemiologi mendapati pendedahan habuk bersaiz PM2.5 selama satu hingga dua hari boleh mengakibatkan tekanan darah sistolik meningkat 2.8 mmHg. Baccarelli et al. mendapati tekanan darah sistolik dalam kalangan pemandu dan pekerja pejabat meningkat 0.98 mmHg bagi setiap kenaikan 10 μg/m3 kepekatan habuk PM10.

Brook et al. pula mendapati pendedahan habuk PM2.5 mempunyai hubungan dengan peningkatan tekanan darah diastolic sebanyak 3.6 mmHg walaupun hanya dua jam pendedahan.

Selain itu, kajian epidemiologi kes kawalan di Rom, Itali mendapati paras purata kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi atau High-Density Lipoprotein (HDL) dan trigliserida (TG) meningkat dalam kalangan responden yang terdedah pada partikel asap trafik berbanding kumpulan kawalan.

Di North Carolina, Amerika Syarikat, kajian mendapati setiap kenaikan 1 μg/m3 partikel akan meningkatkan paras trigliserida (TG) dan kolesterol berketumpatan rendah atau low-density cholesterol (LDL), masing-masing sebanyak 4.8 peratus dan 1.2 peratus daripada paras normal selepas terdedah pada partikel pencemar udara ternafas di bandar selama 12 minggu.

Antara kesan lain ke atas kesihatan manusia adalah sesak nafas, asma, mata berair dan kadang-kadang menyebabkan sakit kepala. Kajian Shahwahid menunjukkan kadar pesakit ke klinik dan hospital pada 2013 bertambah secara ketara ketika jerebu sehingga 30 peratus kerana batuk, gatal mata, kabur pandangan dan gatal tekak.

Kadar kemasukan ke hospital di Selangor dan Kuala Lumpur bagi penyakit jangkitan paru-paru, serangan jantung, asma dan tekanan darah tinggi sehingga 63 peratus ketika jerebu pada 2005 hingga 2006.

Baru-baru ini, Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah, berkata peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus pesakit di klinik mata kerajaan bagi mendapatkan rawatan mata akibat jerebu dan kebanyakannya seperti alergi konjungtivitis yang tidak berjangkit, tetapi menyebabkan ketidakselesaan seperti mata merah dan berair.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata fasiliti kesihatan di seluruh negara sentiasa bersiap siaga dalam menangani sebarang peningkatan mendadak akibat situasi semasa ini.

Oleh itu, pesakit jantung dan paru-paru kronik, warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan. Sekiranya terpaksa berada di luar, pendekkan tempoh berada di luar bangunan. Mereka dinasihati memakai topeng muka, terutama jenis N95 yang paling berkesan untuk menapis udara.

Namun, topeng muka biasa masih boleh dipakai daripada tidak menggunakan perlindungan pernafasan bagi mengurangkan risiko.

Selain itu, jerebu juga menurunkan produktiviti dan kualiti hidup masyarakat disebabkan tidak dapat keluar bekerja, manakala murid tidak dapat pergi ke sekolah bagi mengelak ancaman asap jerebu.

Kesan ekonomi kepada negara dapat dilihat melalui kos perubatan yang meningkat sehingga RM119 juta untuk kemasukan wad dan RM410 juta untuk kos rawatan penyakit berkaitan jerebu, manakala RM203 juta kerugian akibat cuti sakit oleh pekerja dan RM958 juta kerugian daripada kehilangan pendapatan.

Secara tidak langsung ia akan menyebabkan pengurangan pendapatan negara daripada cukai, aliran tunai dan kedatangan pelancong asing ke Malaysia. Kesan jerebu tidak seharusnya dilihat hanya kepada simptom dialami pesakit, tetapi juga kesan sosial, peluang ekonomi dan penggunaan perbelanjaan kerajaan untuk menangani isu berkaitan jerebu.

Semakin lama jerebu dibiarkan berlaku, pastinya semakin teruk kesannya kepada masyarakat dan negara. Lantaran itu cegahlah sebelum menjadi parah.

Penulis adalah Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik)

Berita Harian X