Jumaat, 13 September 2019 | 11:00am
BACHARUDDIN Jusuf Habibie

Perginya pencipta pesawat Indonesia

Bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie, yang menerajui pembaharuan demokratik negara itu selepas kejatuhan pentadbiran diktator lebih tiga dekad Suharto, meninggal dunia kelmarin di Jakarta.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 6.05 pagi, ketika dalam penjagaan intensif di Hospital Tentera Gatot Subroto di Jakarta sejak 1 September lalu.

Anaknya, Thareq Kemal Habibie, berkata pada Selasa lalu keadaan Habibie mula stabil selepas menjalani rawatan intensif akibat keletihan berikutan jadual yang padat. Namun, takdir menentukan Presiden Indonesia Ketiga itu pergi untuk selamanya kelmarin, pada usia 83 tahun.

Kesihatan Habibie dikatakan mula merosot sejak menjalani pembedahan di Munich, Jerman, untuk merawat kebocoran pada injap jantung prostesis pada awal Mac tahun lalu.

Sebelum pembedahan sekalipun, Habibie tidak pernah pulih sepenuhnya baik dari segi mental atau fizikal, susulan kesedihan akibat kehilangan isteri tercinta, Hasri Ainun Besarie atau Ainun Habibie pada 2010.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan kubur isterinya itu di Taman Makam Pahlawan Kalibata, di Jakarta Selatan.

Dilahirkan di Parepare, Sulawesi Selatan pada 25 Jun 1936, Habibie adalah anak keempat daripada lapan cahaya mata milik Alwi Abdul Jalil Habibie dan Tuti Marini Puspowadjojo.

Seorang Muslim yang taat, beliau mewarisinya daripada susur galur keluarganya di Parepare, dengan datuknya adalah seorang ulama. Habibie antara pengasas Persatuan Intelek Islam Indonesia (ICMI) dan beliau juga menjadi penaungnya.

Ketika remaja, Habibie bersekolah di Christian Dago High School di Bandung, Jawa Barat. Beliau kemudian menamatkan pengajian tinggi di Fakultas Teknologi Universitas Indonesia di Bandung (kini Institut Teknologi Bandung) pada 1954.

Antara 1955 hingga 1965, Habibie ke luar negara untuk mengikuti pengajian berkaitan teknologi penerbangan dengan pengkhususan dalam pembinaan pesawat di RWTH Aachen, Jerman. Beliau lulus dan menerima Diploma Engineer (jurutera) pada 1960 dan menjadi doktor Engineer lima tahun kemudian dengan kepujian tertinggi.

Habibie tinggal di Jerman selepas tamat pengajiannya dan bekerja di Messerschmitt-Bölkow-Blohm, sebuah syarikat pesawat di Hamburg. Ketika menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di luar negara, perasaan cinta Habibie terhadap tanah airnya tidak pernah pudar.

Walaupun selepas dianugerah kewarganegaraan kehormat Jerman untuk pencapaiannya dalam teknologi penerbangan, beliau kembali ke Indonesia pada 1973 ketika Presiden Indonesia Kedua, Suharto, menuntut khidmat baktinya dan menggunakan kepakaran dimiliki untuk mengembangkan Indonesia.

Kembali ke Indonesia, karier pertama Habibie adalah dengan Pertamina, sebuah syarikat minyak dan gas tempatan. Beliau kemudian dilantik pengarah di PT Dirgantara Indonesia - industri penerbangan milik Indonesia.

Suharto kemudian melantik Habibie sebagai Menteri Penyelidikan dan Teknologi pada 1978 sehingga 1997. Ketika menyandang kedudukan menteri, Habibie mencipta pesawat Indonesia pertama CN 25 Gatot Kaca dihasilkan PT Dirgantara Indonesia.

Habibie dianggap perintis dalam industri penerbangan Indonesia. Pesawat dihasilkan menjadi bukti kepada dunia Indonesia boleh bergerak ke arah era perindustrian, walaupun selalunya dilabel sebagai negara agrarian (berasaskan pertanian).

Pada 1997, karier Habibie semakin memuncak apabila Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia memilih beliau sebagai Naib Presiden kepada Suharto. Sejarah bertukar haluan apabila setahun kemudian, kuasa rakyat memaksa Suharto meletak jawatan selepas hampir 33 tahun dalam pentadbiran.

Pada 21 Mei 1998, Suharto mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden dan secara sah sebagai Naib Presiden, Habibie mengambil alih kedudukan nombor satu itu. Penghujung 1990-an adalah era yang sukar, di mana Indonesia mengalami krisis ekonomi yang teruk dengan inflasi besar, ditambah pula keadaan politik dan keamanan domestik yang tidak stabil.

Habibie berjaya mengangkat Indonesia daripada hampir muflis kepada kedudukan ekonomi asas yang lebih selamat, hanya dalam tempoh setahun lima bulan pentadbirannya. Selama pemerintahannya, Indonesia juga mula menguatkuasakan daerah autonomi yang mengubah sistem terpusat kepada berasaskan desentralisasi.

Ketika era pentadbiran Habibie juga, pilihan raya pelbagai parti dibenarkan, selepas lebih 30 tahun rejim Suharto mengehadkannya hanya kepada tiga parti.

Selain peranannya di negara ini, peribadi Habibie juga dikenal sebagai seorang suami penyayang kepada Ainun.

Beliau menulis surat cinta panjang kepada arwah isterinya itu sebagai ‘katarsis’ atau kelegaan emosi atas kehilangannya, selepas Ainun meninggal dunia pada 2010. Nukilan itu diterbitkan dan menjadi salah satu buku terlaris di Indonesia.

Kisah cinta mereka turut digarap melalui sekurang-kurangnya tiga filem yang masih memberi inspirasi kepada banyak warga Indonesia.

Sekarang ‘saintis bertaraf dunia’ dan ‘bapa teknologi Indonesia’ seperti gelaran disebut Presiden Joko Widodo melalui ucapan beliau yang disiarkan di kaca televisyen ketika mengumumkan kematian Habibie, sudah pergi. Namun warisannya akan kekal selama-lamanya dalam hati anak bangsa Indonesia.

Sumber: Terjemahan ANTARA News

Berita Harian X