Jumaat, 6 September 2019 | 11:00am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hadir pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, Ahad lalu. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Ambil iktibar peristiwa takwim Hijrah

TAHUN ini, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos disusuli rapat dengan sambutan tahun baru kalendar hijrah atau Awal Muharam pada 1 September. Takwim atau kalendar adalah satu perkara penting dalam ajaran agama Islam, kerana banyak urusan ibadah dikaitkan dengan bulan dan hitungan tahun.

Ibadah puasa dan haji contohnya, diikat dengan tarikh dan tempoh tertentu. Ibadah zakat pula dikaitkan dengan tempoh haul, iaitu hitungan satu tahun bagi kiraan zakat.

Sejarah mencatatkan bahawa sistem penetapan dan hitungan bulan berdasarkan peredaran bulan sebanyak dua belas bulan, sudah lama diamalkan oleh masyarakat Arab sebelum pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul.

Bagaimanapun, bangsa Arab tidak mempunyai satu sistem yang standard mengenai bilangan tahun. Selalunya, tahun hanya akan ditanda dengan peristiwa besar yang berlaku pada tahun itu seperti Tahun Gajah, Tahun Sumpah Setia dan sebagainya.

Sebenarnya, penggunaan satu sistem takwim yang standard oleh umat Islam sudah dibangunkan oleh Saiyidina Umar ibn al-Khattab RA ketika beliau menjadi khalifah. Ia adalah satu inisiatif pemantapan pentadbiran kerajaan yang dilakukan oleh Saiyidina Umar RA.

Mengikut riwayat yang masyhur, inisiatif ini diambil hasil daripada aduan yang diberikan oleh gabenor di Basrah kepada Saiyidina Umar RA mengenai surat tidak bertarikh yang diterimanya. Perkara ini disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul-Baari beliau. Penetapan kalendar ini berlaku pada 20 Jamadil Akhir tahun ke-17 daripada hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah (Yathrib).

Keputusan memulakan tahun pertama kalendar ini dengan tahun berlakunya hijrah Rasulullah SAW dibuat melalui satu permesyuaratan yang dilakukan bersama sahabat yang lain. Justifikasi yang dipersetujui bagi penandaan takwim dari peristiwa hijrah ini diperjelaskan melalui keputusan Saiyidina Umar RA., ‘Hijrah memisahkan antara perkara yang haq dengan yang batil, maka kita (mulailah) pentarikhan dengannya.” (Fathul-Baari).

Ketika pemerintahan Saiyidina Umar RA sebagai khalifah, daerah khilafah Islamiah berkembang dengan begitu pesat. Kawasan Mesir, Syam dan Parsi umpamanya menerima dan berada di bawah kuasa pemerintahan Islam. Kesemua tempat ini mempunyai ketamadunan yang tersendiri termasuklah sistem kalendar masing-masing.

Maka tindakan Saiyidina Umar RA mewujudkan satu sistem takwim yang rasmi dan standard adalah satu inisiatif dan inovasi pentadbiran yang strategik. Ia memberi sumbangan besar bagi mengukuhkan urus tadbir baik kerajaan Kota Madinah yang dipimpinnya.

Inisiatif ini jelas satu manifestasi kepada prinsip governans yang baik seperti responsif, efektif, efisien, partisipasi dan ketelusan.

Apa yang dilakukan oleh Saiyidina Umar RA ini menunjukkan beliau peka dan responsif kepada keperluan baharu yang timbul semasa era pemerintahannya itu. Jika efektif diertikan sebagai melakukan sesuatu perkara yang betul, maka melaksanakan satu takwim yang piawai adalah perkara yang sangat tepat untuk pentadbiran sebuah kerajaan yang sedang pesat berkembang.

Bila efisien pula bermaksud melakukan sesuatu dengan betul, maka transformasi pentakwiman ini adalah satu cara yang sangat betul untuk memantapkan pentadbiran pada masa itu. Apabila proses untuk memformulakan takwim baharu ini dilakukan melalui kaedah syura, maka ini membuka ruang partisipasi pelbagai pihak bagi menyertai penggubalan satu dasar negara.

Pihak yang berkepentingan diberi ruang untuk menyuarakan pendapat dan keputusan dibuat dengan memberikan penjelasan dan justifikasi secara terbuka, ia melambangkan prinsip ketelusan Saiyidina Umar RA dalam menjalankan pemerintahannya.

Dengan berpegang kepada prinsip tadbir urus baik inilah, selama 10 tahun di bawah pentadbiran Saiyidina Umar RA ini, negara Kota Madinah yang mengemudi panji pemerintahan khilafah Islamiah menjadi satu empayar yang luas dan begitu sistematik pentadbirannya.

Prinsip sama yang mencetuskan pemakaian satu takwim yang rasmi dan standard, maka prinsip governans yang sama juga menatijahkan penubuhan Majlis Syura yang sistematik pada zaman Saiyidna Umar RA.

Pentadbiran berdasarkan wilayah, pelantikan jawatan gabenor secara bersurat, penubuhan jabatan-jabatan yang tersusun di bawah khalifah, sistem laporan berkala oleh gabenor, sistem cukai dan zakat yang efisien dan pelbagai lagi inisiatif dan dasar baharu yang diperkenalkan oleh Saiyidina Umar RA.

Oleh itu, di samping peringatan dan pengajaran utama setiap kali tahun baharu hijrah disambut tertumpu kepada falsafah, konsep, peristiwa serta aplikasi hijrah dan juga menyentuh mengenai bulan Muharam serta keutamaannya, maka adalah sangat penting juga sisi tadbir urus baik yang diteladankan oleh Saiyidina Umar RA ini turut diingati, difahami dan dihayati.

Ini sesuai dengan pujian Rasulullah SAW sendiri kepada Saiyidina Umar RA, ‘Seandainya setelahku akan ada lagi nabi, nabi itu adalah Umar Ibn al-Khattab.” (HR. Ahmad, Al-Tirmidzi, Al-Tabroni dan Al-Hakim; hasan).

Penulis adalah Pengarah, Bahagian Dasar dan Strategik, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), JPM

Berita Harian X