Khamis, 5 September 2019 | 11:00am
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan 'Operasi Bersepadu - Ops Bas dan Van pekerja kilang' dengan kerjasama agensi penguatkuasa PDRM, AADK, JAS dan Jabatan Imigresen. Hasil operasi JPJ memeriksa lebih 215 bas dan van dan mengeluarkan 60 saman pelbagai kesalahan di Tapak Ekspo Seberang Jaya, bulan lalu. - NSTP/Rosli Ahmad

Elak JPJ terus dicemari rasuah

MENGEJUTKAN apabila angka ketirisan kutipan hasil Lesen Kenderaan Motor (LKM) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didedahkan mencecah RM50 juta. Ia bukan jumlah kecil, lantas langkah tegas harus diambil agar ketirisan tidak terus merugikan negara. Perlu diingat hasil cukai penting untuk membantu kerajaan menjana pembangunan serta menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat.

Kita percaya siasatan telus harus dijalankan. Memandangkan kegiatan itu sudah lama berlarutan, aspek pembabitan ‘orang dalam’ tidak boleh sekali-sekali diketepikan.

Pasukan khas yang ditubuhkan JPJ untuk menyiasat hal ini harus bertegas. Kita tidak mahu integriti JPJ terus-menerus dicemari, ketika kes tangkapan rasuah beramai-ramai membabitkan kakitangannya di Pulau Pinang masih lagi berbekas.

Andai siasatan dijalankan nanti mengesahkan ada pembabitan orang dalam, janganlah pula ia disorokkan. JPJ perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memperbaiki imej dan integriti agensi, selaras misi disuarakan Ketua Pengarahnya untuk ‘bersih’ JPJ dari dalam.

Gerak aset kekang pemburu haram

Sudah sampai masanya tindakan tegas diambil ke atas pemburu haram. Jenayah itu jelas menyasarkan spesies haiwan dan tumbuhan unik khususnya dalam kategori dilindungi. Jadi ia harus segera dihentikan.


Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) menunjukkan kayu balak pelbagai saiz tanpa cop Jabatan Hutan yang dirampas dalam operasi Op Landai di Simpang Murum Jalan Bintulu-Bakun, bulan lalu. - NSTP/Erika George

Banyak kita dengar pemburu haram termasuk membabitkan warga asing, rakus menceroboh kawasan hutan simpan, mencuri hasil khazanah negara. Mereka seolah-olah tidak serik, malah semakin berbahaya apabila ada yang dilengkapi senjata api. Dalam hal ini kita puji kesediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghulurkan aset untuk membantu mengekang kegiatan pemburu haram dan jenayah penyeludupan haiwan dilindungi, khususnya di 19 lokasi panas kegiatan itu yang dikenal pasti.

Namun, sementara usaha membanteras pemburu haram ini menjadi cekap, hukuman lebih berat harus dikenakan melalui pindaan akta berkaitan. Dalam hal ini kita setuju dengan cadangan agar hukuman sebat dikenakan ke atas mereka yang disabitkan dengan kesalahan memburu secara haram.

Banyak sudah hidupan liar hari ini semakin menuju kepupusan akibat habitat mereka terancam termasuk desakan pembangunan. Jadi kita tidak mahu keadaan ini diburukkan lagi dengan aktiviti pemburu haram yang semakin rakus.

1799 dibaca
Berita Harian X