Sabtu, 31 Ogos 2019 | 11:00am

Selamat Hari Merdeka Ke-62

Hari ini kita menyambut Hari Merdeka Ke-62 yang seharusnya disambut dengan penuh keinsafan untuk terus mempertahankan keharmonian dan memajukan lagi negara. Kita perlu memperbaharui tekad untuk sama-sama menyokong gagasan menjadikan negara maju menjelang 2025, walaupun tersasar daripada sasaran asal melalui Wawasan 2020.

Tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ hendaklah dihayati kerana ia membawa maksud tersendiri - membersihkan diri daripada segala ‘kekotoran’, terutama rasuah dan menjadi insan berguna dengan keperibadian unggul. Kita harus mewujudkan semangat dan memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya.


MERDEKA… Percikan meriah bunga api berlatar belakangkan Menara Berkembar Pertronas (KLCC) pada sambutan Ambang Merdeka. - Foto BERNAMA

Kefahaman mengenai nikmat dan semangat kemerdekaan perlu disampaikan agar setiap masyarakat cintakan negara. Tanpa perjuangan nasionalis, negara tidak akan merdeka dan terus dijajah serta menghadapi pelbagai masalah seperti sosial. Anak generasi selepas merdeka pula perlu sentiasa disedarkan dan digegarkan pemikiran mereka supaya tidak lalai dan bersikap selesa dengan kemakmuran yang mereka nikmati.

Jika tidak, mereka akan terus hanyut dan terlupa jati diri. Kemerdekaan bagi mereka tiada erti dan nilainya. Sebagai rakyat sebuah negara merdeka, bebaskan diri kita daripada dibelenggu unsur penjajahan dan bangun sebagai rakyat di sebuah negara yang merdeka seratus peratus dari segi fizikal dan mental.

Mansuh jawatan tak perlu

Selepas rasionalisasi saiz perkhidmatan awam hingga berupaya menjimatkan RM10 bilion perbelanjaannya, penggunaan teknologi yang sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 perlu dipertingkatkan bagi meningkatkan lagi produktiviti serta kecekapan.

Banyak lagi boleh dibuat untuk automasi sebahagian tugas yang dilakukan sekarang. Perkhidmatan awam harus tekad untuk muncul sebagai pekerja efisien di dunia dalam setiap segi perkhidmatan. Namun, pihak berkaitan perlu membuat penelitian lanjut apabila ingin mengisi kira-kira 100,000 kekosongan jawatan di jabatan dan agensi kerajaan termasuk kerana persaraan saban tahun.

Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0, mungkin sesetengah jawatan itu sudah tidak perlu atau perlu dimansuhkan. Biarlah saiz kakitangan itu sesuai keperluan semasa dengan tumpuan kepada jawatan kritikal.

Jika sesuatu sektor itu perlu diswastakan, maka swastakanlah bagi mengurangkan beban kerajaan selain penyusunan semula perjawatan yang difikirkan sesuai atau melalui outsourcing.

1081 dibaca
Berita Harian X