Selasa, 27 Ogos 2019 | 11:00am

Elak keselamatan makanan terjejas

Tuntutan kemajuan menjadi antara punca keluasan Jelapang Padi negara menguncup apabila banyak tanah sawah bernilai tinggi khususnya di kawasan pinggir bandar diubah status dan dimanfaatkan untuk pembangunan. Realiti ini harus diterima, namun kita tidak boleh berpeluk tubuh, kerana ia berhubung kait jaminan keselamatan bekalan makanan negara.

Bagi tanah sawah yang diambil untuk pembangunan, pastikan wajib ia diganti dengan keluasan sama di lokasi lain. Ketika ini kita hanya menghasilkan dua juta tan beras setahun, sedangkan keperluan dianggar mencecah tiga juta tan. Jika keluasan terus menyusut, apa nasib kita jika suatu hari nanti terpaksa bergantung hanya kepada bekalan beras import?


Gambar hiasan, sebahagian daripada kawasan jelapang padi Kota Belud di Kampung Tambulion. - Foto Suzianah Jiffar

Kita percaya sudah sampai masanya kerajaan mengenal pasti lokasi penanaman padi baharu. Usaha serius juga perlu digerakkan untuk memastikan industri padi dan beras negara berhijrah ke arah pertanian pintar. Mungkin di lokasi baharu itu nanti, perancangan teliti ke arah itu dapat dimulakan.

Kita yakin sektor pertanian negara bukan sahaja padi dan beras, harus mula bergerak ke arah dimensi baharu. Dengan desakan pembangunan, tidak mustahil tanah pertanian semakin mengecil. Sekaranglah masa terbaik untuk berhijrah. Mungkin dengan pengurusan pertanian lebih terancang melalui penggunaan teknologi pertanian pintar, pengeluaran hasil lebih maksimum bagi setiap hektar sawah dapat memastikan kelangsungan keselamatan bekalan makanan terus terjamin.

Benarkah guru perlu kuarters?

Bercakap soal kuarters guru terbiar, timbul persepsi apakah kemudahan itu benar-benar diperlukan. Cukup sayang sekali apabila lebih 10,000 daripada 50,257 keseluruhan unit kuarters guru diakui rosak dan tidak boleh dihuni. Bukankah ia satu pembaziran?

Dalam hal ini, kita percaya dua kemungkinan menjadi punca. Selain faktor guru sebenarnya tidak memerlukan kemudahan kuarters, kita yakin mungkin kedudukan lokasi kemudahan itu tidak strategik juga menjadi penyebab. Apa pun kisahnya, Kementerian Pendidikan perlu siasat dan kenal pasti punca sebenar.

Mengenai cadangan mengubah suai fungsi kuarters guru untuk disewakan kepada pihak swasta atau kerajaan, kita percaya ia antara penyelesaian yang wajar dipertimbangkan. Namun langkah itu sebenarnya hanya bersifat sementara. Harapnya selepas ini jangan pula fungsi serta tumpuan Kementerian Pendidikan terganggu, sehingga perlunya diwujudkan unit khas pula untuk uruskan soal sewa kuarters dan kutipan.

Lantas, kita amat berharap Kementerian Pendidikan dapat memikirkan penyelesaian yang lebih konkrit dan jangka panjang kepada isu kuarters guru terbiar ini. Jika tidak mampu menjaga kemudahan itu atau tidak lagi perlu, mungkin lebih baik diserahkan kembali kepada kerajaan untuk dimanfaatkan bagi tujuan lain. Contohnya, mungkin dijadikan lokasi penganjuran kursus pendek dikendali agensi kerajaan dan sebagainya.

Berita Harian X