Jumaat, 19 Julai 2019 | 11:00am

Sampai bila Selangor, KL berdepan isu air

Penstrukturan perkhidmatan air Selangor adalah antara kejayaan terbesar dicapai Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), selain sembilan yang lain, sepanjang setahun di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Penyelesaian itu membabitkan pengambilalihan empat syarikat konsesi air, iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Ini menjadikan Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Tetapi kelmarin, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, memberi amaran kepada pengurusan Air Selangor untuk dirombak jika masalah gangguan bekalan air di Lembah Klang pada 23 Julai ini tidak diselesaikan mengikut jadual.


GAMBAR fail, penduduk flat Taman Kencana, Ampang beratur bagi mendapatkan bekalan air bersih daripada jentera Air Selangor berikutan masalah air melanda di sekitar Cheras dan Hulu Langat. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kita menyokong penuh kata dua yang diberikan Santiago kerana kita yakin masalah gangguan bekalan air di Selangor sepatutnya selesai atau berkurangan apabila diletakkan di bawah satu operator tunggal itu, berbanding sebelum ini yang ditambah pula kemelut politik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan terdahulu menyebabkan masalah itu berlarutan bertahun-tahun.

Sebagai negeri termaju dengan begitu banyak kilang dan padat dengan penduduk, bekalan air ini penting dan operasinya tidak boleh terganggu apatah lagi dalam kalangan pengguna itu sendiri. Kita sedih apabila saban tahun atau saban bulan, gangguan bekalan kerap terjadi.

Teliti pandangan semua sebelum laksana PPSMI

Kementerian Pendidikan perlu lebih teliti dan mendengar keluhan pelbagai pihak sebelum melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Tanya semua pihak terutama yang berkepentingan sebelum membuat keputusan muktamad.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang bersikap lebih terbuka dan telus serta sedia mendengar pandangan orang ramai. Kita faham niat baik Perdana Menteri untuk kerajaan mengkaji pelaksanaan semula dasar PPSMI menggunakan sistem baharu.

Ia menerusi sistem dengan penggunaan teknologi maklumat (IT), pengajaran guru terbaik akan direkodkan untuk digunakan di semua sekolah, sekali gus kecekapan guru terbaik dapat dikongsi semua murid dan mencapai hasil hampir sama.

Walaupun cadangan berkenaan menggunakan sistem baharu, namun ia masih ada kaitan dengan dasar dilaksanakan sebelum ini. Kita mahu supaya peningkatan penguasaan bahasa Inggeris menggunakan kaedah lebih komprehensif, tetapi bukan mengembalikan semula dasar PPSMI.

Contohnya, program dwibahasa (DLP) dan kita setuju sebab ia antara kaedah terbaik untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Berita Harian X