Isnin, 17 Jun 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pendekatan baharu elak pesawah bergantung subsidi

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan untuk memperkenalkan tanaman kontan sebagai usaha meningkatkan hasil pendapatan petani padi atau pesawah. Mereka antara kelompok komuniti luar bandar yang sentiasa mendapat perhatian khusus kerajaan.

Pada dasarnya, kebanyakan mereka boleh dikatakan sudah melepasi garis kemiskinan ditetapkan, namun pendapatan masih dikategorikan rendah dan dalam situasi mudah terancam.

Golongan ini akan mudah jatuh kembali kepada kemiskinan seandainya berlaku insiden luar jangka. Kekurangan pemilikan aset kehidupan mencukupi akan mempercepatkan mereka jatuh semula sebagai miskin.

Tanaman padi bukan sekadar menyumbang bekalan makanan negara, malah menjadi sumber utama mata pencarian 200,000 petani padi. Bagi memastikan bekalan makanan ini terjamin, RM1.8 bilion subsidi terpaksa ditanggung kerajaan saban tahun.

Persoalannya, apakah yang menyebabkan petani padi terus berada dalam situasi mudah terancam, sedangkan pelaburan besar dilakukan dalam industri ini.

Ketika ini, rata-rata petani padi sudah menjangkau usia emas, menyebabkan mereka tidak berupaya bekerja secara lebih cekap dan produktif. Peningkatan kos tanaman padi mengakibatkan golongan ini berterusan bergantung subsidi kerajaan.

Saiz tanah dimiliki yang kecil menyulitkan lagi keadaan. Kesannya, hasil pengeluaran tidak dapat dioptimumkan sepenuhnya.

Penghijrahan dan pemilihan kerjaya dalam sektor perindustrian sebagai contoh, menyebabkan pemindahan teknologi dalam industri ini sukar dilaksanakan. Sikap tunggu dan lihat serta ragu-ragu menerima perubahan dalam tanaman padi menyebabkan golongan ini masih di takuk lama.

Tahap pendidikan rendah turut memberi kesan kepada kedudukan taraf hidup golongan ini, mengakibatkan mereka tertumpu kepada tanaman padi semata-mata sebagai sumber utama.

Kurang inisiatif kerja sampingan

Inisiatif dan kreativiti untuk melakukan kerja sampingan bukan pertanian, kurang dilakukan menyebabkan golongan ini terus kekal dalam putaran kemiskinan.

Bagi merealisasikan tanaman kontan dalam meningkatkan pendapatan petani padi, pendekatan dan pelaksanaan holistik perlu dikaji. Tahap ketersediaan mereka untuk mengusahakan tanaman juga perlu dipastikan terlebih dahulu agar sasaran meningkatkan hasil pendapatan mereka dapat dicapai sepenuhnya.

Soal pemilihan dan penentuan jenis tanaman kontan pula boleh dibuat mengikut zon atau kawasan tanaman padi yang bersesuaian. Ia secara tidak langsung memudahkan kerja pemantauan dilakukan kelak.

Pada masa sama, pendekatan baharu perlu dilakukan untuk menarik semula minat golongan belia untuk turut terbabit dalam industri ini.

Mungkin boleh dipertimbangkan geran bantuan atau insentif berbentuk kewangan atau bukan kewangan, termasuk program mentor mentee bersesuaian sebagai langkah permulaan menarik minat generasi muda terbabit industri ini. Ini penting bagi memastikan generasi pelapis kepada industri.

Pembabitan generasi muda diperlukan bagi membolehkan pemindahan teknologi lebih berkesan berbanding petani padi sedia ada.

Pengurusan kewangan juga perlu didedahkan kepada golongan petani padi agar lebih peka ke atas perbelanjaan isi rumah. Walaupun dilihat remeh, kegagalan menguruskan pendapatan dengan betul akan memberi tekanan perbelanjaan kepada golongan ini.

Pendapatan petani padi adalah bermusim dan memerlukan perancangan rapi bagi memastikan kehidupan selesa, sementara menunggu musim akan datang. Kegagalan merancang kewangan isi rumah dengan sempurna akan menyebabkan golongan ini bergantung kepada orang tengah untuk menguruskan sawah.

Dalam melaksanakan penanaman tanaman kontan terpilih, pelaksanaan sistem inkubator atau mentor mentee dalam kalangan petani padi terbabit boleh dipertimbang dan diperkemaskan lagi tatacara pelaksanaannya untuk dilaksanakan.

Pendekatan ini penting, bagi membolehkan petani padi mengetahui selok-belok aspek pengurusan ladang termasuk pemasaran dan pengurusan kewangan bersama mentor yang turut bertindak sebagai pemantau pada peringkat ladang.

Pembabitan agensi kerajaan secara langsung dengan petani padi perlu dipertingkatkan. Pemantauan dan khidmat nasihat secara berkala perlu diadakan bagi memastikan keberkesanan program ini dilakukan.

Penstrukturan semula subsidi mungkin boleh dipertimbang, yang mana pemberian subsidi dibuat berdasarkan produktiviti petani. Ini bagi mengelak bantuan diberikan disalah guna.

Hakikatnya, industri padi negara masih bergantung kepada intervensi kerajaan. Satu mekanisme baharu mungkin boleh diwujudkan bagi mengurangkan kadar bergantungan kepada subsidi kerajaan, untuk melahirkan petani padi yang mempunyai daya saing dan mempunyai jati diri tinggi.

Pelaksanaan perkara ini perlu penelitian rapi agar tidak memberi implikasi besar kepada mana-mana pihak sebagaimana menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Penulis Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X