Ahad, 9 Jun 2019 | 10:00am
JEMAAH menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof

Aidilfitri syukuri kemenangan, erat silaturahim

Umat Islam seluruh dunia sudah tentu menyambut Aidilfitri dengan kegembiraan dan kesyukuran sebagai tanda meraikan kemenangan kerana kejayaan melaksanakan ibadah puasa wajib sebulan serta mengharungi ujian dan cabaran sepanjang Ramadan.

Oleh itu, jika matlamat puasa itu seperti melabur sesuatu modal, maka Aidilfitri ibarat hasil keuntungan yang diperoleh kepada pelaburnya. Aidilfitri sememangnya hari yang sangat istimewa bagi semua umat Islam tidak kira sama ada muda atau tua, miskin atau kaya dan lelaki mahupun perempuan.

Dengan sebab itu, wajarlah kita menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah SWT. Tambahan lagi, pada hari pertama Syawal kita diharamkan berpuasa sunat sebagai tanda meraikan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT ini khusus kepada hamba-hambanya yang beriman.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu memuji membesarkan Allah SWT (bertakbir) atas petunjuknya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Wajarlah kita sebagai umat Islam bergembira dalam meraikan Aidilfitri ini yang hadir selepas kita berjaya mengharungi ujian sepanjang Ramadan. Namun, sebagai seorang manusia yang sering lupa dan lalai, kadang-kala kegembiraan itu disambut dalam keadaan melampaui batas syarak serta tidak menggambarkan nilai murni seorang Islam.

Justeru, Islam menganjurkan kita bersederhana dalam menzahirkan kegembiraan ketika menyambut Aidilfitri semata-mata untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT pada lebaran.

Bagi mengelak kita terlampau ghairah dalam menyambut Aidilfitri, kita disunatkan untuk bertahmid, bertasbih dan memperbanyakkan bertakbir pada pagi 1 Syawal yang mulia. Baginda Nabi Muhammad SAW menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah SWT.

Walaupun diriwayatkan Baginda berasa sedih di atas pemergian Ramadan tetapi Aidilfitri tetap disambut dengan rasa syukur dan gembira kerana ia adalah satu kemenangan kepada seluruh umat Islam.

Hubungan sesama manusia

Kegembiraan adalah fitrah semula jadi yang ada dalam diri manusia itu lebih-lebih lagi dalam meraikan Aidilfitri ini yang memberikan satu perasaan berbeza kepada setiap orang Islam.

Disebut oleh cucu Baginda, Saidina Hassan, ‘Nabi memerintahkan kami pada pagi raya supaya memakai pakaian paling baik kami miliki dan berwangian dengan wangian paling baik yang kami miliki.” (Riwayat Al-Hakim dan At-Tabrani).

Melalui sambutan Aidilfitri ini juga, hubungan sesama manusia akan wujud, walaupun mungkin ada dalam kalangan mereka yang bergaduh dan tidak baik antara satu sama lain sebelum ini tetapi kerana nilai yang ada dalam Aidilfitri itu hubungan mereka dapat dipelihara dan tali silaturahim itu dapat dikekalkan.

Silaturahim harus dikekalkan dan dipelihara oleh setiap umat Islam, ia bukan sahaja ketika menyambut Aidilfitri tetapi perlulah dijaga setiap masa. Dengan memeliharanya, kita akan menjadi seorang yang mudah didekati kerana kita tidak tergolong dalam golongan orang yang sombong.

Tambahan lagi, kita juga hidup dalam negara yang memerlukan hubungan sesama manusia itu dipelihara kerana negara Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum daripada pelbagai etnik, bangsa dan agama.

Maka, dengan sebab itu silaturahim sangat diambil berat oleh agama Islam dan ia cukup penting kepada manusia untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Aidilfitri adalah satu kesempatan yang diperoleh oleh setiap umat Islam dalam memelihara hubungan dengan keluarga, adik-beradik, saudara-mara, rakan-rakan dan sebagainya.

Jika hubungan ini dijaga dengan sebaiknya maka, ikatan silaturahim yang terbina di antara satu sama lain akan kekal dan mungkin akan lebih kukuh berbanding sebelum ini. Memelihara hubungan ini adalah perkara yang sangat diutamakan dalam Islam apatah lagi ketika menyambut hari raya ini.

Manifestasi kegembiraan

Islam mengajar umat menjaga silaturahim seperti yang terkandung dalam syariah bagi memastikan umat Islam sentiasa memelihara hubungan dan hidup dalam satu ummah yang dipandang tinggi lagi dihormati.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Sesiapa yang suka dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali kasih sayang (silaturahim),” (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, keberkatan dan kemeriahan Aidilfitri yang disambut ketika Syawal sekarang ini haruslah tidak dicemari dengan perkara maksiat yang boleh membawa kemurkaan Allah SWT. Oleh itu, jauhkanlah diri daripada menyambut Syawal yang mulia ini dengan perkara yang mengandungi unsur maksiat seperti pergaulan bebas di antara yang bukan mahram, hiburan keterlaluan yang melalaikan, pembaziran dalam juadah dan sebagainya.

Aidilfitri adalah manifestasi kegembiraan umat Islam kerana kesungguhan dalam beribadah dan amalan kebaikan yang dilakukan di dalam Ramadan. Sehubungan dengan itu, marilah kita menjadi Muslim yang sentiasa bersyukur atas kurniaan dan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT terutama dalam keseronokan kita menyambut Aidilfitri ini.

Semoga Aidilfitri dirai pada tahun ini dapat memberikan manfaat kebaikan yang lebih, terutama dalam memelihara hubungan kekeluargaan seperti dianjurkan Islam. Kerana itulah sifat maaf memaafkan orang lain adalah salah satu syarat sempurnanya keampunan dari Allah SWT.

Allah SWT tidak akan mengampuni dosa seseorang itu sehingga orang yang pernah dizaliminya itu memaafkan dan mengampuni dosanya. Oleh yang demikian, melalui sifat kemaafan ini, maka ikatan silaturahim dapat diwujudkan di antara satu sama lain berlandaskan kepada hukum syarak.

Zahirkan segala nikmat

Perlu diingatkan bahawa Islam tidak melarang umatnya bergembira dan menziarahi ahli keluarga, saudara-mara, sahabat andai dan jiran tetangga demi merapatkan jalinan persaudaraan serta mengukuhkan hubungan silaturahim.

Malah Islam turut menganjurkan setiap Muslim agar menzahirkan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT sebagai bukti rasa syukur tidak terhingga kita sebagai umatnya kepada Maha Pencipta atas segala nikmat pemberian rezeki selama ini kepada kita.

Sesungguhnya hari raya yang dirai ini akan memperlihatkan adakah seseorang itu akan istiqamah dalam menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT seperti yang diterapkan di dalam Ramadan? Mampukah nilai keimanan dan sifat mahmudah dikekalkan serta diamalkan dalam kehidupan seharian selepas berlalunya Ramadan?

Lebih-lebih lagi pada bulan Syawal mulia ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Nabi Isa putera Maryam berdoa, ‘Ya Tuhan kami turunkanlah kiranya kepada kami suatu hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami iaitu orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami. Dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau beri rezeki dan Engkaulah pemberi rezeki yang paling utama.” (Surah Al-Maidah: 114).

Penulis merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Unit Hal Ehwal Islam, UiTM Kampus Segamat, Johor.

Berita Harian X