Selasa, 2 April 2019 | 10:00am
Peningkatan suhu dijangka berterusan sehingga Mei ini. - Foto hiasan

Suhu melampau jejas kesihatan

PENINGKATAN suhu harian negara di beberapa negeri dicatatkan semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Suhu purata di antara 33 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius dijangka akan berlaku dan membabitkan beberapa kawasan dan negeri di bahagian utara Semenanjung dan Sabah.

Bagi penduduk yang tinggal di utara tanah air seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak serta Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu diramalkan akan mengalami peningkatan suhu purata harian iaitu antara 33-37 darjah Celsius.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), peningkatan suhu ini dijangka berterusan sehingga Mei ini. Keadaan suhu yang meningkat ini sudah pasti memberi impak besar kepada hidupan iaitu manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Masyarakat harus mengambil berat dan prihatin dalam menghadapi keadaan cuaca sebegini. Pentingnya sebagai langkah berjaga-jaga, membuat persediaan dan penyesuaian dalam menghadapi gelombang haba panas ini.

Merujuk rekod kaji iklim di Malaysia, negara ini pernah berdepan keadaan suhu melampau, iaitu sekitar 1998 dengan bacaan suhu tertinggi berada pada aras 40 darjah Celsius disebabkan oleh fenomena El Nino yang kuat.

Pada tahun ini, bermula Mac, bertarikh 18 Mac 2019, MET menyatakan 20 kawasan berada di tahap ‘waspada’ kerana hampir mencecah suhu gelombang haba berikutan suhunya mencecah 37-40 darjah Celsius.

Negeri yang tersenarai menerima gelombang haba ialah Perlis, Kedah, Perak, Pahang dan Selangor. Maklumat berkaitan perubahan cuaca dan gelombang haba seharusnya sentiasa diambil berat dan penting kepada masyarakat, terutama bagi mereka yang terbabit dengan aktiviti di bawah cahaya matahari seperti nelayan, petani, dan mengurangkan aktiviti di luar bagi mengelak fenomena cuaca panas melampau.

Menurut Pakar Klimatologi, Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim keadaan suhu gelombang haba ini lebih ketara di kawasan bandar di Malaysia disebabkan pengaruh fizikal bandar, menjadikan keadaan panas bukan sahaja pada waktu siang, malah malam.

Sedia hadapi suhu melampau

Masyarakat harus peka perubahan suhu di Malaysia dan perlu bersiap sedia untuk menghadapi suhu melampau. Akan ada, hari-hari berlakunya hujan lebat, ada hari yang sangat panas dan kering dan dari waktu siang hingga malam mengalami suhu panas. Dalam sesetengah kes, anda mungkin mendapati diri berada dalam persekitaran suhu yang melampau.

Adalah penting untuk mengetahui maklumat ini kerana suhu yang meningkat akan memberi kesan terhadap kesihatan dan aktiviti penduduk. Sekiranya masyarakat mengambil maklum, prihatin dan peka dalam memahami situasi persekitaran yang panas melampau, mereka boleh mendapatkan bacaan suhu harian dengan hanya ‘memuat turun aplikasi suhu tempatan’ dalam telefon pintar.

Menurut Dr Mohd Hairy lagi, masyarakat perlu membuat persediaan menghadapi fenomena cuaca panas dan kering yang melampau kerana sudah ada perubahan ciri monsun yang berlaku dan akan mempengaruhi perubahan iklim di Malaysia.

Keadaan ini memerlukan pihak berkuasa dan masyarakat ‘bersiap siaga’ dalam menghadapi situasi bencana peningkatan suhu, hujan lebat serta banjir monsun atau banjir kilat. Selain itu, kejadian jerebu juga akan mudah berlaku apabila suhu harian mencatat kepanasan yang melampau. Dengan ini juga akan turut menyebabkan kualiti udara terjejas.

Sikap ‘endah’ dalam kalangan masyarakat menghadapi situasi panas melampau ini akan banyak membantu diri mereka, keluarga dan masyarakat sekitar dalam mendepani perkara ini.

Suhu harian yang panas melampau bukan sahaja membahayakan kesihatan dan ancaman terhadap tumbuhan dan haiwan bahkan akan mengganggu kelancaran aktiviti manusia. Justeru, pentingnya masyarakat mengambil endah akan hal ini kerana, dalam keadaan suhu melampau, panas dan kering serta tidak berlakunya hujan dalam tempoh masa tertentu, akan memberi kesan terhadap sumber bekalan air.

Sungai, tasik dan empangan akan mengering. Catuan air akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa sebagai langkah pengurusan air kepada masyarakat. Oleh itu, masyarakat perlu mengamalkan langkah berjimat cermat dan elakkan pembaziran air. Apabila air sungai, tasik dan kolam mulai mengering, ia akan memberi kesan kepada hidupan yang bergantung kepada air secara sepenuhnya.

Pembakaran secara terbuka akan mengundang kepada jerebu dan pencemaran udara jika langkah berjaga-jaga tidak dijalankan. Masyarakat yang prihatin dan sedar akan kesan pembakaran terbuka akan mengelak daripada melakukan perbuatan ini kerana dikhuatiri akan lebih meningkatkan suhu, menyebabkan pencemaran udara dan jerebu di kawasan penempatan mereka.

Beri kesan kepada manusia

Kesedaran masyarakat sangat penting kerana majoriti pencemaran alam sekitar berlaku, disebabkan masyarakat tidak mengambil endah, tidak peduli dan kurang kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu juga, suhu harian yang tinggi akan turut memberi kesan kepada tubuh badan manusia. Antaranya boleh mengakibatkan komplikasi seperti keletihan akibat haba yang tinggi, strok haba, kekejangan otot dan pengsan. Simptom penyakit yang berkaitan dengan haba bergantung pada jenis dan keparahan penyakit.

Beberapa gejala keletihan haba termasuk berpeluh yang melampau, keletihan, pening kepala, atau rasa pening apabila berdiri, nadi lemah tetapi cepat, perasaan mual dan muntah. Gejala strok haba pula termasuk kulit kemerahan yang terasa panas pada sentuhan, nadi kuat dan cepat, kehilangan kesedaran, dan suhu badan dalaman melebihi 39 darjah Celsius.

Seterusnya apabila suhu berada dalam lingkungan 32 dan 40 darjah Celsius, manusia boleh mengalami kekejangan otot, panas dan keletihan. Untuk suhu antara 40 dan 54 darjah Celsius pula, boleh berkemungkinan mengakibatkan keletihan haba. Masyarakat harus mengehadkan aktiviti apabila berada pada julat suhu ini.

Berita Harian X