Jumaat, 15 March 2019 | 11:00am

Utama SOP tangani bencana, elak birokrasi

Kisah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor antara yang memenuhi paparan utama media sejak seminggu lalu. Selain kesan ke atas lebih 900 mangsa, termasuk mengundang penutupan 111 sekolah, cakap-cakap umum mengenai kisah di sebalik insiden itu khususnya berhubung soal kelemahan menangani krisis terbabit turut mencuri tumpuan. Pasti ramai ingin tahu cerita sebenar. Hakikatnya dakwaan kelemahan dalam soal kaedah insiden ditangani serta koordinasi tindakan agensi bertanggungjawab, bukan cakap-cakap kosong. Ia sebenarnya cukup meyakinkan apabila yang bercakap bukan calang orang.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid, sebagai contoh mengakui kelewatan tindakan diambil menjadi punca kesan pencemaran berulang, khususnya apabila bahan pencemaran gagal dilupuskan selepas kejadian pertama. Walaupun dinafikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, kita percaya dakwaan itu perlu juga diteliti. Elok juga kalau semua dakwaan menjurus pematuhan atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani insiden ini, diberi tumpuan utama dalam bedah siasat nanti.

Menilai insiden di Pasir Gudang, ramai sebenarnya mempersoalkan, sama ada pihak berkuasa ‘tersalah jangka’ menilai impak sebenar pencemaran. Hasilnya, koordinasi tindakan gagal diambil secara wajar dan penyebaran pencemaran sukar dibendung sehingga masih mendatangkan impak kepada orang awam pada hari ketujuh. Mungkin ada benarnya kata Hamdan mengenai kegagalan menguruskan sisa selepas kejadian pertama. Kenyataan beliau mengenai faktor kos tinggi memindahkan sisa toksik, pula menarik perhatian Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), Piarapakaran S, yang menyatakan Seksyen 47 Akta Kualiti Alam Sekeliling memberi kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menuntut kos dan perbelanjaan.

Pekerja syarikat pembersihan memulakan kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. - Foto Khairul Ghazali
Pekerja syarikat pembersihan memulakan kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. - Foto Khairul Ghazali

Apa yang pasti, kejadian di Pasir Gudang bukan yang pertama di Johor. Pencemaran seperti ini pernah direkodkan di Sungai Gatom, Labis pada 2006 akibat pembuangan sisa toksik Aluminium Dross. Cuma ketika itu lebih 300 penduduk diarah berpindah segera. Timbul persoalan, kenapa tindakan sama tidak diambil dalam kes di Pasir Gudang yang skala lebih besar? Apakah panduan SOP dalam kes di Pasir Gudang berbeza dengan Labis?

Kita juga tertarik gesaan sesetengah pihak agar diisytiharkan darurat susulan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, yang sepatutnya sudah dikeluarkan beberapa hari lalu. Kita puji tindakan kerajaan membawa cadangan itu untuk dibahas di Dewan Rakyat, namun kenapa pada hari kelapan baru nak bincang. Bagaimanapun, Dewan Rakyat menolak usul itu kerana menganggap pencemaran sungai di Pasir Gudang masih pada tahap bukan bencana besar.

Kerajaan sebelum ini pernah isytihar darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor. Sepatutnya mekanisme sama diguna pakai kali ini, kerana soal berkaitan bencana tidak perlu terlalu terikat kerenah birokrasi.

Hakikatnya kes pencemaran bahan kimia ini wajar membuka mata kita mengenai aspek pencegahan. Ketika ini, ada 252 kilang kimia di sekitar Pasir Gudang dan jika SOP pengurusan sisa tidak dipatuhi, tidak mustahil kita akan terus-menerus membaca berita mengenai insiden seperti di Pasir Gudang ini di media.

Berita Harian X