Selasa, 5 March 2019 | 11:00am

Hati-hati janji PAS

PAS kerap mengubah pendirian dalam apa sahaja isu, asalkan ia memberi keuntungan politik kepadanya. Ini termasuk isu mewujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO sejak dua dekad lalu, tetapi ia tidak berhasil hingga kini, sebab dalam proses itu, pelbagai helah serta kenyataan bercanggah dikeluarkan.

Ia serupa juga dengan lafaz Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang untuk tidak menyokong UMNO pada PRK di Semenyih ketika pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, tetapi penyokongnya di bawah tetap memberi sokongan hingga calon Barisan Nasional (BN) menang.

Oleh itu ‘hati-hati’ dengan janji PAS kerana pendiriannya bukan sahaja tidak tegas, malah berdolak-dalik termasuk isu menerima RM90 juta. UMNO pula harus berjaga-jaga terutama untuk mewujudkan kerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang, kerana ia boleh ‘menjerat’ parti itu.

GAMBAR fail, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang. - Foto Nadim Bokhari
GAMBAR fail, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang. - Foto Nadim Bokhari

Kawal media sosial

Kita mengalu-alukan langkah mengkaji Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memberikan punca kuasa penguatkuasaan media sosial dan internet kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diperkemaskan bagi memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.

Kewujudan media sosial meskipun banyak memberi manfaat, namun banyak juga ia disalahgunakan untuk menyebar berita palsu serta tindakan pihak tertentu menyebar agenda yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum serta mengganggu-gugat ketenteraman awam. Ini turut menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan.

Jangan pula menuduh kerajaan mahu mengawal media sosial apabila Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, disemak semula dan kita yakin usaha itu dibuat bagi mengekang tindak-tanduk pelayar internet yang tidak bertanggungjawab khususnya menyebarkan berita palsu, melagakan antara kaum dan agama serta melemparkan fitnah.

Kita terima kebebasan media sosial tetapi kebebasan itu tidak seharusnya disalahgunakan hingga boleh merosakkan pembangunan negara serta menjejas keharmonian dalam masyarakat.

Berita Harian X