Sabtu, 5 Januari 2019 | 11:00am

Pandangan syariah bagi hukuman mati

Oleh Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Hak untuk hidup satu perkara pokok dan yang paling asas dalam hak asasi manusia. Tanpa hak ini, manusia akan kehilangan hak lain seperti hak kebebasan beragama, hak kebebasan diri, hak kebebasan bercakap dan memberi pendapat, hak pemilikan, hak kebebasan bergerak dan pelbagai hak asasi manusia lain.

Hak manusia untuk hidup dianggap paling penting kerana tamadun tidak akan terbina tanpa ada perlindungan dan jaminan terhadap hak ini. Justeru, fuqaha dan ahli falsafah menganggap hak untuk hidup sebagai hak yang dominan dan tidak boleh dirunding.

Walaupun hak untuk hidup diiktiraf sebagai hak yang wujud ke atas setiap insan di sisi syariah, hakikatnya manusia hanya sebagai makhluk ciptaan Allah SWT. Manusia bukan pencipta kehidupan, yang mana hak kehidupan milik Allah SWT. Dialah yang menghidupkan dan Dialah yang mematikan manusia.

Kerana itu, manusia tidak boleh mengambil nyawa manusia lain kerana ia dianggap jenayah. Memandangkan nyawa manusia satu perkara yang ‘suci’, syariah sangat memeliharanya melalui undang-undang qisas yang membawa kepada hukuman bunuh atau dikenakan bayaran diyat kepada keluarga si mangsa.

Persoalan sering dibincangkan pada arena antarabangsa ialah seruan supaya hukuman bunuh dimansuhkan. Bagaimanakah kedudukan dalam undang-undang jenayah Islam, terutama dalam kes hudud yang menghukum dengan hukuman mati dan dalam kes qisas yang mengenakan hukuman bunuh ke atas pembunuh. Malah, menurut sesetengah pandangan fuqaha, juga dalam kes takzir yang memungkinkan hukuman bunuh.

Hak manusia untuk hidup ialah kehendak objektif maqasid syariah yang paling utama. Melihat kepada perbincangan cendekiawan dalam hal ini, pemeliharaan nyawa diletakkan di kategori kedua selepas agama.

Namun, dalam keadaan tertentu, pemeliharaan nyawa boleh ditempat pada kedudukan yang paling atas kerana tanpa nyawa, manusia tidak boleh hidup dan menjaga agama.

Larangan mengambil nyawa sendiri dan orang lain dinukilkan dalam ayat 195 surah al-Baqarah: “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan”.

Ini juga dapat dilihat dalam surah al-Nisa’ ayat 93 Allah SWT berfirman: “Dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”.

Dalam keadaan tertentu, pengambilan nyawa seseorang itu diharuskan dengan syarat secara sah mengikut ketentuan syariah seperti hukuman bunuh ke atas pembunuh, kecuali mendapat pengampunan oleh waris si mangsa, tetapi diganti dengan bayaran diyat atau hukuman rejam sehingga mati bagi penzina muhsan, hukuman mati ke atas penderhaka atau pemberontak (bughah) kepada kerajaan yang sah, hirabah (merompak dan membunuh) yang dikenakan hukuman bunuh dan disalib serta bagi pandangan sesetengah fuqaha dalam kes murtad.

Gesaan hapus hukuman mati

Melihat kepada perbincangan mengenai hukuman mati, nampaknya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Majlis Hak Asasi Manusia dan tuntutan antarabangsa menggesa agar hukuman mati dihapuskan.

Melihat kepada perkembangan sejak dua dekad ini menyaksikan banyak negara menghapuskan hukuman mati. Sehingga 2017, 106 negara memansuhkan undang-undang mengenai hukuman mati dalam bagi semua kesalahan jenayah. Ini menunjukkan bahawa trend dunia ke arah memansuhkan hukuman mati. Hanya sebilangan kecil negara yang masih melaksanakan hukuman mati.

Ini dapat dilihat dalam pelaksanaan hukuman mati ke atas kesalahan pengedaran dadah yang berkurangan di Iran dan Malaysia. Sebagai contoh, Malaysia mengambil langkah positif dengan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2017 yang secara relatif boleh mengurangkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah.

Melihat kepada bentuk hukuman berat yang dikenakan ke atas pesalah dalam undang-undang jenayah Islam, terutama dalam hukuman mati seperti dibincangkan sebelum ini, ada hukuman mati mandatori dalam undang-undang hudud di bawah kesalahan zina, sekiranya ia dilakukan oleh penzina muhsan.

Ia tidak boleh diganti dengan hukuman lain kerana hakim tidak mempunyai pilihan untuk berbuat demikian, kecuali keterangan dan bukti yang dikemukakan mempunyai keraguan. Hakim boleh menolak kes atau dalam keadaan tertentu, menjatuhkan hukuman yang lebih ringan di bawah takzir.

Hukuman dalam undang-undang jenayah Islam terbahagi kepada dua:

(i) Hak Allah sepenuhnya seperti dalam kes hirabah yang dikenakan hukuman mati mandatori, dan

(ii) Hak manusia iaitu hukuman bunuh di bawah qisas memberi pilihan kepada waris mangsa sama ada dibalas balik dengan hukuman bunuh ke atas pembunuh atau dengan gantian dengan diyat. Ini menunjukkan bahawa tidak semua hukuman bunuh dalam undang-undang Islam adalah tetap dan tidak boleh berubah.

Pelaksanaan hukuman hudud dalam kes zina melalui kesaksian tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, kecuali dalam kes pengakuan pesalah sendiri yang mahu menyuci diri dan menyesal ke atas perbuatan zina itu.

Malah, hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan kekaburan (syubhah) seperti yang dinukilkan dalam hadis: “Elakkan hukuman hudud sekiranya ada syubhah”.

Justeru, dalam konteks sekarang, seseorang hakim mesti memastikan bahawa bukti yang dikemukakan melampaui keraguan munasabah. Sekiranya wujud, walaupun sedikit keraguan munasabah itu, hakim hendaklah membuang kes berkenaan dan tertuduh terlepas daripada hukuman.

Ketetapan antarabangsa

Dari perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukuman mati dalam undang-undang jenayah Islam tidak boleh dimansuhkan kecuali dalam kes qisas. iaitu hukuman mati boleh diganti dengan bayaran diyat.

Walaupun tuntutan antarabangsa menggesa agar hukuman mati dimansuh, bagi negara Islam yang masih menjalankan hukuman mati mengikut kehendak undang-undang jenayah syariah, ia tidak melanggar ketetapan undang-undang antarabangsa.

Peruntukan untuk menjatuhkan hukuman mati selaras dengan Perkara 6 Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966 yang mengecualikannya dalam kes berat. Memandangkan hukuman mati di bawah kategori hudud dikenakan ke atas kesalahan berat seperti hirabah dan bughah, ia dianggap sebagai hukuman yang setimpal dengan perbuatan yang amat jahat.

Bagi hukuman mati ke atas penzina muhsan adalah sebagai pengajaran besar kerana ia sudah berkahwin dan menikmati persetubuhan.

Ini berbeza dengan penzina bukan muhsan yang hanya dikenakan sebatan syariah 100 kali mengambil kira latar belakang bahawa ia belum pernah berkahwin dan menikmati persetubuhan. Lagipun, hukuman dalam kesalahan zina untuk menjaga keturunan (nasab).

Penulis merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Berita Harian X