Selasa, 1 Januari 2019 | 12:54pm

Elak perjuang hak Melayu sekadar slogan, azam politik

HARI ini, bermula tahun baharu 2019 selepas 2018 melabuhkan tirainya semalam dengan pelbagai kisah dan sejarah. Dalam aspek politik, tahun lalu ditutup dengan persidangan agung tahunan parti politik yang ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Sudah tentu agenda perhimpunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadi tumpuan kerana ia kini satu-satunya parti mewakili kepentingan Melayu, Islam dan Bumiputera yang masih memegang kuasa selepas UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Oleh kerana orang Melayu membentuk majoriti rakyat Malaysia, isu berkaitan bangsa berkenaan memang diberi perhatian, terutama di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH). Penegasan Dr Mahathir bahawa partinya tidak boleh bertolak ansur dalam perjuangan mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera memberikan isyarat signifikan. Ini kerana ia bukan sahaja diucapkan pada perhimpunan agung parti hingga boleh dianggap sebagai azam permulaan 2019 BERSATU untuk Melayu dan Bumiputera, bahkan peristiwa besar yang mengubah ranah politik tanah air pada tahun lalu mendefinisikan semula perjuangan bangsa dalam menyesuaikannya dengan semangat Malaysia Baharu.

Sehingga tertubuhnya BERSATU atau lebih tepat peralihan kuasa pada PRU-14, konsep perjuangan Melayu lebih banyak dibentuk berdasarkan kerangka politik kepartian di antara UMNO dan PAS. Perjuangan Melayu dalam konteks UMNO mengalami evolusi yang selari dengan proses perubahan parti itu daripada nasionalisme kepada pragmatisme yang dibentuk oleh faktor materialisme dan politik wang, manakala konsep Melayu dalam PAS pula berubah mengikut fikrah yang ditentukan oleh pemimpin hingga pernah mempunyai kedudukan penting pada era Burhanuddin al-Helmy dan Tan Sri Mohamad Asri Muda.

Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta anggota Majlis Pimpinan Tertinggi melaungkan 'Bersatu' pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti BERSATU Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, Ahad lalu. - Foto BERNAMA
Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta anggota Majlis Pimpinan Tertinggi melaungkan 'Bersatu' pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti BERSATU Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, Ahad lalu. - Foto BERNAMA

Namun, ia dikesampingkan atau dianggap sinonim dengan faham asabiyah pada era berikutnya sebelum kembali diberikan perhatian dalam dekad mutakhir. Kehadiran BERSATU terutama sebagai kerajaan, menunjukkan perjuangan Melayu dan Bumiputera tidak lagi ditentukan agenda politik dua parti itu, sebaliknya parti yang ditubuhkan pada 2016 mempunyai hak untuk mendefinisikannya dan memperbaiki kelemahan serta kesilapan bangsa terbabit.

BERSATU dalam perjuangan Melayu dan Bumiputera tidak boleh sekadar melihatnya dalam konteks politik kepartian seperti yang berlaku dalam persaingan UMNO-PAS untuk menjuarai bangsa dengan konsep dan definisi yang ditentukan pemimpin politik serta iklim parti atau dengan kata lain pendekatan atas-bawah. Sebaliknya BERSATU perlu belajar daripada kesilapan persaingan dua parti politik itu yang meminggirkan sumbangan intelektual, ilmuwan dan budayawan serta menganggap apa-apa yang diputuskan oleh pemimpin dan parti sebagai keputusan mutlak yang terbaik untuk bangsa.

Dalam mendefinisikan perjuangan mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera serta memperbetulkan sifat dan sikap bangsa itu termasuk kepincangan politik, ekonomi dan sosial, ia perlu digerakkan dan bermula berasaskan ilmu yang benar, berpandukan penyelidikan holistik. Ini untuk mengelakkan perjuangan hak Melayu tidak lebih daripada slogan atau azam politik yang tidak dapat direalisasikan, manakala usaha untuk merawat bangsa menjadi tindakan seperti lain sakit lain diubat, lain luka lain dibebat.

BERSATU ada kedudukan yang tepat untuk mendefinisikan perjuangan bangsa dengan menggemblengkan golongan intelektual, ilmuwan, tokoh pendidik, budayawan, ahli ekonomi dan pemimpin pelbagai lapisan hingga menjadikannya melangkaui kepentingan politik, manakala kehendak dan keperluan orang Melayu serta Bumiputera diberi pertimbangan adil dan bijaksana supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan semua bangsa di Malaysia.

Berita Harian X