Khamis, 30 Ogos 2018 | 10:54am
RAPTAI penuh sambutan Hari Kebangsaan 2018 membabitkan kira-kira 15,000 peserta di Dataran Putrajaya dengan menampilkan semangat patriotrisme. Setiap kontinjen diwakili daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan, selain aset tentera - udara dan darat serta unit anjing dan kuda di Dataran Putrajaya, semalam. - Foto Abd Rahim Rahmat

Sambut Hari Kebangsaan, Hari Malaysia penuh patriotik

ESOK, sambutan Hari Kebangsaan 2018 bertema ‘Sayangi Malaysiaku’ akan berlangsung di Putrajaya yang tentu dalam suasana tiupan semangat patriotisme membara.

Sebenarnya, selain 31 Ogos 1957 yang menjadi tarikh keramat kemerdekaan negara, dua lagi tarikh penting mempunyai kaitan dengan kemerdekaan negara ialah 7 Julai 1963 yang menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia apabila Perjanjian Malaysia ditandatangani, disusuli perisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Sambutan hari kebangsaan kali ini juga yang pertama bagi kerajaan baharu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Ini juga sejarah baharu bagi Tun Dr Mahathir Mohamad kerana akan berada di atas pentas kenamaan sebagai Perdana Menteri mengetuai dua kerajaan berbeza, iaitu Barisan Nasional (BN) ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri dan sekarang, PH.

Sebenarnya pengisian hari kebangsaan sudah bermula di Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang menerusi majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang disempurnakan Dr Mahathir pada 4 Ogos lalu.

Pulau Pinang dipilih kerana kerajaan mahu kempen jelajah kibar Jalur Gemilang bermula di utara Semenanjung ke Putrajaya, seterusnya berakhir di Sabah untuk sambutan Hari Malaysia 2018 pada 16 September ini.

Kecuali Sarawak, semua negeri di Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, walaupun ada perbezaan tahun, iaitu Tanah Melayu atau Semenanjung merdeka pada 31 Ogos 1957, manakala Sabah pada 31 Ogos 1963. Sarawak pula mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963 dan tarikh 22 Julai setiap tahun ialah cuti umum negeri berkenaan.

Tidak terabai

Walaupun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan lewat enam tahun daripada kemerdekaan Semenanjung, dua negeri itu tidak pernah diabaikan Kerajaan Persekutuan.

Jika ada isu pertikaian mengenai perbezaan tarikh dan tempoh kemerdekaan serta ketidakseimbangan pembangunan di antara negeri, ia dapat diselesaikan secara bijak dan dalam suasana harmoni.

Pakar Sejarah Borneo, Prof Madya Dr Bilcher Bala, berkata 31 Ogos 1957 bukan sahaja tarikh keramat kemerdekaan Tanah Melayu, malah tarikh itu juga menjadi detik permulaan kepada pembentukan Malaysia, enam tahun kemudian.

Pensyarah Sejarah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dan disusuli dengan perisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 di Kota Kinabalu dan Kuching.

Katanya, walaupun ketika itu Sabah dan Sarawak sudah merdeka, kedua-dua wilayah itu memiliki struktur pentadbiran berbeza dengan Tanah Melayu, sehinggalah terbentuknya Malaysia.

Perjanjian Malaysia diperkenankan pemerintah tertinggi British, Queen Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Bertitik tolak daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itulah diwujudkan Akta Malaysia yang kini sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

Membentuk Malaysia

“Sebab itulah saya tidak setuju dengan istilah Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, sedangkan Malaysia tidak wujud tanpa kedua-dua negeri itu. Istilah yang sesuai pada pendapat saya ialah Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Tidak ramai rakyat Borneo Utara (kemudian dikenali sebagai Sabah) dan Sarawak menyedari Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman mengadakan sidang media bagi mengumumkan cadangan pembentukan Malaysia di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

Selepas rancangan penubuhan Malaysia tersebar luas, ramai rakyat Sabah tertanya-tanya apakah negeri itu hanya merdeka daripada penjajahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dan bakal dijajah kuasa baharu?

Justeru, itu sebabnya diadakan pungutan suara dikenali Suruhanjaya Cobbold diketuai bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold ditubuhkan untuk mendapatkan persetujuan penduduk Sabah dan Sarawak berhubung membentuk Malaysia.

Tuntutan biar disokong fakta konkrit

Suruhanjaya Cobbold dianggotai lima orang ahli iaitu Cobbold, Datuk Wong Pow Nee, Mohd Ghazali Shafie, Anthony Abell dan David Watherston. Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh bertindak sebagai setiausaha.

Dalam tempoh lebih lima dekad selepas pembentukan Malaysia, sudah tentu banyak tuntutan dibuat, selain ada pihak yang mendakwa Kerajaan Pusat tidak memberikan layanan adil terhadap Sabah dan Sarawak dengan mengetepikan MA63.

Ketika diminta mengulas persoalan berkenaan, Dr Bilcher berkata tidak salah membuat tuntutan dan ia tidak mengeruhkan hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan, selagi dibuat dalam suasana harmoni dan disokong fakta konkrit.

Dalam tempoh yang panjang sudah tentu berlaku peralihan tampuk pemerintahan yang mungkin pemerintah semasa tidak menyedari ada perkara yang tidak boleh dilaksanakan kerana bercanggah MA63.

Antara isu yang sering menimbulkan perdebatan ialah royalti minyak, ketidakseimbangan peruntukan dan pelantikan ketua jabatan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Akta Malaysia antara yang membentuk Perlembagaan Persekutuan dan selagi kerajaan negeri dan Persekutuan menghormati Perlembagaan Persekutuan, selagi itulah hak Sabah dan Sarawak terjamin,” kata Bilcher.

Jelas, tanggal 31 Ogos ialah Hari Kebangsaan yang disambut dengan semangat patriotik, manakala 16 September ialah Hari Malaysia yang diraikan dengan semangat kenegaraan yang tinggi. Justeru, tidak timbul isu ‘dua sambutan’ hari kebangsaan.

Berita Harian X