Sabtu, 23 Jun 2018 | 7:22am
Kurang pengetahuan tanda awal masalah mental yang serius antara punca kelewatan proses penyembuhan. - Gambar hiasan
Kurang pengetahuan tanda awal masalah mental yang serius antara punca kelewatan proses penyembuhan. - Gambar hiasan

Tindakan drastik elak tragis masalah mental

Setengah tahun pertama 2018 sudah memperlihatkan lambakan berita pembunuhan, kes bunuh diri dan peristiwa tragis membabitkan isu kesihatan mental.

Apa yang berlaku sewajarnya menjadi isyarat yang cukup jelas kepada kita semua berhubung kepentingan menjadikan isu kesihatan mental sebagai isu perdana dan bukan sekadar isu yang bermusim semata-mata. Masyarakat di setiap lapisan harus lebih terbuka membicarakan isu ini dan tidak lagi menganggapnya sebagai kes terpencil.

Keseriusan sesetengah kes, terutama membabitkan kehilangan nyawa seharusnya memberi isyarat jelas bahawa kita memerlukan penyelesaian yang lebih afirmatif dalam hal ini.

Soal Selidik Kesihatan dan Mor- biditi Kebangsaan 2016 mendapati, hampir 30 peratus daripada rakyat Malaysia berusia di antara 18 ke 60 tahun mengalami masalah berkait dengan gangguan kesihatan mental. Ini termasuk dalam kategori yang mengalami kemurungan, kerisauan melampau dan gangguan psikosis.

Apa yang turut merisaukan ialah status ini dijangka meningkat dengan lebih ketara berdasarkan perkembangan semasa. Kebimbangan ini juga, termasuk pola peningkatan kes bunuh diri di negara ini dengan 60 kes setiap bulan seperti yang dilaporkan oleh National Suicide Registry.

Ini tidak termasuk kes cubaan bunuh diri, kes yang tidak didaftarkan atau tidak dapat disahkan sebagai bunuh diri. Peningkatan ini dilihat selari dengan jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa penyakit mental akan menjadi bebanan nombor dua di dunia menjelang 2020 dan bebanan pertama pada 2030.

Rencatkan proses sembuh

Isu kelewatan menerima rawatan dalam kalangan rakyat Malaysia masih menjadi faktor yang menyumbang kepada keseriusan kes masalah gangguan mental. Antara kesan kelewatan ini ialah kesukaran dalam proses penyembuhan dalam kalangan pesakit yang mengakibatkan penderitaan yang lebih lama ditanggung.

Terdapat tiga penyebab utama kepada kelewatan ini:

Pertama ialah faktor kurang pengetahuan mengenai tanda awal masalah mental yang serius. Selain itu, sesetengah golongan masyarakat tidak mengetahui dengan jelas kaedah mendapatkan penilaian perubatan bagi masalah psikiatri.

Ini diburukkan lagi dengan kebebasan media dan alam maya dalam menyalurkan maklumat, hingga menyebabkan sesetengah mereka dibanjiri nasihat yang tidak tepat berkenaan masalah mental.

Lebih menyulitkan keadaan apabila ada juga pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menawarkan pelbagai bentuk rawatan yang dikatakan sebagai alternatif, tanpa merujuk terlebih dulu kepada mereka yang pakar dalam bidang berkaitan.

Kedua, isu capaian kepada perawatan yang terhad di sesetengah tempat. Biarpun kerajaan menyediakan infrastruktur terbaik bagi perkhidmatan psikologi dan psikiatri, namun perlu diakui kekangan tenaga sumber manusia masih menjadi isu.

Bilangan pakar psikiatri yang masih terhad menyebabkan belum semua hospital kerajaan dilengkapi dengan perkhidmatan pakar dalam bidang ini. Oleh kerana sifat perawatan masalah mental memerlukan rawatan susulan yang kerap bagi tempoh masa yang panjang, kesukaran capaian ini menyebabkan berlaku banyak keciciran dalam mendapatkan rawatan yang berterusan bagi penyakit mereka.

Ketiga, isu stigma dan penafian yang masih lagi berlaku dalam masyarakat turut menyebabkan sebahagian pesakit memilih untuk tidak mendapatkan rawatan psikiatri di hospital. Keengganan sesetengah masyarakat untuk mendapatkan rawatan didorong salah faham terhadap status perawatan psikiatri yang masih dianggap memalukan dan perlu disembunyikan.

Ini turut diburukkan dengan persepsi negatif sebahagian media yang menggambarkan sisi tidak benar tentang pesakit yang mengalami gangguan mental. Sebahagian pesakit juga turut berdepan dengan stigma di tempat kerja yang membabitkan majikan dan rakan sekerja yang tidak menghormati hak pesakit dalam mendapatkan rawatan psikiatri.

Kurangkan bebanan keluarga

Isu masalah mental dalam kalangan masyarakat sudah tentu tidak akan selesai dengan retorik dan kempen kesedaran yang bermusim. Langkah drastik diperlukan bagi memastikan peristiwa sama tidak lagi berulang.

Antara langkah tegas dicadangkan ialah gesaan supaya kerajaan mengkaji keperluan akta rawatan mental dalam komuniti. Akta yang berkuat kuasa di kebanyakan negara maju seperti Australia bertujuan memastikan rawatan psikiatri tidak dipandang remeh.

Akta ini mewajibkan sesetengah pesakit, terutama yang berisiko, untuk mendapatkan rawatan wajib di hospital. Keengganan mereka atau keluarga mendapatkan rawatan boleh mengakibatkan tindakan tertentu.

Perkara yang sama pernah disuarakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Psikiatri Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari ketika mengulas kes cucu membunuh nenek di Kota Tinggi, Johor pada 2016 yang turut membabitkan isu masalah mental yang tidak di rawat.

Kewujudan akta ini juga perlu seiring dengan pemerkasaan perkhidmatan psikiatri dalam masyarakat bagi merawat pesakit di lokaliti setempat. Perkhidmatan yang membabitkan doktor pakar, pegawai perubatan dan staf sokongan seperti jururawat, pembantu perubatan dan pekerja sosial ini penting bagi memastikan penyaluran perawatan tidak terhenti di hospital saja.

Ini juga membantu mengurangkan bebanan keluarga dalam proses pemantauan pesakit. Oleh itu, kerajaan disaran mempertimbangkan lebih banyak jawatan dan peruntukan kewangan bagi menjayakan konsep satu klinik kesihatan, satu perkhidmatan psikiatri komuniti.

Selain perkhidmatan komuniti, antara bentuk perkhidmatan yang masih terkebelakang di Malaysia ialah perkhidmatan kaunseling dan bantuan psikologi 24 jam atas talian bagi pesakit mendapatkan khidmat nasihat, terutama dalam kes membabitkan keinginan untuk membunuh diri.

Talian bantu diri seperti suicide helpline ini wujud secara meluas di negara maju dan terbukti mengurangkan peratusan bunuh diri serta meningkatkan peluang mendapatkan rawatan.

Biarpun ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang menawarkan perkhidmatan ini seperti Befrienders Malaysia, perkhidmatan ini belum meluas akibat kekangan sumber manusia dan kewangan.

Peruntukan khas bagi pertubuhan bukan kerajaan dan kerjasama antara kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan pastinya akan memberi kesan yang lebih meluas bagi inisiatif seperti ini.

Salah guna perubatan Islam

Isu membabitkan penyalahgunaan nama 'perubatan Islam' dalam merawat pesakit mental perlu diberi perhatian serius. Kerajaan bersama-sama agensi berkaitan seperti Pejabat Mufti dan Jabatan Agama Islam perlu memantau kewujudan premis yang menawarkan perkhidmatan ini supaya tidak lari daripada konsep asal ikhtiar menurut Islam.

Mereka juga perlu didedahkan dengan kewujudan masalah mental agar tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan pesakit.

Pensyarah Kanan di Jabatan Psikiatri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zul Azlin Razali berpandangan, ada keperluan bagi mufti di Malaysia mengeluarkan fatwa berhubung status mendapatkan rawatan di hospital bagi penyakit gangguan mental seperti gangguan halusinasi, kemurungan dan sebagainya.

Ini berikutan masih ramai berpandangan bahawa lebih utama untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada perawat alternatif ini, berbanding mendapatkan perkhidmatan profesional yang terbukti berkesan dalam membantu merawat pesakit sebegini.

Penulis juga melihat akan keperluan bagi pihak kerajaan, melalui Kementerian Pendidikan, untuk mewujudkan sukatan khas berkenaan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah.

Program khas bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap masalah mental penting memandangkan mereka termasuk dalam golongan yang berisiko tinggi. Selain itu, proses pendidikan formal dapat memastikan penyaluran maklumat yang tepat pada peringkat lebih awal.

Pendedahan awal mengenai pengurusan stres dan cara mengendali tekanan mampu menjadi bekalan bagi mereka menghadapi kehidupan selepas alam persekolahan.

Peranan media

Selain itu, kerajaan juga disaran memantau secara rapat bagaimana media melaporkan isu sensitif seperti masalah mental. Tiba masanya program televisyen yang menjadikan pesakit mental sebagai bahan hiburan dan gelak tawa disekat dan ditapis bagi mengelakkan berlakunya stigma dalam masyarakat.

Laporan mengenai kes bunuh diri juga perlu diberi perhatian serius kerana kaedah laporan yang salah boleh menggalakkan berlakunya peristiwa bunuh diri yang terjadi kerana ikutan.

Media seharusnya bekerja rapat dengan golongan profesional dalam bidang ini bagi mendapatkan khidmat nasihat bagi memastikan mereka kekal sebagai medium penyebar maklumat yang sahih dan telus kepada masyarakat umum.

Selain itu, majikan juga digesa lebih sensitif dengan keperluan kesihatan mental pekerja. Ini memandangkan tekanan di tempat kerja antara penyumbang kepada masalah mental dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Isu diskriminasi, buli dan bebanan kerja yang tidak seimbang menjadi antara punca tekanan ini berlaku. Majikan yang cakna harus mengambil berat kesejahteraan mental pekerja dan memberi ruang bagi pekerja mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan psikiatri tanpa sebarang sikap prejudis.

Apa yang berlaku kepada semua mangsa amat dikesalkan. Kita semua mendoakan agar mangsa dan keluarga diberi pertolongan oleh Allah dalam menghadapi ujian berkenaan.

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Berita Harian X