Jumaat, 22 Julai 2022 | 12:01pm
Kapitalis guna media sosial untuk wujudkan budaya konsumerisme dalam kalangan anak muda. - Foto hiasan
Kapitalis guna media sosial untuk wujudkan budaya konsumerisme dalam kalangan anak muda. - Foto hiasan

Kawalan kendiri di media sosial elak aktiviti pembelian tak perlu

PERKEMBANGAN teknologi komunikasi semasa walaupun membawa kebaikan, tetapi ia turut menyebabkan timbulnya pelbagai masalah sosial dalam kalangan masyarakat hari ini.

Kecenderungan kita bergantung kepada media sosial misalnya menyebabkan sebahagian besar masyarakat terpalit menjadi pengikut budaya konsumerisme tanpa disedari.

Dalam kalangan anak muda budaya ini sangat jelas terlihat disebabkan mereka adalah golongan yang mendominasi penggunaan media sosial di mana-mana negara pun. Budaya konsumerisme merujuk kepada pembelian dan penggunaan produk yang kononnya menjadi ukuran menentukan status dan nilai sosial seseorang individu dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, harga dan jenama sesuatu barangan yang digunakan menjadi tanda aras kedudukan sosial seseorang.

Tentu sahaja golongan remaja mudah terkesan dengan pengaruh rakan sebaya, terutama dari sudut gaya hidup. Mereka akan terjangkit sindrom ikut-ikutan yang menyaksikan akhirnya menjadi pencandu konsumerisme.

Strategi konsisten kapitalis

Budaya tidak sihat ini juga dilihat menebal dalam kalangan anak muda kerana strategi konsisten yang digunakan oleh kapitalis menerusi media sosial. Pengiklanan tanpa henti, binaan imej dan prestij barangan itu yang dikaitkan dengan tokoh berpengaruh juga memberi impak status. Tokoh berpengaruh tentu sahaja mereka yang dekat dengan jiwa anak muda.

Semua itu mendorong kepada pengaruh negatif terhadap golongan muda dalam penggunaan atau pembelian berlebihan.

Satu hal yang perlu diketahui, syarikat besar meneliti pola tingkah laku pengguna media sosial untuk menghasilkan iklan bagi memenuhi keperluan dan kehendak kumpulan sasaran.

Menerusi pemerhatian itu, pengeluar mampu meyakinkan pengguna untuk membeli produk mereka dengan cara yang amat halus, kuasa pujukan dan tidak terkesan oleh pengguna media sosial.

Tanpa disedari, kewujudan influencer atau pempengaruh di media sosial mempunyai kesan negatif yang tidak dapat dijangka. Masyarakat pada awalnya agak ragu-ragu dengan populariti pempengaruh di media sosial. Walau bagaimanapun, seiring dengan masa, masyarakat semakin lama semakin menerima kewujudan golongan itu dalam media sosial.

Walaupun semua kita menyedari mereka itu dibayar oleh syarikat tertentu untuk mempromosikan produk sebegitu, namun kita tidak lagi melihatnya dengan rasa janggal. Malah ada kala berasa kagum pula. Toleransi dan penerimaan kita terhadap mereka semakin mesra menyebabkan pengguna lebih mudah terpengaruh dengan cadangan-cadangan produk yang diusulkan golongan pempengaruh ini.

Terjebak pembelian tidak perlu

Pengaruh dimiliki mereka menerusi kuasa lunak yang mendominasi menyebabkan pengguna mudah terjebak dalam pembelian tidak perlu. Pengguna juga cenderung untuk mencontohi gaya hidup yang dipaparkan pempengaruh.

Sebenarnya yang menjadi kebimbangan adalah gaya kehidupan pempengaruh ini yang ada kalanya tidak realistik. Namun, ia menjadi ikutan konsumer yang kurang waspada. Oleh itu, golongan belia yang menggunakan media sosial sering menjadi mangsa kepada pembelian tidak perlu yang seterusnya mendorong kepada konsumsi berlebihan.

Tidak dapat dinafikan, wanita lebih terdedah menjadi mangsa. Hal ini disebabkan dunia pengiklanan memaparkan kejelitaan dan sifat feminin mesti menerusi penggunaan pelbagai produk kecantikan. Hal ini menyebabkan mereka cenderung untuk dilihat cantik dan bersedia untuk menggunakan pelbagai produk kecantikan daripada sabun pencerah kulit, losyen antijeragat dan lain-lain demi mengekalkan fizikal yang menarik dan cantik.

Ia bukan hanya membabitkan wanita dewasa tetapi juga anak perempuan belasan tahun atau awal 20-an. Hal ini lebih jelas kerana persoalan kecantikan dan kekemasan diri sudah ditekankan sejak dari usia dara sunti.

Tiada siapa yang mampu untuk lari daripada penggunaan media sosial, tanpa mengira tujuan ia digunakan. Oleh itu, generasi muda harus sedar akan kesan penggunaan media sosial yang melampau dalam kehidupan harian. Praktikkan kawalan kendiri ketika menggunakan media sosial.

Roosyidah Ahmad Nazeri,
Ipoh, Perak

Berita Harian X