Sabtu, 16 Julai 2022 | 12:15pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Fahami sejarah negara elak fakta diputar belit

Sejarah tidak pernah memadamkan nama Mat Kilau hanya kita sebagai warganegara tanah ini yang mungkin sebahagiannya lupa mengenai jasa dan sumbangan pahlawan negeri Pahang itu.

Justeru, apabila kisah Mat Kilau difilemkan dan mendapat sambutan hangat ia sebenarnya membayangkan, sejarah amat dekat dengan diri kita. Malah, ia mampu membangunkan motivasi, memberi inspirasi dan mendidik diri untuk lebih memahami liku-liku perjuangan generasi lampau untuk hidup merdeka di negara sendiri.

Sebenarnya selain Mat Kilau, terdapat ramai lagi pahlawan anak watan negara ini yang bangkit menentang penjajah. Hampir di seluruh negeri Tanah Melayu, termasuk Sabah dan Sarawak mempunyai tokoh tersendiri. Antara yang mungkin sangat popular, termasuk Datuk Maharaja Lela, Rentap, Mat Salleh, Datuk Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya.

Namun, apabila kita mempelajari sejarah ia tidak boleh memahaminya pada satu lapis. Sejarah adalah subjek yang memerlukan kekuatan akal untuk berfikir dan meminta kita untuk berfikiran terbuka. Sejarah juga perlu dilihat dengan luas dan tidak meletakkan kedudukan kita hari ini pada masa lalu.

Hal ini penting kerana jika kita berasakan sejarah itu tidak adil atau pahit, maka itulah sebenarnya sejarah. Sejarah tidak hanya merakamkan hal yang manis sahaja. Jadi, kita perlu berlapang dada dan menjadi pandai dengannya. Tanpa sejarah, negara kita tidak akan tumbuh seperti hari ini.

Selain itu, sebagai anak muda kita seharusnya memahami dan berusaha mempelajari sejarah.

Usah ketepi sejarah negara

Walaupun mungkin kita belajar dalam bidang lain, tetapi pengetahuan mengenai sejarah negara sendiri tidak boleh diketepikan. Ini bagi memastikan kita tidak ditipu oleh sejarah rekaan yang dibuat oleh pihak berkepentingan.

Sebelum ini media melaporkan mengenai naratif sejarah negara masih dikuasai oleh pandangan dan kajian daripada orientalis Barat. Hal ini menyebabkan tokoh tempatan dilihat sebagai pengkhianat, manakala feudalisme dianggap sebagai benteng menghalang pembangunan rakyat.

Namun, jika kita benar-benar mempelajari sejarah pada peringkat akar umbi tanpa memetik laporan berat sebelah oleh Barat, tentu sahaja kita mampu melihat siapa yang benar.

Penjajahan yang berlangsung ratusan tahun sudah lama berakhir, tetapi secara diam-diam ia masih direkod dalam jurnal, buku rujukan dan naskhah filem dari Barat. Kita pula hanya menerima, membaca dan menonton tanpa mahu berfikir lanjut dan menganggap semuanya ilmu, malah ada yang melihatnya sebagai hiburan semata-mata.

Sejarah adalah rakaman maruah, kehidupan, jatuh dan bangun sebuah bangsa dan negara. Ambil iktibar untuk setiap rakaman sejarah demi kegemilangan masa hadapan.

Umi Kalsom Abu Bakar,
Universiti Malaya

Berita Harian X