Selasa, 5 Julai 2022 | 1:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pendidik jangan berlebihan guna media sosial

Media sosial digunakan secara meluas dalam kehidupan hari ini. Aplikasi seperti TikTok misalnya meraih hingga 4 juta pengguna di Malaysia sahaja, manakala di peringkat global ia adalah aplikasi kelima popular.

Banyak orang beralih ke aplikasi ini termasuk golongan pendidik dengan harapan ia lebih mudah sampai kepada pelajar. Kita melihat sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, aplikasi sebegini memang sangat popular.

Umumnya, golongan pendidik sama ada peringkat sekolah rendah atau institut pengajian tinggi (IPT) menggunakan aplikasi ini dengan berkongsi ilmu tambahan seperti panduan belajar atau nota tutorial secara ringkas. Ia ternyata membantu pelajar kerana boleh ditonton berkali-kali.

Namun dari satu segi, golongan pendidik masih perlu mengawal keterujaan mereka terhadap media sosial sebegini. Misalnya, tidak manis untuk berkongsi proses pengajaran mereka secara langsung di medium itu. Perkara sebegini tidak wajar terjadi kerana boleh mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang negatif terutamanya dalam kalangan ibu bapa.

Perlakuan itu adalah sesuatu tindakan yang tidak profesional, malah dalam beberapa hal boleh mengganggu fokus tenaga pengajar. Mereka kelihatan lebih mahu menonjol dalam kalangan netizen dan tidak sebaliknya kepada pelajar.

Malah hal itu turut mendapat respon Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang yang menegaskan penggunaan media sosial seperti TikTok hanyalah sekadar memuat naik isi kandungan ringkas dan padat sebagai pengukuhan murid dan bukan dengan menyiarkannya secara langsung dengan mencari populariti sambil menunjukkan 'kesungguhan' dalam mengajar.

Teguran itu sangat tepat kerana amatlah tidak beretika untuk mempertontonkan proses pengajaran itu sendiri. Hal sama turut ditekankan netizen yang melihat perkongsian sebegitu seakan-akan lebih cenderung untuk meraih populariti.

Kita akui media sosial memiliki manfaat dan kebaikannya sendiri, namun tanpa kawalan kendiri yang baik ia hanya akan membawa keburukan. Justeru, sebagai tenaga pengajar betulkan niat dan jangan ulangi kesalahan sama.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X