Sabtu, 2 Julai 2022 | 9:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Masyarakat perlu sensitif dengan bencana alam, banjir

Bencana alam seperti banjir bukan hal yang luar biasa di negara ini. Namun kebelakangan ini, kekerapan terjadinya banjir menimbulkan keresahan, apatah lagi ia turut melanda kawasan yang tidak dijangka.

Setiap kali banjir berlaku ia mendatang banyak kesan negatif kepada masyarakat dan negara. Selain kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa ia turut menjejaskan kesihatan juga kewangan.

Selain faktor cuaca yang sukar dielak, perkara lain turut berpotensi menjadi punca berlakunya banjir boleh ditangani bersama dengan baik. Ia membabitkan persoalan sikap seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai atau longkang yang berisiko untuk mengakibatkan saluran air tersumbat.

Pada masa sama kerajaan juga perlu lebih peka dalam meluluskan projek pembinaan bangunan baharu. Pembukaan kawasan penempatan atau bandar baharu perlu dirancang dengan baik bagi memastikan sistem perparitan yang teratur, selain ia tidak menjadi punca berlakunya banjir.

Selain itu, ia perlu diperkemaskan dengan langkah yang lebih mesra alam misalnya mengawal pembakaran dan pencerobohan hutan. Tindakan tegas perlu diambil terhadap pesalah misalnya meningkatkan jumlah denda.

Namun apa yang lebih utama, kita sebagai ahli masyarakat perlu cakna terhadap kejadian banjir ini dengan lebih serius dan mengamalkan tanggungjawab masing-masing. Misalnya, tanggungjawab paling mudah adakan aktiviti gotong-royong kawasan kediaman bagi membersihkan sungai atau longkang yang tersumbat.

Mereka juga perlu mengambil inisiatif dengan melaporkan pihak berkuasa jika mengesan aktiviti tidak bertanggungjawab yang menjejaskan alam sekitar.

Tanjung Malim, Perak

Berita Harian X