Jumaat, 1 Julai 2022 | 12:42pm
Minyak sawit.
Minyak sawit.

Manfaat minyak sawit untuk kesihatan

Dengan segala diskriminasi dari Barat terhadap minyak sawit kita dan produk berkaitannya, saya ingin berkongsi pelbagai manfaat kesihatan yang sebenarnya ditawarkan minyak sawit.

Saya sangat percaya kepada semua perkara semula jadi dan faedah minyak sawit tidak terkira banyaknya, memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan dunia untuk minyak dan lemak.

Kelapa sawit adalah tanaman minyak sayuran yang paling produktif berbanding tanaman minyak lain (seperti kacang soya, bunga matahari dan biji sesawi atau canola) kerana ia menghasilkan sehingga empat tan minyak setiap hektar setahun.

Ini bermakna kelapa sawit hanya memerlukan keluasan tanah yang kurang untuk menghasilkan jumlah minyak yang sama berbanding tanaman minyak sayuran lain.

Bagaimanapun, terdapat banyak salah tanggapan tentang manfaat kesihatan minyak sawit, antaranya ialah minyak sawit hanya terdiri daripada lemak tepu, justeru mempunyai kesan buruk kepada kesihatan manusia.

Sebenarnya minyak sawit mempunyai nisbah asid lemak yang seimbang. Ia terdiri daripada 50 peratus lemak tepu (asid palmitik dan asid stearik) dan 50 peratuslemak tak tepu (asid oleik dan asid linoleik atau masing-masing dikenali sebagai asid lemak Omega-9 dan Omega-6).

Tambahan lagi, minyak sawit mengandungi banyak fitonutrien yang menyihatkan seperti tokotrienol vitamin E, provitamin A (juga dikenali sebagai karotenoid), fitosterol, koenzim Q10 dan lain-lain lagi. Ini adalah antioksidan yang berkesan dan boleh membantu dalam pencegahan penyakit.

Karotenoid dan minyak sawit merah

Karotenoid dan minyak sawit merah (RPO) minyak sawit mentah (CPO) adalah sumber tumbuhan semula jadi yang paling kaya dengan provitamin A karotenoid yang merangkumi alfa dan beta-karotena. Karotenoid inilah yang memberikan warna merah jingga kepada minyak sawit mentah.

CPO boleh diproses menjadi pelbagai produk seperti stearin sawit (lemak pepejal), olein sawit (minyak cecair) atau minyak sawit merah.

Minyak sawit merah diperoleh melalui teknologi penapisan khas menggunakan penyulingan molekul yang mengekalkan hampir 80 peratus karotenoid dan vitamin E yang terdapat dalam CPO.

Malah, minyak sawit merah mengandungi 15 kali lebih banyak karotenoid daripada lobak merah, 300 kali lebih banyak daripada tomato dan 44 kali lebih banyak daripada sayur-sayuran berdaun.

Karotenoid provitamin A adalah pigmen larut lemak yang memerlukan lemak untuk ditukar kepada vitamin A, yang kemudiannya diserap ke dalam usus kecil. Sekurang-kurangnya 5g lemak diperlukan untuk penyerapan karotenoid yang optimum.

Melengkapkan diri dengan minyak sawit merah boleh menjadi cara yang kos efektif dan praktikal untuk menangani kekurangan vitamin A dan masalah kesihatan yang berkaitan, termasuk kecacatan penglihatan, buta, terbantut, anemia, penyakit pernafasan, peningkatan risiko jangkitan dan kematian akibat jangkitan biasa kanak-kanak seperti cirit-birit dan demam campak.

Tambahan lagi, minyak sawit merah boleh digunakan sebagai 'salad dressing', minyak masak atau sebagai sebahagian daripada minyak campuran.

Pelbagai kajian mendapati pengambilan biasa satu hingga dua sudu teh minyak sawit merah dapat bantu memastikan pengambilan vitamin A yang mencukupi pada kanak-kanak serta ibu mengandung dan yang sedang menyusu.

Vitamin E

Vitamin E ialah nama umum untuk tokoferol dan tokotrienol yang dijumpai secara semula jadi dalam pelbagai makanan. Vitamin E di dalam minyak sawit merangkumi 70 peratus tokotrienol dan 30 peratus tokoferol.

Pengambilan vitamin E yang mencukupi adalah penting untuk membantu melindungi tubuh kita daripada kesan berbahaya radikal bebas. Selain itu, tokotrienol sawit mempunyai manfaat kesihatan lain yang melebihi sifat antioksidan termasuk kesan bermanfaatnya dalam kanser, kesihatan kardiovaskular, modulasi imun dan perlindungan saraf.

Kesihatan kardiovaskular

Pakar kesihatan sedunia mensyorkan supaya pengambilan asid lemak tepu dikurang atau dihapuskan untuk mengelakkan penyakit jantung dan obesiti. Setengah abad yang lalu, pengambilan asid lemak tepu telah terbukti menyebabkan peningkatan kolesterol yang mengakibatkan peningkatan risiko penyakit jantung koronari.

Bagaimanapun, semakan sistematik tentang risiko pemakanan di 195 negara antara 1990 dan 2017 oleh The Lancet pada 2019 mendapati bahawa pengambilan natrium yang tinggi adalah penyebab terbesar penyakit kardiovaskular.

Ia juga dilaporkan dalam kajian yang sama bahawa diet tinggi lemak trans dan daging merah juga boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Lagipun, minyak sawit yang berasal daripada tumbuhan adalah bebas kolesterol serta sumber tenaga yang sangat baik yang boleh meningkatkan HDL (lipoprotein berketumpatan tinggi) atau kolesterol "baik" yang bermanfaat.

Bagi obesiti pula, penyebabnya termasuk tabiat pemakanan yang tidak sihat, kekurangan aktiviti harian dan gaya hidup sedentari.

Tiada bukti pengambilan minyak sawit menyebabkan penyakit ini, selagi jumlah pengambilan lemak adalah dalam lingkungan 30 peratus daripada jumlah pengambilan harian, kadar yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agen antikanser

Akhir sekali, terdapat keperluan untuk menyangkal dakwaan bahawa minyak sawit menyebabkan kanser kerana kandungan asid palmitiknya yang tinggi.

Sebaliknya, asid palmitik telah diketahui mempunyai peranan penting dalam pembangunan dan metabolisme manusia kerana ia mewakili 20 hingga 30 peratus daripada jumlah asid lemak dalam fosfolipid membran dan triasilgliserol adipos.

Selain itu, asid palmitik boleh didapati dalam produk tenusu dan daging, mentega koko, minyak zaitun dan juga dalam susu ibu.

Minyak sawit terdiri daripada asid palmitik, stearik, oleik dan linoleik. Banyak kajian melaporkan bahawa antioksidan dalam minyak sawit berpotensi menjadi agen anti-kanser, manakala minyak sawit merah yang kaya dengan antioksidan dikatakan mempunyai kesan yang baik terhadap akibat kemoterapi.

Alternatif lebih sihat

Dalam penghasilan produk makanan berasaskan lemak pepejal seperti marjerin, minyak cecair akan dihidrogenkan sebahagiannya untuk menjadikannya lebih pepejal, sekali gus meningkatkan kestabilan oksidatifnya.

Bagaimanapun, proses ini akan menghasilkan jumlah lemak trans berbahaya yang tinggi. Lemak trans boleh didapati dalam produk biasa yang menggunakan minyak atau lemak terhidrogenasi separa sebagai bahan dalam penyediaannya.

Bahan-bahan ini boleh didapati dalam marjerin atau lemak. Akibatnya, produk bakeri seperti pastri, roti, kek dan biskut adalah antara makanan yang lazimnya mengandungi paras lemak trans yang tinggi.

Makanan yang digoreng dalam minyak terhidrogenasi separa juga akan mengandungi lemak trans. Minyak sawit mempunyai lemak pepejal semulajadi dan oleh itu tidak memerlukan penghidrogenan separa. Oleh itu, produk tersebut bebas daripada lemak trans yang berbahaya.

Sebenarnya, minyak sawit adalah alternatif yang lebih sihat berbanding lemak separa terhidrogenasi. Di antara pelbagai sumber lemak, minyak sawit dianggap sebagai pilihan utama restoran dan pengeluar makanan kerana kepelbagaian aplikasinya.

Untuk mengatasi pelbagai salah tanggapan mengenai minyak sawit, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah melancarkan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan (Malaysian Palm Oil Full of Goodness) pada Januari tahun ini.

Sebagai rakyat Malaysia, kita semua harus menyokong kempen ini dan membantu mewujudkan lebih banyak kesedaran tentang faedah minyak sawit.

Rizalman Hamid Kusnan

Johor Bahru

Berita Harian X