Jumaat, 17 Jun 2022 | 10:39am
Jika anak dibiarkan leka, impak media sosial akan menyebabkan mereka lalai. - Foto hiasan
Jika anak dibiarkan leka, impak media sosial akan menyebabkan mereka lalai. - Foto hiasan

Pantau anak guna media sosial elak dipengaruhi elemen negatif

Anak-anak hari ini lebih banyak menghabiskan masa melayari media sosial yang boleh memberi kesan kepada diri mereka sendiri jika penggunaannya tidak dibuat secara berhemah. Keadaan ini seharusnya disedari dan dipantau ibu bapa kerana peranan mereka dalam situasi sebegini amat penting.

Hari ini rata-rata di semua jenis media tanggungjawab ibu bapa terhadap aktiviti dalam talian anak-anak hangat diperkatakan. Ia susulan timbulnya isu yang membimbangkan apabila anak-anak seawal usia 10 hingga 16 tahun dikesan mula menonton pornografi secara sengaja.

Disebabkan gangguan pornografi, anak-anak mula bertingkah laku pelik dan kelihatan terlalu fokus melihat telefon pintar. Sekiranya perkara ini masih dianggap ringan dan tidak dibendung, kemungkinan besar generasi muda ini akan cenderung untuk terbabit dalam jenayah pornografi dan boleh menyebabkan beberapa kesan yang lain. Jadi, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebaiknya bagi menangani keadaan sebegini sebelum terlewat.

Antara peranan yang perlu ditekankan ialah memantau penggunaan media sosial anak. Sudah pasti setiap anak muda hari ini mempunyai akaun media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram dan sebagainya. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil tahu perkara yang diakses oleh anak mereka menerusi penggunaan media sosial. Tujuan utama adalah untuk mengelakkan anak-anak ini daripada melayari perkara yang tidak bermoral seperti menonton video atau visual tidak senonoh.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh melihat aktiviti media sosial pada bahagian "history" atau sejarah enjin carian bagi media sosial yang digunakan. Carian ini bukan sahaja boleh dilihat dalam masa sehari, malah sepanjang masa sekiranya ia tidak dipadamkan. Menerusi kaedah itu, ibu bapa dapat mengetahui perkara yang diakses oleh anak mereka sama ada dipengaruhi oleh perkara negatif atau sebaliknya. Tindakan ini perlu dilakukan kerana orang lama ada berpesan, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Di samping itu, ibu bapa perlu mengehadkan masa anak dalam melayari media sosial. Ibu bapa mempunyai hak untuk menyekat penggunaan media sosial anak jika mereka sudah melampaui batas seperti terbabit dalam menonton pornografi. Tindakan ini wajar dilakukan bagi mengawal tempoh penggunaan media sosial supaya mereka ini dapat belajar menghargai masa dengan melakukan perkara yang lebih berfaedah.

Sebagai contoh, ibu bapa hanya membenarkan anak mereka menggunakan telefon pintar pada waktu tertentu terutama sekali ketika mereka mahu mencari bahan ilmiah atau untuk menghilangkan tekanan. Ibu bapa juga boleh menetapkan masa penggunaan media sosial anak, misalnya selama satu jam sehari sahaja.

Jika anak dibiarkan leka tanpa tindakan awal tidak diambil, impaknya media sosial akan menyebabkan mereka lalai. Malah mudah pula terpengaruh dengan unsur negatif. Seterusnya, ibu bapa perlu meningkatkan pengetahuan diri mengenai penggunaan media sosial. Ibu bapa harus sedar bahawa mereka adalah insan yang paling rapat dengan anak dan menjadi contoh teladan terbaik kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Justeru, mereka perlu menerangkan segala maklumat mengenai media sosial dari segi kebaikan dan keburukannya supaya anak bijak dalam menggunakan media sosial. Sebagai contoh, sekat laman berunsur lucah atau pelbagai lagi yang tidak membawa manfaat. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak berbuat demikian. Hal ini perlu dimantapkan lagi dengan kaedah didikan anda terhadap anak. Misalnya ajar mereka menghargai waktu. Tidak dinafikan media sosial adalah sebahagian keperluan dalam kehidupan hari ini. Dalam hal inilah pentingnya kaedah didikan ibu bapa bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kepercayaan anda ke arah negatif.

Akhir kata, dapat disimpulkan bahawa peranan ibu bapa dalam memantau penggunaan media sosial anak adalah penting. Kawalan bukan bermaksud yang negatif, sebaliknya membantu mereka menjadi dewasa, bijak dan pemikiran mereka sihat dan tidak dipengaruhi aktiviti tidak bermoral.

Siti Nurhasyimah Hashim
Tanjung Malim

Berita Harian X