Khamis, 9 Jun 2022 | 10:30am
PBAKL meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. - Foto hiasan
PBAKL meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. - Foto hiasan

Terus hidupkan industri buku demi memperkasa budaya ilmu

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 kali ini nampaknya sangat meriah, pulang ke tampuk asal di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) amat ditunggu tunggu oleh penerbit dan penulis.

Dua tahun pandemik, penulis, penterjemah dan penerbit terutamanya menggunakan masa untuk menghasilkan karya yang baik. Hal ini jelas terlihat apabila dua minggu sebelum PBAKL bermula penerbit yang mengambil bahagian rancak mempromosi produk masing-masing di media sosial.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penggiat buku lebih banyak menggunakan jualan dalam talian demi memastikan keberadaan industri. PBAKL kali ini hadir dalam bentuk hibrid dengan lebih 500 reruai, juga dianjurkan dalam talian.

Dianggarkan PBAKL kali ini bakal menarik 1 juta pengunjung sepanjang 10 hari 'beraya buku'. Malah jika dilihat jumlah mereka yang tampil sebagai pempamer turut memberangsangkan dengan 170 pempamer tempatan dan 20 antarabangsa, manakala jumlah reruai mencecah 530 buah.

Sejujurnya, penganjuran PBAKL amat penting kepada pembangunan industri buku kerana dapat menyumbang pada ekonomi negara. Lebih utama, PBAKL meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) memaklumkan dari segi mutu dan bilangan judul bahan bacaan dipamerkan terserlah peningkatannya, terutama buku profesional dan akademik.

Bukan sekadar itu, PBAKL diberikan nilai tambah dengan kewujudan seksyen 'mandiri' iaitu khusus untuk penulis, ilustrator, penerbit buku zine dan swafoto, selain jualan murah menerusi Gudang Jualan Berbaloi.

Semua itu tentu saja menyokong objektif penganjuran PBAKL yang antara lain bertujuan memajukan industri penerbitan buku tempatan; menggalakkan aktiviti berkaitan perbukuan seperti penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan dan pemasaran buku di negara ini.

PBAKL juga diadakan bagi mempromosikan judul terkini bahan terbitan tempatan, sama ada bercetak mahupun bahan elektronik dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa lain dari dalam dan luar negara; memupuk kesedaran mengenai kepentingan buku sebagai pembekal ilmu dan penggayaan minda untuk pembinaan modal insan, selain menggalakkan tabiat budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan tidak ketinggalan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbitan dan pemasaran buku serta perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan di rantau ini.

Sebelum ini PBAKL menerima banyak kritikan. Ada pihak yang mengatakan kenapa ingin berpesta buku kerana buku fizikal tidak lagi relevan. Malah ada yang mengatakan PBAKL amat terhad dan bermacam-macam lagi. Sejujurnya, saya melihat PBAKL 2022 begitu baik dari segi penganjuran dan promosi.

Apa yang lebih penting adalah usaha menyemarakkan kandungan tempatan. Ini amat kritikal untuk mencetuskan cabang kreativiti lain seperti filem, animasi atau e-sukan. Semuanya bermula dengan industri buku, sama ada fizikal atau dalam talian. inilah antara kejayaan PBAKL.

PBAKL ini juga bertindak membuka tirai pesta buku hingga ke Frankfurt, Jerman Oktober nanti. Ini sangat penting bagi memperkasa industri buku kita dan dalam mengantarabangsakan bahasa Melayu ke persada dunia.

Setiap tahun MBKM akan membuat pemilihan 50 buku terbaik Malaysia sebagai persiapan ke pesta buku berkenaan dan PBAKL membantu menggalakkan penghasilan buku bermutu tinggi.

Ayuh, pembaca dan peminat tegar buku. Sila bersama industri buku menyokong PBAKL 2022. Diharap semua terbabit sama. Namun pastikan prosedur operasi standard (SOP) terjaga sepanjang pesta dan mendapat manfaat membeli buku untuk keluarga bagi menambah ilmu. Budaya membaca buku sebati dengan penambahan ilmu!

Ninot Aziz
Kuala Lumpur

Berita Harian X