Jumaat, 3 Jun 2022 | 10:30am
Semua pihak perlu merancang strategi secara terperinci bagi mengatasi masalah murid yang gagal menguasai kemahiran 3M.- Foto hiasan
Semua pihak perlu merancang strategi secara terperinci bagi mengatasi masalah murid yang gagal menguasai kemahiran 3M.- Foto hiasan

Atasi isu penguasaan 3M elak murid keciciran, hilang keyakinan diri

Sistem pendidikan negara amat menitikberatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), terutama untuk murid Tahun Satu, Dua dan Tiga.

Kemahiran 3M ini sangat penting kerana ia akan menentukan tahap pembelajaran murid hingga peringkat seterusnya. Pembelajaran murid yang gagal menguasai kemahiran ini dikhuatiri akan terjejas selain akan meninggalkan kesan psikologi ke atas diri mereka antaranya tiada keyakinan diri.

Sebelum berlaku penularan COVID-19, sudah terdapat kebimbangan dalam kalangan pentadbir sekolah mengenai murid yang gagal menguasai 3M. Umumnya, dengan kadar bilangan kemasukan murid yang ramai ke Tahun Satu, guru mengharapkan mereka sudah mampu menguasai kemahiran asas itu.

Hal ini selari dengan banyak bilangan sekolah khusus untuk anak berusia empat hingga enam tahun tidak kiralah milik kerajaan atau swasta. Sekolah seperti itu menyediakan murid dengan kemahiran 3M sebelum mereka masuk ke Tahun Satu. Mereka yang mendapat pendidikan awal sebegini seharusnya sudah dipersiapkan untuk melangkah masuk ke sistem perdana.

Bagaimanapun masih terdapat murid yang tidak menguasai 3M atas banyak sebab. Hal ini kemudian menjadi semakin membimbangkan apabila penularan COVID-19 berlaku.

Susulan usaha menyekat penyebaran wabak, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytiharkan pada 18 Mac 2020 menyaksikan institusi pendidikan turut ditutup. Semua institusi pendidikan, termasuk sekolah kerajaan dan swasta, termasuk sekolah harian, berasrama penuh, antarabangsa dan lain-lainnya tidak lagi mengadakan pembelajaran sesi bersemuka.

Keadaan ini antara lain menyebabkan penguasaan 3M dalam kalangan pelajar berada pada tahap yang membimbangkan. Apatah lagi mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran yang baharu, iaitu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Jika diteliti Manual PdPR Versi Dua yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Perenggan 5.1 ada menyebut 'tiada murid tercicir dalam pembelajaran'. Namun, apa sebenarnya yang berlaku?

Kes keciciran pelajar direkodkan misalnya pada Disember 2021 dilaporkan di Johor, sebanyak 20 peratus daripada 130,000 pelajar tahap ini gagal menguasai kemahiran 3M. Pelajar hilang fokus untuk belajar akibat penggunaan skrin peranti yang terlalu lama ditambah lagi dengan persekitaran pembelajaran tidak kondusif.

Apa yang lebih membimbangkan lagi apabila terdapat pelajar yang langsung tiada capaian kepada pendidikan kerana masalah ekonomi.

Situasi ini memberi kesan negatif kepada tahap penguasaan 3M pelajar. Hal ini demikian kerana, mereka akan mengalami kesukaran dalam memahami isi kandungan pelajaran.

Justeru, pelajar yang gagal menguasai kemahiran asas ini akan lebih terdedah kepada pelbagai kesan negatif dari aspek psikologi. Mereka berasa rendah diri, terasing dan ketinggalan kerana tidak menguasai kemahiran 3M dan kemudian hilang minat belajar.

Masalah inilah yang mengundang kepada isu yang lebih merunsingkan, iaitu keciciran pelajar. Dalam hal ini, pihak sekolah dan ibu bapa seharusnya memainkan peranan masing-masing bagi menangani keadaan. Pihak sekolah boleh menubuhkan ahli jawatankuasa bagi merancang strategi secara terperinci contohnya mengadakan kem celik 3M. Ibu bapa juga hendaklah sama-sama berganding bahu dengan mendedahkan kemahiran 3M kepada anak sejak kecil.

Kesimpulannya, isu penguasaan kemahiran 3M seharusnya tidak dipandang dengan sebelah mata sahaja kerana pada era globalisasi kini, pendidikan mestilah diberikan keutamaan bagi mengatasi isu seperti buta huruf, buta angka dan keciciran pelajar. Ia juga bertujuan melahirkan generasi muda yang berilmu pengetahuan dan berketrampilan supaya dapat memberi sumbangan terhadap kesejahteraan bangsa dan negara.

Fatimatul Nafisa Shaiffuddin,
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X