Selasa, 26 April 2022 | 10:30am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Beradab di media sosial serlah impak positif jalani kehidupan

Satu ketika dulu anak mempelajari budaya dan peradaban daripada orang tua mereka. Segala adab, adat dan keperibadian adalah berdasarkan perlakuan yang dipertontonkan oleh ibu bapa serta seluruh ahli keluarga.

Generasi veteran dalam sesebuah keluarga seperti datuk dan nenek juga akan mengajarkan adab dan tingkah laku mengikut situasi kepada generasi yang lebih muda. Anak muda dengan rasa penuh hormat menuruti segala nasihat itu walaupun mungkin kadangkala mereka kurang memahami hikmahnya.

Berbeza dengan zaman kini, generasi muda tidak dapat berenggang dengan media sosial. Hampir segala aktiviti harian akan menjadi modal untuk dimuat naik di media sosial masing-masing. Mereka menggunakan apa sahaja situasi yang ada di sekeliling sebagai kandungan (content). Sehinggakan ada ketikanya mereka terpaksa mengada-adakan cerita semata-mata untuk tujuan menarik tontonan pengikut di media sosial.

Masyarakat perlu sedar bahawa media sosial bukan sekadar hiburan semata-mata, bahkan hari ini ia sudah menjadi sebahagian budaya dan cara hidup zaman kini. Media sosial adalah medan untuk kita mendapatkan pendidikan dan pengajaran bagi menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Jika sebelum ini, pendidik atau ahli akademik menggunakan buku sebagai medium untuk menyampaikan maklumat, hari ini mereka harus beralih kepada media sosial untuk melaksanakan kelas pengajaran. Ketika televisyen diperkenalkan sebelum ini, setiap kandungan ditayangkan adalah alat sangat berkuasa dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat kerana ia dapat ditonton oleh jutaan individu.

Namun, sejak kehadiran media sosial, segala maklumat dapat dicapai oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan mudah dan cepat dalam pelbagai rupa serta bentuk saluran media. Lebih mudah, ia boleh dicapai pada bila-bila masa. Dunia sudah menjadi sebuah 'kampung global' iaitu satu istilah yang diperkenalkan oleh ahli teori Kanada, Marshall McLuhan dan ia adalah realiti yang tidak dapat dinafikan lagi.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli masyarakat untuk memastikan kandungan media sosial adalah sesuatu yang dapat memberikan pendidikan dan pengajaran berkesan kepada semua penonton. Jika anda adalah seorang guru maka gunakan media sosial untuk melaksanakan pengajaran yang sepatutnya. Seorang chef dapat berkongsi resipi masakan bersama masyarakat hanya dengan memuat naik video masakan dalam platform media sosial. Seorang pendakwah atau ahli motivasi boleh menggunakan media sosial untuk memberi penjelasan mengenai isu yang timbul dan mencadangkan cara penyelesaian terbaik.

Mahasiswa juga dapat menggunakan media sosial masing-masing untuk berkongsi mengenai kemahiran dan pengetahuan ketika masih dalam tempoh pengajian di universiti lagi. Mereka boleh memberi cadangan dan maklum balas secara berhemah serta berhikmah mengenai situasi semasa.

Apabila mereka mengaplikasikan komunikasi berkesan dan profesional ketika berinteraksi di media sosial, ia antara cara untuk menjenamakan diri sendiri. Mana tahu, berkat daripada sikap beradab ketika berinteraksi di media sosial, maka merekalah calon pekerja yang sentiasa dinanti-nantikan majikan.

Seperti harapan Perdana Menteri ketika melancarkan Hari Keselamatan Internet 2022, setiap ahli Keluarga Malaysia seharusnya terus memupuk sikap kebertanggungjawaban terhadap diri dan orang lain ketika berkomunikasi di media sosial. Ternyata, perwatakan kita ketika berinteraksi di media sosial mampu memberikan impak positif dalam menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bahagia.

Nurul Nishah Mohd Shah dan Mohd Radzman Basinon,
UiTM Cawangan Negeri Sembilan

Berita Harian X