Jumaat, 22 April 2022 | 1:09pm
Manfaat perpustakaan untuk kita cambahkan ilmu pengetahuan melalui bahan bacaan yang disediakan. - Foto hiasan
Manfaat perpustakaan untuk kita cambahkan ilmu pengetahuan melalui bahan bacaan yang disediakan. - Foto hiasan

Bina persekitaran membaca hobi menyoronokkan

Usaha menyemai minat dan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sentiasa dibuat oleh pelbagai pihak. Antara yang terkini adalah Gerakan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang bermatlamatkan Malaysia sebagai negara membaca dan bangsa yang berilmu menjelang 2030.

Susulan itu, saban tahun pelbagai inisiatif dan aktiviti dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia dalam memastikan gerakan DMK ini dijayakan oleh kelompok sasar. Misalnya, Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang disambut semalam, iaitu acara yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan masyarakat membaca di mana-mana sahaja secara serentak di seluruh negara pada jam 11 hingga 11.10 pagi pada tarikh berkenaan.

Program ini juga adalah sebahagian sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang diraikan pada 23 April setiap tahun. Tahun 2022, program ini berlangsung dalam bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Bertemakan 'Bangkit Baca dan Bersyukur', masyarakat digalak bersama-sama menularkan gelombang Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit dalam pelbagai media massa dan media sosial supaya menjadi tular dan secara langsung menyuntik semangat untuk membaca.

Kata pepatah menyebut, pembaca hari ini adalah pemimpin hari esok adalah sangat tepat untuk menggambarkan tabiat membaca bahan bacaan yang berkualiti dan ilmiah.

Banyak kajian membuktikan aktiviti membaca bukan hanya menambahkan ilmu pengetahuan tetapi juga mengurangkan tekanan, meningkatkan empati, membuatkan diri kita lebih tenang, menambah kualiti tidur, mencergaskan fikiran, mengurangkan penurunan memori dan kognitif, meningkatkan daya tumpuan dan mencambah pemikiran kritis serta kreatif.

Malah, dalam Islam, wahyu pertama yang diterima Rasulullah SAW adalah mengenai kepentingan membaca. Hal ini menjelaskan amalan mulia ini dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Maka, tidak menghairankan amalan membaca melahirkan tokoh keilmuan tersohor Islam seperti al-Farabi, al-Khawarizmi dan Ibnu Sina.

Apa yang kita boleh lakukan untuk mencambah dan membugar amalan membaca ini pada anak ialah dengan menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk mereka sama ada format bercetak atau digital.

Ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik, selain membina persekitaran membaca dengan menjadikannya hobi menyeronokkan. Selain itu sering membawa anak mengunjungi perpustakaan, kedai buku dan pesta buku.

Bagi golongan remaja dan mahasiswa, mereka perlu ditanamkan dengan prinsip bahawa membaca itu bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan pembelajaran, peperiksaan dan bergraduasi semata-mata.

Amalan membaca tidak merugikan, bahkan terlalu banyak manfaatnya. Masyarakat pula perlu mengasah minda mereka bahawa membaca tidak terhad untuk kerjaya dan mengisi masa lapang sebaliknya merangsang pembelajaran sepanjang hayat yang tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja.

Pada peringkat global, Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam elemen keempat, iaitu kualiti pendidikan turut menitikberatkan amalan membaca dalam kalangan semua golongan masyarakat. Ia seharusnya mudah diperoleh dan dicapai sama ada percuma dan sebagainya menjelang 2030.

Penulis adalah Rasida Abu Bakar, Pustakawan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Berita Harian X