Sabtu, 9 April 2022 | 10:38am
- Gambar hiasan.
- Gambar hiasan.

Kesihatan mental teras kehidupan berkualiti

Kesihatan mental sering kali dianggap remeh oleh masyarakat. Malah terdapat stigma masyarakat sekeliling yang menganggap ia berkaitan dengan penyakit gila. Stigma begitu sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan individu jika masalahnya gagal ditangani segera.

Tambahan pula, masyarakat turut berhadapan dengan penyakit lain seperti jantung, kencing manis dan kanser sehingga masalah mental tampak tiada memberi kesan apa-apa.

Namun, sejak pandemik COVID-19 melanda pada hujung 2019 masalah kesihatan mental mendapat perhatian disebabkan laporan beberapa kes berkaitan yang menyayat hati.

Malah ia juga dapat dilihat berdasarkan statistik perceraian dan penderaan yang tinggi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Permasalahan berikut semuanya berpunca daripada tekanan emosi tidak terurus yang menjejaskan kewarasan individu.

Justeru itu, bagi menyokong objektif dalam Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020 -2025, adalah penting untuk kita mendapatkan kesejahteraan kesihatan mental. Ramai mungkin tidak sedar betapa berkualitinya kehidupan jika mental kita sihat. Ia akan memberi impak positif pada diri dan seluruh sistem kehidupan. Sebaliknya, jika masalah ini berterusan tidak dibendung akan merugikan diri individu, keluarga dan komuniti serta organisasi terbabit.

Namun, sejauh mana masyarakat tahu mengenai pentingnya menguruskan kesihatan mental? Hal ini kerana kes berkaitan kesihatan mental terus meningkat dan ia dapat dilihat daripada jumlah mereka yang menerima rawatan.

Keadaan ini menimbulkan kegusaran kepada masyarakat kerana implikasinya akan menjejaskan prestasi individu dan juga organisasi. Antaranya individu akan mudah terdedah kepada tindakan berisiko dan luar kawalan, pengambilan dadah secara berterusan, gaya hidup kurang sihat serta tidak bergaul dengan keluarga dan masyarakat setempat.

Stigma kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental perlulah dibuang. Sokongan daripada masyarakat sekeliling diperlukan bermula dengan memberikan sokongan nasihat dan tidak memandang buruk pada mereka yang diuji dengan kesihatan mental.

Sebenarnya, kepentingan menjaga kesihatan perlulah diterapkan di setiap peringkat usia dan latar belakang sejak dari kecil. Ia bermula dengan tidak meremehkan emosi anak dan mengajar mereka menghadapi situasi dengan tenang. Ia boleh menjadi satu asas penting dalam menguruskan emosi.

Jika terdapat rakan sekeliling atau keluarga yang berada di dalam keadaan yang merisaukan, cuba dapatkan solusi atau bantuan segera. Secara umum, sistem sokongan seperti keluarga, rakan, cikgu, pensyarah, komuniti dan pihak berwajib sangat penting. Pendedahan, cara hidup sihat seperti bersenam, menjaga pemakanan juga antara komponen penting dalam sinergi memperbaiki kesihatan mental.

Selain itu, pengisian kerohanian mengikut agama juga dapat membantu memperkukuhkan jati diri individu. Rawatan kepada kesihatan mental juga boleh diperoleh untuk mengelakkan ia lebih teruk sehingga membawa kepada masalah halusinasi dan tindakan berisiko luar kawalan.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan rakan atau keluarga berada dalam keadaan yang baik. Pihak bertanggungjawab juga perlu giat memperkenal atau mempromosikan budaya menjaga kesihatan mental secara berterusan dan holistik sementara kita sebagai individu juga perlu sentiasa peka mengenai kesihatan mental dan jika terdapat keraguan segeralah mendapatkan rawatan.

Siti Musliha Mohd Idris dan Khairunnisa' Yussof,
UiTM, kampus Alor Gajah

Berita Harian X