Sabtu, 19 March 2022 | 10:45am
KPM melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) di bawah Transformasi Pendidikan Orang Asli dan peribumi. - Foto hiasan
KPM melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) di bawah Transformasi Pendidikan Orang Asli dan peribumi. - Foto hiasan

Strategi atasi keciciran pelajaran murid Orang Asli

ISU keciciran dalam kalangan murid Orang Asli adalah satu permasalahan yang tidak pernah selesai dalam konteks pendidikan di Malaysia.

Sama ada sebelum pandemik atau sesudahnya, isu ini masih lagi menjadi perhatian kerajaan. Malah atas kesedaran itu, Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) di bawah Transformasi Pendidikan Orang Asli dan peribumi.

Pelan itu bagi memastikan ekuiti iaitu kesamarataan akses pendidikan seiring dengan pendidikan arus perdana.

Tranformasi ini diharapkan dapat menangani dan menambah baik masalah pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli supaya bakat dan potensi mereka dicungkil selari dengan keperluan Pendidikan Abad ke-21 dan negara menuju Revolusi Perindustrian (IR 4.0).

Kita melihat cabaran yang besar dalam merapatkan jurang keciciran ini apabila pandemik COVID-19 mula melanda dunia sejak akhir 2019. Ketika kemuncaknya, lebih daripada 100 negara membuat undang-undang penutupan sekolah bagi mengekang penularan wabak.

Di Malaysia, hal sama berlaku apabila KPM melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang dilaksanakan secara dalam talian. Sejak itu pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran digunakan dengan aneka maklum balas diterima.

Antara yang paling kerap didengar tentu saja ketidakmampuan murid untuk mengikutinya atas pelbagai faktor misalnya liputan internet yang buruk, selain akses kepada peranti yang digunakan. Dua faktor ini dialami oleh kebanyakan murid di kawasan pedalaman.

Dalam konteks murid Orang Asli, kebanyakan mereka tidak mampu mengikuti PdPR kerana capaian kepada gajet dan peranti yang kurang.

Berdasarkan Kaji Selidik Penggunaan ICT dan Akses Oleh Individu dan Isi rumah pada 2018, isi rumah yang mempunyai akses kepada televisyen ialah sebanyak 98.6 peratus dan ia adalah capaian tertinggi berbanding peranti yang lain.

Namun kita juga menyedari guru-guru di sekolah Orang Asli sedaya upaya memastikan setiap murid tidak ketinggalan dalam pelajaran. Banyak kaedah dilakukan bagi membolehkan murid terus belajar hingga ada guru yang pergi rumah ke rumah, memasuki perkampungan yang jauh di pedalaman semata-mata untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Lembaran kerja diagihkan dan dikutip semula berdasarkan tarikh tertentu.

Namun kaedah ini dilihat tidak berkesan kerana mereka tidak dapat dibimbing sebaiknya seperti mana kelas bersemuka. Malah, lembaran kerja sekolah yang diberikan dihantar kembali tanpa sebarang jawapan.

Justeru kita melihat pula kegigihan guru-guru ini tampil dengan video pembelajaran. Rakaman video ini membolehkan murid menontonnya sehingga mereka faham. Namun PdPR bukan hanya setakat menyiapkan lembaran kerja atau modul tetapi boleh dijalankan melalui aktiviti seperti kuiz, penceritaan, permainan, dan nyanyian.

Banyak kajian lalu yang menunjukkan bahawa antara satu cara yang berkesan untuk mengajar murid-murid Orang Asli adalah melalui muzik dan permainan serta dijalankan dalam situasi yang santai.

Murid Orang Asli sebenarnya lebih teruja dan seronok untuk meneroka serta belajar mengenai identiti masyarakat sendiri. Justeru murid Orang Asli boleh diajar dengan kaedah memberikan tugasan atau projek berkaitan dengan persekitaran mereka.

Konsep kehidupan dan persekitaran tempat tinggal yang jauh berbeza dengan masyarakat luar menyebabkan mereka sukar untuk mengaitkannya dengan kandungan buku teks.

Justeru, guru boleh membantu dengan menggunakan muzik dan lagu tradisi masyarakat mereka sebagai formula hafalan subjek tertentu. Ia lebih dekat dengan mereka dan mudah untuk diingat.

Sebenarnya kaedah ini bukan hanya boleh dilaksanakan ketika PdPR, malah ia juga antara kaedah terbaik mendidik murid Orang Asli.

Ketika ini sekolah sudah dibuka seperti biasa walaupun sesetengah daripadanya melaksanakannya dasar penggiliran. Ini adalah peluang terbaik untuk menangani masalah keciciran pelajar.

Namun dalam konteks pendidikan Orang Asli, pelaksanaan strategi jangka pendek dan panjang diperlukan bagi membantu menyelesaikan masalah dialami, selain situasi sosioekonomi. Ini penting untuk mengurangkan keciciran pelajaran, selain merapatkan jurang dalam masyarakat.

Prof Madya Dr Norwaliza Abdul Wahab,
Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X