Jumaat, 4 March 2022 | 11:15am
Penggunaan e-book secara meluas buka lembaran baharu dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Penggunaan e-book secara meluas buka lembaran baharu dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Penggunaan e-book atasi isu beg berat

KITA sering mendengar rungutan ibu bapa mengenai isu beg berat. Ia kerap dibincangkan, namun sehingga kini belum ada penyelesaiannya.

Pelbagai cadangan diberikan bagi menyelesaikan isu ini. Antaranya penggunaan almari di sekolah, penekanan kepada kemahiran 3M iaitu membaca, mengira dan menulis sahaja, semakan jadual waktu, menjilidkan buku kepada dua bahagian dan penggunaan buku elektronik (e-book).

Berbekalkan idea pelbagai pihak, Kementerian Pendidikan (KPM) mengorak langkah dengan menyahut saranan dan cadangan menerusi penggunaan e-book, iaitu pembangunan aplikasi dipanggil KPM eTextbook Reader. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi telefon pintar anda melalui Google Play untuk versi android, manakala Apple Store bagi platform iOS. Aplikasi ini juga menyediakan beberapa lagi buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah.

Berdasarkan penelitian saya, ibu bapa hanya perlu mengisi semua maklumat yang diminta seperti nama, nombor kad pengenalan, lokasi dan sekolah sebelum memuat turun kandungan dipilih. Perkara yang paling penting di sini, setiap langganan pada aplikasi itu adalah percuma. Ini bermakna ibu bapa boleh mendapatkan e-book untuk semua subjek mengikut tahap pelajar.

Ibu bapa hanya perlu muat turun semua e-book mengikut subjek anak berdasarkan jenis sekolah mereka. Selepasitu, capaian internet tidak lagi diperlukan dan pelajar dapat membaca buku teks berkenaan di mana-mana dan pada bila-bila sahaja.

Dengan penggunaan aplikasi ini secara meluas, KPM membuka lembaran baharu dalam sistem pendidikan di Malaysia, iaitu mengarah kepada kemenjadian pelajar dalam menyediakan tenaga kerja era ini. Generasi celik teknologi maklumat juga boleh ditingkatkan. Pelajar diberi peluang meneroka ilmu dalam bidang teknologi secara mendalam. Penggunaannya juga dapat dilihat mampu mengatasi isu beg berat.

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu adalah pelopor penggunaan e-book. Penanda aras boleh dilakukan supaya impak dan manfaat e-book ini dimaksimumkan. Transformasi perlu dimulakan, norma baharu perlu diadaptasi semua pelajar, ibu bapa dan guru. Langkah proaktif pihak KPM perlu dihebah supaya manfaat dapat dimaksimumkan.

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X