Sabtu, 26 Februari 2022 | 10:30am
Pengenalan subjek baharu mengenai bencana perlu diteliti untuk mengelak pembaziran susulan silibus pendidikan negara sudah mempunyai Elemen Merentas Kurikulum. - Foto hiasan/NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengenalan subjek baharu mengenai bencana perlu diteliti untuk mengelak pembaziran susulan silibus pendidikan negara sudah mempunyai Elemen Merentas Kurikulum. - Foto hiasan/NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Tubuh jawatankuasa kaji keperluan subjek baharu cara hadapi bencana

Saban tahun fenomena bencana alam seperti banjir berlaku di negara kita. Bagaimanapun, tragedi banjir yang berlaku di Selangor baru-baru ini membuka mata kita seluas-luasnya.

Susulan itu, terdapat cadangan untuk mewujudkan subjek baharu pada semua peringkat pendidikan di negara ini bagi menyediakan rakyat untuk menghadapi bencana.

Cadangan itu menimbulkan keluh-kesah dalam kalangan pendidik. Belum habis lagi dengan cabaran pendidikan secara dalam talian era pandemik, ditambah lagi dengan ragam pengoperasian pembukaan sekolah dan terkini usul memperkenalkan mata pelajaran baharu.

Banyak tanda tanya yang timbul antaranya siapakah yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengajar subjek berkaitan? Adakah subjek itu berkesan dalam mendidik generasi muda menghadapi bencana?

Saya berpendapat subjek itu bukan keperluan mendesak. Hal ini berdasarkan mata pelajaran sedia ada di sekolah rendah dan menengah sudah memadai dan mampu menangani isu ini.

Subjek Geografi dan Sains misalnya mempunyai topik yang membincangkan mengenai alam sekitar dan bencana alam. Guru pasti mengaitkan sub- jek pembelajaran dengan isu semasa yang berlaku. Hal ini secara tidak langsung membolehkan pelajar mengetahui dengan lebih mendalam situasi bencana di Malaysia.

Pengenalan subjek baharu itu sebenarnya boleh dilihat sebagai satu bentuk pembaziran susulan silibus pendidikan kita sudah mempunyai Elemen Merentas Kurikulum (EMK).

Elemen itu termasuk pendidikan alam sekitar, nilai murni, sains dan teknologi, patriotisme, kepemimpinan, pendidikan pengguna dan lain-lain lagi.

Semua elemen ini sudah diserapkan dalam setiap mata pelajaran. Justeru, pengenalan subjek baharu berkaitan bencana ini sememangnya tidak relevan untuk diwujudkan.

Sekiranya kita benar-benar dan serius dalam mendidik rakyat Malaysia berkaitan prosedur operasi standard (SOP) menghadapi bencana, buku teks dan silibus untuk subjek tertentu di sekolah boleh dikemas kini mengikut peredaran masa.

Sekurang-kurangnya pihak Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mengurangkan kos operasi dan cetakan sekiranya subjek ini tidak diperkenalkan.

Satu jawatankuasa bertindak perlu diwujudkan bagi mengkaji dan menganalisis keperluan subjek ini. Tinjauan berskala besar perlu dilaksanakan oleh institusi pendidikan tinggi hingga akar umbi akan keperluan subjek ini.

Penulis teringat suatu masa dahulu juga pernah ada khabar angin ingin diwujudkan subjek berkaitan alam sekitar di sekolah. Usaha ini akhirnya terkubur begitu sahaja susulan tiada kesungguhan dalam memperjuangkannya.

Kita mengharapkan setiap duit rakyat yang dibelanjakan untuk negara mempunyai nilai tambah dan memberi manfaat kembali kepada anak kita.

Jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam dan ibarat melepaskan batok di tangga. Semoga kita dapat membuat keputusan lebih baik untuk masa depan negara.

Mohd Nazareth Aripin,
Kuala Lumpur

Berita Harian X