Khamis, 24 Februari 2022 | 10:30am
Tanpa MN sebagai wadah kesepakatan politik orang Melayu, peluang UMNO atau PAS memenangi majoriti kerusi Melayu adalah perkara sukar.
Tanpa MN sebagai wadah kesepakatan politik orang Melayu, peluang UMNO atau PAS memenangi majoriti kerusi Melayu adalah perkara sukar.

Pengundi Johor lebih mudah memilih jika parti Melayu bersatu

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, keadaan perpecahan politik Melayu dilihat amat parah dan merugikan kaum majoriti di negara ini.

Dilihat kepada parti yang dijangka bertanding dalam PRN Johor, hampir setiap parti atau gabungan utama melaungkan slogan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air, tetapi bergerak serta bertembung sesama sendiri.

Amat sukar membawa mereka ke meja rundingan bagi mewujudkan kesepakatan sebagai satu pasukan blok politik kuat bagi berdepan parti lawan.

Bercakap mengenai soal penyatuan dan kesepaduan politik orang Melayu, kelahiran gagasan UMNO-PAS di bawah payung Muafakat Nasional (MN) pada 20 September 2018 menjadi peristiwa ditunggu-tunggu dan disokong majoriti kaum Melayu.

Penubuhan MN memberi harapan ke arah penyatuan dua gergasi politik Melayu yang bertelagah sejak merdeka.

Kerjasama dua parti besar orang Melayu ini menang dalam tujuh pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) luar jangka selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun, malang menimpa gagasan MN apabila gagal melepasi ujian politik. Sekarang, MN retak dan jika kepemimpinan UMNO dan PAS memilih untuk terus bertelagah serta tidak berusaha menyelamatkannya, MN akan berkubur.

Bayangkan manfaat boleh dicapai jika MN dapat diselamatkan. Dalam PRN Johor dan mungkin PRU-15, kerjasama strategik UMNO-PAS diyakini mampu menguasai lebih 120 kerusi majoriti Melayu di Semenanjung.

Seterusnya dengan sokongan rakan Barisan Nasional (BN), iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mereka dilihat mudah menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Bermakna, sebuah kerajaan baharu teguh dan stabil mungkin muncul selepas PRU-15. Sejarah pembentukan BN dan kemenangan dua pertiga selepas PRU pada 1975, akan berulang. Matlamat masih boleh dicapai. Impian boleh menjadi kenyataan.

Kenapa MN sukar diselamatkan? Sejujurnya, pengamatan saya, fakta menunjukkan kemelut MN berpunca apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertindak menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dan memujuk PAS menyertainya.

BERSATU ditubuhkan dengan cita-cita hendak menggantikan UMNO, manakala penubuhan PN dilihat sebagai strategi menggantikan BN.

Bagi PRN Johor, UMNO dan BN nampaknya akan bertanding secara solo seperti di PRN Melaka pada 20 November tahun lalu. Keputusan PRN Melaka membuktikan majoriti pengundi Melayu masih meletak keyakinan kepada UMNO/BN untuk menjadi kerajaan.

Dalam PRN Melaka, UMNO/BN menang selesa memperoleh 36 peratus undi popular. Hakikatnya, rata-rata pengundi mahukan sebuah kerajaan teguh dan stabil. Mereka perlu kestabilan. Senario sama dijangka berlaku di PRN Johor yang UMNO/BN akan bergerak solo menentang Pakatan Harapan (PH) dan PN.

PAS bertekad bersama BERSATU dan PN. Syarat PAS supaya UMNO menerima kerjasama dengan BERSATU ditolak UMNO, sekali gus memecahkan undi Melayu pada 12 Mac nanti.

Di PRN Johor, dengan kemasukan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Malaysia (PEJUANG) dan parti lain, hampir pasti mereka akan bertanding di DUN pengundi Melayu menjadi dominan.

Bermakna, semua parti Melayu atau 'ada darah Melayu' akan menentang parti Melayu lain. Undi Melayu akan berpecah teruk maka kemenangan mana-mana parti akan ditentukan sokongan pengundi bukan Melayu.

Atas faktor sejarah dan pengalaman pengundi dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan diikuti PN selama 17 bulan, kelebihan dilihat memihak kepada BN. Tidak mustahil majoriti rakyat Johor akan memberi mandat kepada BN untuk menerajui kerajaan baharu teguh dan stabil.

Kira-kira 65 peratus undi Melayu daripada 2.57 juta pemilih berdaftar akan menjadi rebutan 10 atau lebih calon parti politik Melayu bertanding di lebih 40 kawasan majoriti Melayu. Senario ini amat merugikan.

Berbanding 30 peratus undi Cina yang juga turut berpecah, tetapi dijangka majoriti mereka akan berpihak kepada DAP/PH seperti trend pengundian mereka dalam PRU-14.

Justeru, tanpa MN sebagai wadah kesepakatan politik orang Melayu, peluang UMNO atau PAS untuk memenangi majoriti kerusi Melayu adalah perkara sukar. Dalam PRN Johor, tiga gabungan politik besar - BN, PN dan PH akan bertembung, mungkin turut disertai calon parti Melayu lain atau calon Bebas.

Natijahnya, untuk mendapat undi terbanyak, semua calon terpaksa memerlukan sokongan undi daripada kaum bukan Melayu yang juga kawasan mereka bertanding.

Di kawasan marginal, iaitu kerusi campuran, calon Melayu daripada ketiga-tiga gabungan itu amat memerlukan sokongan undi bukan Melayu jika mahu menang.

Begitulah juga di kawasan majoriti bukan Melayu, calon MCA (BN), GERAKAN (PN) atau DAP (PH) memerlukan sokongan undi Melayu di kawasan berkenaan.

Bagi mencapai matlamat dalam mewujudkan satu kerajaan teguh dan stabil, gagasan atau blok parti bertunjangkan Melayu sepatutnya bersatu untuk mengharungi PRN Johor, sekali gus memudahkan pengundi membuat pemilihan pada hari mengundi.

Berita Harian X