Jumaat, 28 Januari 2022 | 11:00am

Graduan wajar lebih fleksibel, versatil

Sejak akhir tahun lalu hingga kini sudah banyak universiti yang kembali sibuk menguruskan majlis konvokesyen selepas sekian lama tertunda susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kini sudah ramai graduan yang mampu tersenyum kerana akhirnya merasa juga nikmat konvokesyen. Seperti tidak lengkap menamatkan pengajian bertahun-tahun di universiti jika tidak berpeluang menyarung jubah, berarak bersama rakan sepengajian memasuki dewan dan naik ke pentas menerima skrol.

Namun realiti di luar majlis konvokesyen itu sebenarnya lebih merisaukan banyak pihak.

Impak pandemik COVID-19 yang sudah melangkaui dua tahun melanda negara memberi cabaran besar kepada graduan yang baru ingin membuka langkah ke alam kerjaya. Hal ini disebabkan jawatan kosong semakin terhad kerana sektor ekonomi dan pekerjaan masih bergelut untuk pulih. Ini ditambah pula dengan penangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), semua faktor semasa ini menyumbang kepada peningkatan pengangguran graduan. Natijahnya lebih ramai yang terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian atau terpaksa menerima kadar upah tidak berpadanan dengan kelayakan.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2019, graduan Malaysia meningkat kepada 5.29 juta atau 6.9 peratus lebih tinggi pada 2019, berbanding 4.94 juta pada 2018. Kajian oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera yang memetik sumber Statistik Graduan Jabatan Statistik Malaysia 2020 pula mendapati jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020, berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya.

Senario persaingan semasa dan ke hadapan yang semakin kompetitif dan sengit untuk graduan mendapatkan pekerjaan ini secara tidak langsung membuka mata bahawa memiliki segulung ijazah bukan lagi keistimewaan dan jaminan untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan. Mahasiswa seharusnya mengambil peluang semasa di universiti untuk menguasai bidang kemahiran yang lain, meningkatkan kemahiran komunikasi dan keterampilan diri serta menjadi individu yang lebih fleksibel dan versatil.

Geran Khas Kebolehpasaran Graduan dan Penjana KPT-CAP (Career Advancement Programme) antara inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti untuk membantu graduan mencari kerja dan mencipta pekerjaan.

Cuma, jangan pula ada pihak membuat kesimpulan dangkal bahawa tidak penting lagi belajar tinggi-tinggi disebabkan semua hal ini. Apa yang perlu difahami adalah walaupun ijazah bukan lagi lesen mendapatkan pekerjaan, sebaliknya ia menjadi asas membina kerjaya lebih baik.

Mohd Zaini Othman

Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X