Rabu, 5 Januari 2022 | 11:01am
Penerokaan hutan secara tidak terkawal menjadi punca berlaku bencana alam seperti banjir besar.
Penerokaan hutan secara tidak terkawal menjadi punca berlaku bencana alam seperti banjir besar.

Usah abai keseimbangan alam sekitar demi pembangunan

Hujan monsun dan banjir kilat kini boleh dianggap sebagai ancaman malapetaka semula jadi paling utama buat negara ini, malah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga sudah memberi amaran bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia untuk hidup bersama bencana.

Sekiranya andaian saintis iklim tepat, Malaysia berkemungkinan akan mengalami hujan yang lebih lebat dan banjir kerap pada masa hadapan. Jumlah hujan yang menyebabkan banjir besar di Selangor pada 18 dan 19 Disember tahun lalu misalnya yang menyamai taburan bagi tempoh sebulan membuktikan bahawa andaian itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak bertanggungjawab.

Pada masa sama, pakar pembinaan, geologi dan kaji cuaca membangkitkan beberapa teori yang menyumbang kepada bencana banjir kali ini. Mereka antara lain merumuskan bahawa pembangunan tidak terancang, pengabaian aspek pemuliharaan alam sekitar serta kelemahan sistem saliran dikenal pasti antara penyebab utama.

Sementara itu, di kala negara menumpukan perhatian kepada pelan pertumbuhan ekonomi, pakar ekonomi pula menjangkakan pertumbuhan yang positif sukar dicapai tahun ini akibat impak berganda dari pandemik COVID-19 dan musibah banjir. Apatah lagi ia berlaku di negeri yang banyak menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti Lembah Klang dan Pahang serta merebak pula ke selatan tanah air.

Dalam pada itu, kesedihan dan pelbagai kesukaran yang ditanggung mangsa memerlukan pembelaan semaksima mungkin. Kehilangan harta benda dan tempat tinggal, tanaman sebagai sumber rezeki musnah serta haiwan ternakan mati semuanya sememangnya memberi kesan besar dalam kehidupan mereka selepas ini. Tidak kurang ramai yang kini tinggal sehelai sepinggang akibat musibah ini.

Justeru jumlah bantuan kewangan yang jauh lebih tinggi kepada mangsa banjir seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini sekurang-kurangnya diharap dapat meringankan bebanan mereka.

Pemberian tunai mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah mangsa banjir serta bantuan mencecah RM61,000 bagi kemusnahan rumah secara total dan pelbagai lagi bantuan bagi mengurus baik pulih kediaman serta lain-lainnya antara usaha kerajaan yang diharapkan dapat memberi sinar baharu untuk mereka.

Dalam pada itu, kesungguhan yang ditunjukkan masyarakat khususnya badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan sukarelawan dari pelbagai latar belakang dalam misi membantu mangsa banjir amat terserlah. Mereka berganding bahu menghulurkan bantuan dan tenaga dengan mengenepikan segala perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik.

Kebanyakan mereka pantas bergerak secara sendiri tanpa menunggu arahan pihak berkuasa dan bertungkus lumus membantu mangsa banjir tanpa melalui sebarang protokol dan prosedur serta kerenah birokrasi yang boleh melambatkan penyaluran bantuan. Mereka wira tak didendang yang menghulur bantuan tanpa mengharapkan penghargaan.

Namun demikian jangan sekali-kali dilupa jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara dan semua agensi penyelamat awam yang terbabit dalam operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir.

Sememangnya diakui koordinasi semua agensi pada awalnya dilihat agak perlahan disebabkan beberapa kekangan seperti faktor tanah runtuh, lokasi terjejas banjir begitu luas dan berisiko serta kepadatan penduduk yang tinggi, namun ia kemudiannya dapat ditangani secara bersama.

Pengorbanan anggota bomba, polis dan tentera dengan mementingkan keselamatan orang lain berbanding kepentingan sendiri adalah nilai teras yang dipupuk dalam perkhidmatan seharusnya dihormati dan bukan dikecam dengan pelbagai tohmahan. Ada di antara mereka tidak dapat membantu keluarga sendiri yang terjejas banjir disebabkan tugas di lapangan. Ratusan anggota bomba pula dilaporkan kehilangan rumah akibat banjir.

Begitupun, seperkara yang perlu diambil perhatian serius dalam menangani situasi banjir besar pada masa akan datang ialah peranan mekanisme pengurusan di peringkat daerah dan negeri yang dipertanggungjawabkan seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) perlu diperkasakan dan lebih saling berkomunikasi. Meletakkan kesalahan kepada kerajaan pusat semata-mata adalah tidak adil jika tiada maklumat pantas dan tepat disalurkan oleh JPBD dan JPBN terlebih dahulu.

Selain itu, oleh kerana sejak sekian lama negara dilanda banjir saban tahun maka sudah masanya sekarang kesedaran dari segi latihan menyelamat diperkenalkan di peringkat sekolah. Jika dilihat di negara maju, pelajar sekolah dididik mengenai asas latihan bencana yang ada di negara mereka sebagai persediaan menghadapi bencana sebenar.

Pada akhirnya, tidak salah untuk memfokus dan meneruskan pembangunan demi keutuhan ekonomi negara yang agak suram ketika ini, namun pada masa sama keseimbangan alam sekitar tidak boleh diabaikan. Belajarlah daripada kesilapan negara Eropah yang mana kini mereka tidak lagi menebang pokok sewenangnya kerana ia bakal mengganggu keseimbangan cuaca dan mengundang bencana yang lebih buruk.

Mohd Salleh Osman,

Putrajaya

Berita Harian X