Sabtu, 1 Januari 2022 | 11:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perkahwinan bawah umur dikhuatiri beri kesan negatif

ISU perkahwinan bawah umur tidak asing lagi dalam kalangan kita. Statistik daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merekodkan permohonan perkahwinan bawah umur dari tahun 2013 hingga 2018 adalah sebanyak 5,823 dengan 974 dicatatkan di Sarawak.

Secara umum, Enakmen Keluarga Islam dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

Hal yang sama terpakai kepada orang bukan Islam. Bagaimanapun had umur yang ditetapkan ini berbeza mengikut negeri.

Sekitar 2018, kerajaan mencadangkan usia minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun. Cadangan itu seterusnya dipersembahkan kepada pre-council Majlis Raja-Raja pada tahun yang sama. Namun, hanya empat negeri sahaja yang bersetuju manakala, tujuh lagi menolak.

Dalam hal ini JKSM kemudiannya mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) sebagai rujukan mahkamah syariah seluruh negara berkuat kuasa 23 Julai tahun lalu. Antara SOP yang digariskan, usia pengantin mestilah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

Pernikahan itu perlu difailkan oleh ibu bapa atau penjaga dan mereka mesti hadir memberi keterangan serta mendapat kebenaran mahkamah syariah.

Pernikahan bawah umur juga mengambil kira maklumat sosial pemohon iaitu latar belakang, pendapatan, kemampuan dan pendidikan.

Sebenarnya, dalam hal ini kita perlu jelas iaitu remaja berusia 13 hingga 18 tahun umumnya masih bergelar pelajar. Jadi seharusnya mereka menjalani kehidupan dengan menyiapkan kerja sekolah, belajar dan menyertai pelbagai aktiviti berkaitan. Mereka seharusnya tidak berada dalam institusi perkahwinan bawah umur.

Pelbagai kesan negatif yang membimbangkan boleh terjadi misalnya, risiko yang tinggi ketika mengandung atau bersalin.

Kebiasaannya remaja bawah umur tidak mempunyai mental dan fizikal yang kuat untuk menjadi seorang isteri serta ibu dan secara biologi mereka belum bersedia menjalani proses kehamilan secara sihat.

Justeru, hamil pada usia muda memungkinkan risiko melahirkan bayi cacat selain berhadapan dua kali ganda komplikasi ketika melahirkan yang berkemungkinan mengancam nyawa.

Kajian juga menunjukkan bahawa sistem daya tahan kanak-kanak atau remaja bawah umur adalah rapuh berbanding wanita dewasa.

Remaja bawah umur juga terdedah risiko mendapat jangkitan HIV/AIDS yang berkemungkinan diperoleh daripada pasangan lebih berusia dan pernah mengadakan persetubuhan sebelum ini.

Selain itu dengan sistem tubuh badan yang masih berkembang, mereka belum tahu mengenai hak sebagai wanita juga kesihatan reproduktif.

Perkahwinan bawah umur juga akan sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan kes keganasan rumah tangga atau penderaan. Semakin besar perbezaan usia dengan suami, semakin terdedah kepada keganasan yang mungkin akan dilakukan oleh pasangan.

Kajian menunjukkan bahawa remaja perempuan yang berkahwin sebelum usia 15 tahun mempunyai pengalaman didera oleh suami secara fizikal mahupun seksual berbanding mereka yang berkahwin pada usia 18 tahun dan ke atas.

Remaja pada usia 11 hingga 18 tahun juga tidak seharusnya berdepan dengan risiko dan kesan negatif yang akan menjejaskan mental mereka.

Sebaliknya mereka perlu mengisi waktu dengan menjalani kehidupan zaman persekolahan seperti kebanyakan remaja sebaya.

Isu melayan suami dan membuat kerja rumah seperti seorang isteri seharusnya tidak berada di fikiran pelajar sekolah yang sedang membesar. Mereka seharusnya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran yang akan membuka pemikiran lebih meluas dan matang.

Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X