Jumaat, 31 Disember 2021 | 10:30am
Banjir memberikan pengajaran supaya memperbaiki kelemahan dalam menghadapi krisis bencana alam. - Foto hiasan/NSTP/ASYRAF HAMZAH
Banjir memberikan pengajaran supaya memperbaiki kelemahan dalam menghadapi krisis bencana alam. - Foto hiasan/NSTP/ASYRAF HAMZAH

Didik rakyat sentiasa siap siaga hadapi banjir

Banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung bermula 18 Disember lalu mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Walaupun bencana itu bukanlah asing khususnya apabila tiba Monsun Timur Laut, namun, umumnya ia membabitkan negeri Pantai Timur.

Justeru, bah yang melanda minggu lalu amat menggemparkan kerana tiada siapa menjangka kemusnahan dahsyat dialami di Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Sepang di Selangor serta Mentakab, Karak dan Bentong di Pahang. Ia menimbulkan suasana kelam-kabut yang luar biasa. Bukan sahaja rakyat tidak bersedia, malah agensi kerajaan yang sepatutnya terbabit secara langsung dalam memberi bantuan dan kerja menyelamat juga dikatakan agak termanggu dan lewat bertindak.

Kesesakan jalan raya di Lembah Klang umpama mimpi ngeri dan sangat buruk pada 19 dan 20 Disember. Ribuan pengguna jalan raya terperangkap di lebuh raya berbelas jam tanpa bantuan. Puluhan ribu mangsa banjir di Selangor dan Pahang terbiar lebih 24 jam. Situasi cemas mereka tersebar luas di media sosial yang akhirnya menyaksikan kebanyakan bantuan awal dihulurkan oleh orang perseorangan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Masuk hari kedua bencana, barulah terlihat gerakan bantuan dan menyelamat daripada agensi kerajaan. Namun begitu, jumlah kematian yang direkodkan sangat menyedihkan. Sehingga artikel ini ditulis, 46 kematian sudah dicatatkan.

Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu menghadapi bencana alam di negara ini. Malaysia perlu bersedia berhadapan krisis alam sekitar bukan sahaja bencana banjir. Laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan baru-baru ini menyebutkan, dunia kini berada di landasan untuk berhadapan lebih banyak fenomena ekstrem dalam masa terdekat.

Selain banjir dan tanah runtuh yang kerap melanda, Malaysia juga harus bersedia dengan pelbagai bencana lain seperti tsunami, kemarau, taufan hatta gempa bumi walaupun kita berada di luar jajaran Lingkaran Api Pasifik.

Pengalaman negara maju yang terbukti cekap dalam menangani bencana alam seperti Jepun, Taiwan, New Zealand dan beberapa negara Eropah perlulah dipelajari. Teknologi terkini seperti penggunaan dron, peninjau robotik, peramalan cuaca, sistem pengesanan bencana dan kaedah pemberitahuan awam perlu dipertingkatkan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih pro aktif dalam menjangka situasi terburuk di tempat masing-masing dengan merangka pelan kecemasan yang bersepadu membabitkan penduduk, agensi kerajaan, sektor swasta serta NGO. Rancangan pembangunan bandar dan desa wajib mengambil kira kemungkinan berlaku bencana dengan menyediakan pelan menyelamat yang holistik.

Kita tidak dapat menafikan bahawa sebahagian daripada bencana alam yang melanda sebelum ini adalah akibat kerakusan menusia dalam mengejar keuntungan duniawi seperti aktiviti penggondolan hutan, penambakan laut serta pembangunan bandar yang tidak mapan. Pemimpin dan pihak berkuasa yang diamanahkan untuk merancang dan menguat kuasa sesuatu peraturan perlulah melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan bertanggungjawab terhadap keselamatan generasi akan datang. Kita tidak mampu lagi berkrompomi dengan sifat tamak kapitalis yang membuat rancangan pembangunan tanpa mengendahkan risiko bencana alam sekitar.

Rakyat juga perlu dididik dan diberikan pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap kesiapsiagaan menghadapi bencana. Bagi negara maju, kunci utama kecekapan mereka dalam menghadapi krisis bencana alam adalah penggunaan teknologi terkini. Selain itu mereka juga memanfaatkan teknologi komunikasi dan pengimejan satelit yang mampu menyalurkan maklumat sangat penting untuk pemantauan serta menghadapi bencana.

Malaysia seharusnya bergerak ke arah ini dengan lebih serius. Kita juga mempunyai kepakaran setanding negara maju, namun perlu digembleng kepakaran itu supaya impaknya dapat disalurkan dengan betul.

Di samping itu, persediaan pasca bencana juga perlu diberikan perhatian serius pihak kerajaan. Sudah menjadi lumrah, sesuatu bencana itu akan disusuli pelbagai masalah dan kesulitan sosioekonomi yang lain seperti kerosakan harta benda, kemiskinan, tekanan mental, kesihatan dan sebagainya. Pembangunan semula sosioekonomi rakyat yang terjejas akibat bencana harus direncana dalam rangka gerak kerja bersepadu merentasi pelbagai agensi.

Banjir baru-baru ini memberikan hikmah besar kepada Malaysia untuk belajar dan memperbaiki segala kelemahan dalam menghadapi krisis bencana alam. Kelemahan pengurusan kali ini perlu penambahbaikan dalam pelan tindakan negara menghadapi bencana pada masa akan datang.

Shafry Salim,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X