Khamis, 9 Disember 2021 | 10:45am
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Antarabangsa, Nargiza Ortikova Amirdin Qizi dari Uzbekistan sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad pada Majlis Perasmian Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2021 Piala Perdana Menteri di UTM, Skudai Johor, baru-baru ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Antarabangsa, Nargiza Ortikova Amirdin Qizi dari Uzbekistan sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad pada Majlis Perasmian Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2021 Piala Perdana Menteri di UTM, Skudai Johor, baru-baru ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Laksana penguatkuasaan perkasa penggunaan bahasa Melayu

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggunakan bahasa Melayu dalam urusan seperti persidangan dan mesyuarat.

Gesaan ini wajar diambil peduli kerana sebagai rakyat Malaysia, siapa lagi yang hendak memartabatkan bahasa kita sendiri?

Justeru, langkah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Scotland, baru-baru ini, patut kita contohi.

Sebagai wakil negara Malaysia ketika itu, beliau menunjukkan teladan baik untuk kita supaya berbangga dan mengangkat bahasa kebangsaan walau di mana pun berada.

Sebenarnya, jika dilihat penekanan penggunaan bahasa Melayu di sektor awam sudah dilaksana sejak 1987 menerusi Surat Pekeliling Am Bil 8 tahun 1987 – Gerakan Cintailah Bahasa Kita di Sektor Awam pada Peringkat Pusat dan Negeri bertarikh 9 Disember 1987.

Ia kemudian diperkukuhkan lagi melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 - Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, bertarikh 15 Januari 2020, sekali gus membatalkan Pekeliling Perkhidmatan Bil 9 Tahun 2011 – Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Hal ini menunjukkan garis panduan sudah lama wujud, malah negara sudah pun merdeka lebih 60 tahun. Namun, isu pemartabatan dan penggunaan bahasa Melayu di sektor awam ini ibarat air ada pasang surutnya. Dari segi pelaksanaannya, ia masih suam-suam kuku. Persoalannya hingga bilakah isu ini akan berakhir?

Jika di sektor awam sudah lama ada rujukannya, bagaimana pula pada peringkat GLC dan sektor swasta. Apakah ada garis panduan yang perlu dipatuhi? Jika wujud, adakah ia dilaksanakan? Pihak berwajib perlu bertindak dengan pendekatan lebih serius serta memerlukan sokongan politik yang kuat bagi memastikan dasar bahasa kebangsaan ini benar-benar dilaksanakan.

Janganlah kemudian apabila bertukar kepemimpinan politik, maka dasar memperkasakan bahasa Melayu pun turut berubah. Ia hanya akan melemahkan kedudukannya tidak kira di sektor awam atau swasta.

Pada masa ini, kekurangan masih dapat dilihat dalam penguatkuasaan bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilihat seperti harimau yang tidak mempunyai 'taring' atau 'kuku' dalam isu ini kerana mereka hanya diberi kuasa untuk menjadi penasihat untuk merancang, menggubal dan menyelaraskan panduan penggunaan bahasa Melayu.

Namun, hak penguatkuasaan diberi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sedangkan mereka bukan ahli yang arif dalam bidang bahasa. Adalah disarankan supaya DBP diberikan kuasa dari aspek penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu supaya perkembangan dan pemerkasaannya dapat dijalankan dengan lebih lancar dan agresif.

Hal ini sangat penting kerana soalan yang perlu ditanya, jika bukan kita yang cuba untuk menjulang dan memartabatkan bahasa kebangsaan, siapakah lagi yang akan berbuat demikian?

Yasmin AAA, Kuala Lumpur

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X