Selasa, 7 Disember 2021 | 11:30am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Syor subjek Hubungan Etnik erat perpaduan

KEPELBAGAIAN sistem pendidikan yang ada di negara ini memberi cabaran kepada pengukuhan perpaduan kaum. Malah, isu berkenaan tidak pernah selesai dibincangkan, selain ia perlu ditangani dengan bijak.

Namun, satu hal yang sangat nyata konsep perpaduan dan kesepaduan dalam perspektif Malaysia hanya dapat dicapai melalui perkongsian satu nilai sama untuk semua masyarakatnya.

Dalam konteks ini, antara perkara yang difikirkan sesuai adalah melalui bahasa. Kesedaran berkenaan membawa kepada pemartabatan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan. Ia seterusnya menjadi bahasa rasmi dalam pendidikan negara.

Walaupun begitu sejak dahulu lagi kerajaan tidak pernah menafikan hak bukan Melayu untuk mendapatkan pendidikan dalam bahasa ibunda mereka, di samping mengemaskini sistem persekolahan yang seragam menerusi pembangunan kurikulum.

Namun, usaha ini berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya beberapa tuntutan daripada politik Cina untuk mengekalkan, memelihara dan mengembangkan sekolah jenis kebangsaan Cina. Misalnya, Persatuan Persatuan Guru-Guru di Sekolah Cina Kuala Lumpur mengemukakan satu memorandum, iaitu 'Memorandum Pendidikan Persatuan' untuk menggesa persatuan seumpamanya di negeri lain untuk menyokong tindakan mereka.

Tuntutan mereka antara lainnya adalah mahu bahasa Cina dan Tamil dilayan sama rata dan tersenarai sebagai bahasa rasmi juga.

Satu lagi cabaran perlu dihadapi sistem pendidikan di Malaysia adalah perbezaan bahasa, bangsa, budaya dan agama sehingga mewujudkan kesukaran dalam menerima perubahan yang ingin dilaksanakan dalam dasar pendidikan.

Hal ini disebabkan, setiap perubahan yang ingin dibuat dalam bidang pendidikan dilihat secara negatif, malah dianggap percubaan mengikis adat dan budaya sesuatu kaum

Sebagai sebuah negara berbilang bangsa, kita pernah mencatat tragedi berdarah 13 Mei yang tidak ingin diulangi. Justeru, antara kaedah terbaik yang dibuat adalah pengenalan kursus seperti Hubungan Etnik. Subjek sebegitu diharap dapat memupuk persefahaman dan langsung menjadi sebahagian nilai hidup masyarakat di negara ini.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X