Jumaat, 26 November 2021 | 11:30am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Beriadah elak kanak-kanak ketagih gajet

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac tahun lalu memberi pelbagai impak kepada rakyat.

Selain sektor ekonomi, bidang pendidikan turut terjejas.

Susulan sesi persekolahan bersemuka ditangguhkan, kerajaan mengarahkan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu dilakukan di rumah secara dalam talian disebut sebagai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Arahan ini secara tidak langsung mewajibkan murid mempunyai gajet untuk mempermudahkan perjalanan sesi PdPR. Malah, sebenarnya kebelakangan ini telefon pintar atau gajet sudah menjadi kemestian untuk dimiliki sesiapa sahaja tanpa batas usia atau latar belakang.

Bagaimanapun, dalam kalangan kanak-kanak bawah umur, pemberian gajet ini mempunyai kesan baik dan buruk. Satu daripadanya adalah ketagihan. Walaupun ia sepatutnya digunakan untuk sesi PdPR, di luar sesi itu pun ia tetap menjadi keutamaan mereka.

Hal ini tidak menghairankan kerana di situ

terhimpun pelbagai variasi hiburan seperti TikTok, Instagram, Youtube dan sebagainya. Sebahagian aplikasi ini berkemungkinan mempunyai unsur yang tidak berkualiti atau kurang molek ditonton anak-anak bawah umur.

Namun, disebabkan mereka memiliki gajet sendiri dan sangat mudah untuk membuka akaun media sosial di mana-mana platform. Secara tidak langsung unsur yang tidak berfaedah mudah diperoleh tanpa kawalan. Agak menakutkan, pergaulan bebas sudah menjadi sebahagian unsur dalam talian. Pelbagai aplikasi membolehkan pengguna berhubung dengan orang yang tidak dikenali. Seandainya anak ini tidak diawasi, banyak hal negatif boleh terjadi.

Ketagihan kepada permainan dalam talian juga boleh memudaratkan. Mereka akan mudah lalai dan malas belajar kerana penggunaan gajet yang lebih lama. Jika tidak dipantau atau didisiplinkan, anak ini mudah terpengaruh dengan unsur yang tidak molek.

Justeru, amat penting ibu bapa mengawal penggunaan gajet anak mereka. Awasi juga aplikasi yang dimuat turun selain memantau masa penggunaannya. Selain itu, ibu bapa juga harus

memastikan anak tidak memuat turun aplikasi yang tidak berfaedah.

Hal ini bagi mengelakkan mereka ketagih dengan aplikasi yang menghiburkan di media sosial. Pada peringkat umur yang muda ini, wajar mereka menikmati zaman kanak-kanak seperti bermain permainan secara fizikal dan sebagainya.

Memandangkan kerajaan sudah memberi

kelonggaran bagi aktiviti riadah, tidak salah jika ibu bapa mengajak anak beriadah seperti bermain basikal, badminton dan sebagainya

di halaman rumah atau di kawasan berdekatan.

Ambil kesempatan ini dengan mengajak

mereka beriadah, sekali gus membantu mengawal masa penggunaan gajet bagi mengelak ketagihan.

Tanjung Malim, Perak

Berita Harian X