Sabtu, 23 Januari 2021 | 10:45am
Ibu bapa atau penjaga perlu memastikan keberadaan anak sepanjang sesi pembelajaran dalam talian dipatuhi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ibu bapa atau penjaga perlu memastikan keberadaan anak sepanjang sesi pembelajaran dalam talian dipatuhi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

PdP dalam talian tuntut ibu bapa jadi guru kedua

BAGI mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan murid, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif menutup sekolah pada tahun lalu. Ini menyebabkan guru diarah melaksanakan pengajaran secara dalam talian kerana sesi pembelajaran mesti berjalan seperti dirancang.

Tentulah pelbagai masalah akan wujud dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian baik pada pihak murid atau guru.

Pertama, masalah capaian internet di lokasi murid, selain peralatan komputer atau telefon pintar yang digunakan mesti berupaya menerima kemasukan data serta maklumat sempurna apabila sesi pengajaran dijalankan pada masa ditetapkan.

Sekiranya tahap pencapaian internet tinggi dan peralatan komputer baik, timbul pula masalah dari segi kandungan pengajaran, termasuk topik atau tajuk ingin diajar. Hal ini, terjadi disebabkan masa pengajaran amat terhad sedangkan tajuk atau topik ingin diajar banyak.

Proses PdP memerlukan penerapan ilmu, pembinaan kemahiran dan pembentukan sahsiah. Perkara ini selaras dengan hasrat dan inti pati Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan pendidikan di negara ini ialah suatu usaha memperkembang potensi individu secara menyeluruh dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dalam konteks PdP dalam talian, hanya penyampaian ilmu dan pengetahuan sahaja dapat disempurnakan, manakala pembinaan kemahiran dan pembentukan sahsiah sukar dilaksanakan. Pembinaan kemahiran memerlukan tunjuk ajar dan latihan secara berdepan atau bersemuka antara pengajar dan pelajar.

Demikian juga pembentukan sahsiah hanya berlaku apabila guru dapat memerhati gelagat atau tingkah laku murid, manakala pengembangan bakat dan jasmani hanya diperoleh melalui aktiviti berkumpulan serta latihan fizikal.

Hakikatnya, PdP dalam talian tidak memungkinkan murid menerima pembelajaran sempurna bukanlah sesuatu berlaku di negara ini sahaja, malah di seluruh dunia. Selagi pandemik COVID-19 terus menular dengan kes jangkitan baharu, selagi itulah sukar murid kembali hadir ke sekolah.

Menyedari komponen sekolah bukan guru dan murid sahaja, bahkan ibu bapa atau penjaga, maka peranan golongan itu amat penting bagi membantu guru dalam pembinaan kemahiran dan pembentukan sahsiah murid.

Ibu bapa atau ahli keluarga mempunyai kebolehan dan keupayaan menunjuk ajar anak dalam pelajaran perlulah memainkan peranan sebagai guru kedua atau pembimbing ketika anak belajar di rumah.

Ibu bapa atau penjaga perlu memastikan keberadaan anak sepanjang sesi pembelajaran dalam talian dipatuhi. Memang banyak kelemahan dan kekurangan pembelajaran secara maya, tetapi dalam situasi KPM tidak dapat memberikan apa-apa alternatif lain, semua kena akur dengan program yang disediakan.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak - guru, murid dan ibu bapa - menggembleng tenaga serta buah fikiran bagi mencapai hasrat bersama bahawa belajar, walaupun sedikit, tetapi proses pembelajaran mesti diteruskan.

Defisit pembelajaran pastinya tetap berlaku, tetapi kita yakin KPM mempunyai strategi ampuh memulihkan segala kekurangan dengan menyediakan program komprehensif apabila semua murid sudah kembali ke sekolah seperti biasa selepas pandemik COVID-19 berakhir.

Zainal Abiddin Osman,
Teluk Intan

Berita Harian X