Jumaat, 4 Disember 2020 | 11:32am

Program imunisasi bukti kesihatan rakyat diutama

Kalau disebut mengenai imunisasi, sudah pasti akan muncul golongan digelar sebagai 'antivaksin' yang tumbuh di sana-sini dalam komuniti kita.

Hakikatnya, imunisasi yang dibenci sesetengah pihak itu sangat memberi makna besar buat kesihatan rakyat, terutama di negara ini.

Suka atau tidak, terbukti secara klinikal imunisasi dapat mengelak pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti radang paru-paru, radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang selaput otak dan saraf tunjang serta jangkitan bakteria dalam darah atau septicaemia.

Apa yang disenaraikan itu ialah penyakit berbahaya berpunca daripada bakteria Streptococcus Pneumoniae yang juga dikenali sebagai Pneumokokus.

Melalui Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya memperjuangkan pemberian suntikan vaksin pneumokokal untuk kanak-kanak dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada1Disember 2020.

Sudah tentu ia menjadi tarikh paling bermakna kepada warga KKM yang mahu melihat wajah kanak-kanak comel dapat membesar dengan sihat dan ceria.

Kepada masyarakat, ketahuilah bahawa sudah begitu lama warga KKM memperjuangkan untuk memasukkan suntikan vaksin pneumokokal ke dalam NIP.

Akhirnya Selasa lalu, ia berjaya dicapai seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. Ia suatu kepuasan dan kejayaan besar buat warga KKM!

Secara pentadbirannya, ia hasil kegigihan menteri terbabit untuk meyakinkan Kementerian Kewangan bagi kelulusan peruntukan cukup besar bagi melaksanakan suntikan vaksin ini.

Ramai warga KKM melihat kekangan kewangan dan pandemik sebagai batu halangan. Namun, Menteri Kesihatan sendiri melihat usaha dan peluang sentiasa ada bagi membawa kejayaan dengan syarat selalu berfikiran positif dan keupayaan menjelaskan sesuatu keutamaan.

Selama ini, pihak swasta mendominasi 'industri' menyuntik vaksin ini. Disebabkan permintaan menggalakkan, sudah tentu pihak swasta akan meletak harga cukup mahal.

Maka, jujur dikatakan usaha Menteri Kesihatan itu amat bagus demi kesihatan rakyat semua.

Antara vaksin lain yang kerajaan berikan kepada rakyat melalui NIP ini ialah Basile Calmette-Guerin (BCG), Hepatitis B, DTap-IPV-HepB-Hib, MMR, MR, DT, HPV (untuk wanita), Tetanus dan JE (bagi Sarawak).

Langkah ini tepat kerana ia memenuhi hasrat rakyat mahu hidup sihat, anak membesar dan menjadi modal insan yang mampu menyumbang kepada negara dalam pelbagai bidang kepakaran.

Kesungguhan Menteri Kesihatan mendapatkan peruntukan dan jadikan program imunisasi di bawah NIP juga adalah keupayaan beliau menterjemah dasar kerajaan yang mengutamakan nyawa dan kesihatan rakyat mengatasi hal lain.

Terima kasih diucapkan kepada KKM dan Kementerian Kewangan kerana mengutamakan tahap kesihatan rakyat melebihi segalanya.

Kerajaan sedar nyawa dan kesihatan adalah aset paling berharga yang perlu dipelihara bagi membentuk negara berdaya saing.

Berita Harian X