Rabu, 19 Ogos 2020 | 10:30am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Bersama prihatin bina Malaysia

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 tidak lama lagi. Angka 63 pastinya memberikan suatu gambaran kepada awam mengenai sebuah kematangan dan usia yang kaya dengan pengalaman.

Jika disesuaikan dengan dunia pekerjaan, 63 tahun adalah usia pencen sambil menikmati dunia dengan penuh ketenangan dan kedamaian jika diurus sebaiknya.

Sebagai negara majmuk berusia lebih enam dekad, kepelbagaian mesti membawa kepada kesamarataan yang harmoni dalam negara demokrasi.

Jika elemen kesamarataan tiada, negara bakal berdepan masalah diskriminasi masyarakat seperti gender, majoriti lawan minoriti, ekonomi dan juga kewarganegaraan.

Pemimpin utama Parti Ennahda Tunisia, Rached Ghannouchi, membawa wacana kesamarataan ini kepada masyarakat Muslim mengenai gagasan 'Fiqh Muwathonah' ataupun Fiqh Kewarganegaraan dalam kerangka demokrasi berteraskan nilai dan prinsip Islam.

Ghannouchi memberikan definisi Fiqh Kewarganegaraan ini dengan mengambil inspirasi 'Sahifah al-Madinah' ataupun dikenali sebagai Piagam Negara Madinah yang mengiktiraf hak dan tanggungjawab bersama semua warga sama ada Muslim, penduduk asal Yathrib, Yahudi mahupun Arab.

Piagam Negara Madinah menjelaskan semua mendiami Madinah perlu memberikan kesetiaan dengan mempertahankan kedaulatan Madinah dan penduduknya daripada serangan musuh dan semua dianggap warga Madinah.

Malah, pemimpin terkenal dengan demokrat Muslim itu menekankan isu kehormatan manusia atau 'karamah insaniyyah', keadilan, kebebasan dan juga kesamarataan dalam gagasan Fiqh Kewarganegaraan yang dipopularkan beliau.

Jika disesuaikan dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semua warga adalah sama di sisi undang-undang.

Malah, mereka berhak mendapat perlindungan secara saksama dan adil.

Diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit atau tempat lahir mahupun jantina.

Hal demikian merujuk Perlembagaan Persekutuan diperuntukkan dalam Perkara 8, iaitu hak terhadap layanan secara sama rata di sisi undang-undang dengan tujuan untuk menegakkan keadilan hak asasi manusia.

Walaupun begitu, kesamarataan tidak boleh dilabel sama pada semua. Ini kerana tidak semua kategori manusia mempunyai keperluan sama.

Menurut John Bordley Rawls, manusia tidak dijadikan pada kedudukan sama. Oleh itu, seseorang perlu dilayan mengikut keperluan yang bersesuaian dengan mereka. Lebih tepat, frasa adil berbanding sama rata.

Secara realiti, Malaysia yang terbina dengan ikatan kontrak sosial berlayar membentuk negara sehingga usia 63 tahun. Walaupun kontrak sosial ini tidak pernah disebut dalam perjalanan menuju kemerdekaan, ikatan ini adalah asas terbinanya negara berteraskan tiga kaum utama negara, iaitu Melayu, Cina dan India.

Perjanjian tidak ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan adalah persefahaman antara pemimpin daripada kaum utama di Tanah Melayu dahulu yang menjadi peraturan atau garis panduan, tetapi tidak mengikat.

Rentetan itu, akhirnya peraturan atau garis panduan yang tidak mengikat ini dijadikan perundangan ulung negara yang melahirkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertanggungjawab menjaga hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Malaysia.

Apa kaitannya memberi keistimewaan khusus kepada sesebuah kaum dan pribumi dengan konsep adil? Mari kita betulkan kepincangan.

Penulis berpandangan kaum majoriti perlu diurus sebaik-baiknya untuk memperoleh kestabilan terutama kestabilan politik. Jika kestabilan politik dapat diraih, kestabilan ekonomi mahupun sosial pula akan ikut sama.

Semangat kontrak sosial dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dijiwai seluruh warga.

Ia tidak boleh dilihat dari kaca mata kaum semata-mata. Sebagai contoh, keutamaan memasuki perkhidmatan awam diberikan kepada orang Melayu supaya mereka boleh menguasai politik negara kerana pegawai kerajaan memainkan peranan penting melaksanakan dasar pemerintah.

Begitu juga perkhidmatan tentera dan polis yang dikuasai majoriti Melayu untuk tujuan sama.

Oleh yang demikian, berteraskan konsep kesamarataan, keadilan dan kerangka Fiqh Kewarganegaraan yang disebutkan, maka akhirnya bagi setiap warga mereka mempunyai hak yang sama rata dan adil, sama ada mereka itu Muslim-bukan Muslim atau Melayu-bukan Melayu.

Hak sama rata juga datang dengan tanggungjawab sama rata. Jika sekalipun terdapat perbezaan dalam mendapatkan hak, ia berdasarkan keperluan individu kerana faktor fizikal, keupayaan, sosioekonomi dan suasana geografi.

Namun, kelebihan diberikan mesti tidak mengambil hak warga lain. Timbal balas kepada tuntutan hak ini adalah semua warga wajib memberikan kesetiaan kepada Malaysia untuk kita menikmati keharmonian dalam menempuh kehidupan pada masa hadapan.

Maka, bersesuaian tema Hari Kebangsaan, iaitu 'Malaysia Prihatin' keprihatinan yang dijulang pada Ogos kali ini mesti faham asas kerangka negara ini dibentuk seperti disebutkan di atas.

Kita prihatin kepada negara ibarat prihatinnya kita kepada kediaman sendiri. Malaysia adalah kediaman kita bersama dan kita mahu jadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terbaik untuk didiami.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia dan warganya!

Wafiuddin Rosli,
Eksekutif Syariah Kuala Lumpur

Berita Harian X