Isnin, 20 Julai 2020 | 10:30am
- Gambar hiasan/ihsan http://portal.ypj.gov.my/
- Gambar hiasan/ihsan http://portal.ypj.gov.my/

Perkasa pusat bertauliah JPK tangani kegagalan program kemahiran

Kegagalan mencapai objektif utama Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) di bawah Unit Perancangan Ekonommi seperti didedahkan Siri 3 Laporan Ketua Audit Negara 2018 boleh dielakkan jika kerajaan membuang sikap 'kerajaan tahu segala-galanya'.

Sejak lima tahun kebelakangan ini, pelbagai pandangan dan kritikan membina diberikan kepada semua kementerian berkaitan pembangunan latihan kemahiran yang membabitkan golongan B40 khususnya dalam kalangan generasi muda, namun tidak dipandang serius.

Selain Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Institusi Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB) dan Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FEMAC), melihat jauh ke depan masalah yang akan berlaku jika sesuatu inisiatif kerajaan tidak mengambil kira pandangan mereka di lapangan.

Justeru disarankan kerajaan agar dapat memperkasakan pusat bertauliah di Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai penyedia latihan utama bagi melaksanakan PPKK pada masa akan datang.

Terdapat lebih 400 pusat bertauliah di seluruh negara menawarkan pelbagai kursus kemahiran yang diakui mampu melaksanakan PPKK dan memenuhi keperluan industri, bahkan mempunyai jaringan kerjasama erat dengan pihak industri bagi setiap bidang ditawarkan.

Semua kursus memenuhi Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) yang menjadi dokumen menggariskan ketrampilan diperlukan seseorang pekerja mahir yang bekerja di Malaysia bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan, serta laluan untuk mencapai ketrampilan itu.

Dokumen SKPK ini berasaskan keperluan pekerjaan dan mengikut struktur kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan. Menariknya, ia dibangunkan pakar industri dan pekerja mahir yang menjalankan pekerjaan.

Kegagalan dilaporkan adalah sebahagian kesan daripada keegoan sesetengah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mendengar pandangan pelaksana latihan kemahiran yang sebenar di lapangan yang mahukan agihan dan penyelarasan apa sahaja dana latihan kemahiran hanya kepada pusat bertauliah diiktiraf dan ditauliah JPK.

JPK hendaklah diangkat badan tunggal persijilan kemahiran di Malaysia yang mengawal selia kualiti, penyelaras perancangan dan pembangunan latihan termasuk inisiatif PPKK.

Malaysia mempunyai kerangka latihan kemahiran baik yang turut menyantuni kumpulan sasar termasuk golongan B40. Tidak menggunakan sumber yang ada bukan sahaja merugikan, bahkan membuka ruang kepada salah guna kuasa dan penyelewengan dana bagi membangunkan ekonomi B40.

Mohammad Rizan Hassan
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran

Berita Harian X